SHAH ALAM – Pensyarah Undang-Undang, Profesor Dr. Abdul Aziz Bari yang mencetus kontroversi mengkritik titah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah, digantung tugas oleh Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), sehingga siasatan ke atasnya selesai dijalankan.
Selain diberikan surat tunjuk sebab dan digantung tugas, Aziz juga dilarang untuk menjejakkan kaki di premis institusi pengajian tinggi itu serta tidak dibenarkan berhubung sama sekali dengan mana-mana kakitangan universiti itu ketika siasatan dilakukan terhadapnya.
Aziz bagaimanapun menyerahkan kes tersebut untuk dijawab oleh peguamnya, Dr. Dzulkarnain Lukman.
Menurut Dzulkarnain, Aziz didakwa memudaratkan nama baik UIAM dengan tindakannya mengkritik Sultan Selangor dan tuduhan tersebut dibuat di bawah Perkara 15(1) Peraturan-peraturan Disiplin Universiti.
Beliau turut menjelaskan bahawa Aziz pernah dua kali diberikan surat tunjuk sebab sebelum ini dan surat yang diterimanya ini adalah kali ketiga yang diterimanya ini adalah yang pertama melarangnya memasuki kawasan UIAM dan berhubung dengan kakitangan universiti itu.
“Saya difahamkan, ini merupakan kali ketiga Prof Aziz Bari diberikan surat tunjuk sebab.
“Dua surat sebelum ini, Prof Aziz Bari sendiri yang jawab, jadi saya tidak pasti sama ada digantung tugas atas tidak,” kata peguamnya kepada media ketika mengiringi Aziz untuk disoal siasat dibawah akta Hasutan di sini hari ini.
Aziz sebelum ini mengkritik titah Sultan Selangor dengan menyifatkan campur tangan Baginda Tuanku mengenai serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (GMDU) tidak selaras dengan ajaran agama Islam.
Sultan Selangor baru-baru ini bertitah melahirkan rasa tersinggung dengan wujudnya usaha melemahkan kepercayaan dan aqidah umat Islam ke arah murtad di negeri naungannya.
Menurut titah Baginda lagi, cubaan memesongkan akidah umat Islam itu berjaya dibuktikan hasil siasatan yang dilakukan JAIS tetapi ia tidak cukup untuk membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap GMDU.
@mynewshub.my
No comments:
Post a Comment