Sunday, October 30, 2011

Lanun gagal rampas kapal kita


KAPAL MT Nautica Johor Bahru yang berjaya diselamatkan daripada serangan lanun di Perairan Wilayah Republik Indonesia baru-baru ini.
Lanun gagal rampas kapal kita

KUANTAN – Cubaan sekumpulan lanun merampas sebuah kapal tangki, MT Nautica Johor Bahru awal malam kelmarin gagal berikutan tindakan pantas Tentera Laut Diraja Malaysi (TLDM) dan Maritim Malaysia (APMM).
Dalam kejadian pada pukul 9.10 malam itu, kapal yang membawa minyak dan gas bernilai RM12 juta dan 19 anak kapalnya berjaya diselamatkan di Perairan Wilayah Republik Indonesia.
Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Pertama Datuk Pahlawan Mohamad Roslan Mohamad Ramli (gambar) berkata, terdahulu, kapal tangki itu dipercayai telah dirampas di Perairan Selat Singapura berhampiran Batu Puteh pada pukul 5.30 pagi, Khamis lalu.
“Kapal tangki itu sedang dalam pelayaran dari Melaka ke Sibu, Sarawak sewaktu dirampas kumpulan perompak laut terbabit.
“Kejadian rompakan itu disedari pihak pengurusan kapal selepas gagal menghubunginya sebelum membuat laporan kepada APMM pada hari berikutnya pada pukul 9.20 pagi,” katanya di sini semalam.
Susulan itu, kata Mohamad Roslan, pihaknya berusaha mengesan kapal tersebut dengan menggunakan pesawat DAUPHIN M7 002 dan ia ditemui kira-kira 85 batu nautika Timur Pekan.
Bertindak atas maklumat disalurkan APMM, beliau menyatakan kapal TLDM iaitu KD MAHAWANGSA dan tiga kapal lagi, KD JEBAT, KD LEKIU dan KD KELANTAN yang sedang mengikuti siri latihan multilateral Eksais BERSAMA LIMA 2011 di Perairan Pulau Tioman diarah membantu misi menyelamatkan kapal tangki itu.
“TLDM yang mengambil alih penugasan operasi daripada APMM mengarah kapal-kapal terlibat menjejak, memintas dan mengambil alih semula kawalan terhadap MT NAUTICA JOHOR BAHRU.
“Dua pesawat Super Lynx yang diterbangkan dari kapal KD LEKIU dan KD Kelantan turut digunakan dalam operasi sama,” katanya.
Ujar beliau, usaha itu berjaya apabila mereka berjaya memintas kapal tangki berkenaan kira-kira pukul 8 malam di posisi 17 batu nautika Pulau Jemaja, Indonesia.
“Badan Koordinasi dan Keamanan Laut (BAKORKAMLA) Republik Indonesia telah memberi kelulusan bagi kapal TLDM memasuki Perairan Wilayah Indonesia,” katanya.
Tambahnya, hasil tekanan diberikan, lanun bertindak memperlahankan kelajuan dan memadamkan semua lampu kapal tangki itu.
Dalam keadaan gelap itu, menurutnya, sebuah bot laju yang datang dari arah Pulau Jemaja dipercayai menghampiri kapal tangki terbabit dan semua lanun melarikan diri dengan bot itu pada pukul 9.10 malam.
“Lanun dianggar seramai 10 orang bersenjatakan sepucuk pistol dan parang dilaporkan melarikan diri dengan barangan rompakan milik anak kapal antaranya wang, telefon bimbit dan komputer riba.
“Namun, anak kapal seramai 19 orang iaitu 11 warga tempatan dan lapan warga Indonesia itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Jelasnya, kapal tangki itu kemudiannya diiringi pulang ke sini untuk siasatan lanjut.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...