ATLET elit negara, Adrian Ang dan Zandra Aziela Ibrahim Hakimi muncul juara kategori lelaki dan wanita terbuka pada Kejohanan Boling Terbuka Kuala Lumpur Antarabangsa 2011 di Kuala Lumpur Megalanes semalam.
Pengalaman bermain di peringkat antarabangsa nyata memberi kelebihan pada Adrian yang mendominasi permainan dengan 203 jatuhan pin, berbanding pencabarnya, Isaac Russell dari Sarawak yang hanya melakukan 177 jatuhan dalam pusingan akhir stepladder lelaki.
"Kemenangan ini meningkatkan keyakinan saya untuk ke Sukan SEA di Indonesia bulan depan," kata Adrian, pemenang pingat emas Sukan Asia 2010.
Sementara itu, Zandra mempamerkan permainan konsisten pada pusingan akhir stepladder wanita apabila mencipta lima strike bagi menghasilkan 215 jatuhan pin.
Catatan itu sekali gus mengatasi rakan sepasukannya, Esther Cheah yang terpaksa berpuas hati di tangga kedua dengan 168 jatuhan pin.
"Saya menganggap kejohanan ini seperti sesi latihan untuk ke Sukan SEA apatah lagi bermain dengan rakan sepasukan, Esther, jadi tiada tekanan.
"Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan prestasi saya hari ini dan target selepas ini ialah satu emas di Sukan SEA," kata juara Terbuka Malaysia tahun ini.
Selaku juara, Adrian dan Zandra masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 dan RM6,000 serta trofi.
Tempat ketiga terbuka lelaki dan wanita pula menjadi milik atlet kebangsaan, Alex Liew dan Wendy Chai.
Pengerusi kejohanan, Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim berkata, kejohanan itu yang diadakan semula selepas tujuh tahun, dianggap berjaya dengan penyertaan lebih 200 orang peserta dari dalam dan luar negara.
"Sambutan peserta dan penonton memang bagus, terutama pada kategori terbuka kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berlangsung semalam (kelmarin), di mana ramai ibu bapa hadir memberi sokongan pada anak-anak mereka," katanya yang merancang untuk menganjurkan semula kejohanan itu tahun depan.
No comments:
Post a Comment