JUARA keseluruhan Kejohanan Golf Faldo Series Malaysia 2011, Hisyam Abdul Majid.
PEMAIN golf amatur negara, Hisyam Abdul Majid seolah-olah ‘melepaskan geram’ apabila muncul juara keseluruhan Kejohanan Golf Malaysia Faldo Series Keenam yang melabuhkan tirainya di Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC), Kuala Lumpur semalam.
Hisyam, 19, yang tidak terpilih mewakili negara pada temasya Sukan SEA di Palembang, Indone- sia, November depan berjaya mencatatkan lima pukulan bawah par 211 pada kejohanan selama tiga hari itu yang bermula Selasa lalu.
Lebih manis, dia berjaya menewaskan Kenneth Christian John De Silva – lawannya yang terpilih ke Sukan SEA – dengan kelebihan 10 pukulan bagi kategori Lelaki Bawah 21 tahun (B-21), sekali gus menempah tiket ke pusingan akhir Grand Prix di Mission Hills, Shenzen, China pada Mac tahun depan.
Turut mengiringi Hisyam ke China kelak ialah pemenang kate- gori Lelaki B-18, Ahmad Zahir Abdul Ghani, Muhammad Afif Razif (Lelaki B-16), Aretha Pan (Wanita B-21) dan Nur Durriyah Damian yang muncul juara Wanita B-16.
Hisyam yang telah menceburkan diri dalam sukan golf sejak berusia enam tahun hasil dorongan bapanya, Abdul Majid Md. Yusof berkata, dia berpuas hati dengan persembahannya sepanjang tiga hari kejohanan apabila berjaya mencatatkan keputusan terbaik pada hari kedua dengan 68 pukulan, walaupun sekadar mencatatkan 74 dan 69 pukulan pada hari pertama dan terakhir kejohanan semalam.
“Kemenangan saya kali ini juga mungkin disebabkan oleh prestasi tidak konsisten pencabar utama (Kenneth).
“Justeru, saya menyifatkan kemenangan kali ini sebagai pengubat kekecewaan saya yang tidak terpilih ke Sukan SEA,” katanya yang menjadikan Tiger Woods sebagai idolanya dalam sukan golf.
Hadir menyempurnakan majlis semalam ialah Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor di RSGC semalam.
Turut hadir ialah Pengarah Urusan Perbankan Runcit AmBank (M) Berhad, Datuk Mohamed Azmi Mahmood; Ketua Pegawai Eksekutif Faldo Series, Tom Phillips; Ketua Perhubungan Awam Kumpulan AmBank, Syed Anuar Syed Ali dan Pengurus Besar RSGC, Ramesh Menon.
Seramai 95 pemain golf amatur dari seluruh negara menyertai kejohanan anjuran MGA itu dengan kerjasama Kumpulan AmBank selaku rakan penganjur.
Dalam pada itu, Aretha, 17, semasa ditemui menyifatkan kemenangannya kali ini sebagai pembakar semangat untuk meraih pingat emas dalam penampilan sulungnya semasa Sukan SEA nanti.
“Saya terkejut muncul juara, tambahan pula Diana Tham (pemenang tempat kedua kategori wanita B-21) beraksi dengan bagus pada hari terakhir (semalam).
“Justeru, saya harap dapat mengekalkan prestasi konsisten bagi membantu negara mendapatkan pingat emas di Jakarta nanti,” katanya yang berjaya mencatatkan 214 pukulan keseluruhan, dua bawah par semalam.
Selain Kenneth dan Aretha, antara nama-nama yang bakal mengibarkan cabaran negara di Sukan SEA bulan depan termasuklah Low Khai Jei, Arie Irawan, Kelly Tan dan juga Nur Durriyah.
No comments:
Post a Comment