Saturday, September 3, 2011

Wanita lari ikut kekasih Nepal ke Kathmandu


2011/08/26


Norshahira Mohd. Rasul menghilangkan diri dipercayai mengikuti Imthias Khan ke Kathmandu, Nepal. 







OGOS 2011: Mohd. Rasul Kasim dan Siti Fatimah menunjuk gambar anak kesayangan mereka Noor Shaherra tidak pulang selepas mengikut teman lelakinya warga Nepal di Taman Kenangan, Sungai Karangan, Padang Serai, Kulim. - Utusan/ABD RAZAK OSMAN


PADANG SERAI: Seorang wanita berusia 21 tahun dari Taman Kenangan, Sungai Karangan di sini bertindak lari dari rumah keluarganya untuk mengikut kekasihnya seorang lelaki Nepal pulang ke Kathmandu. 

Wanita berkenaan, Norshahira Mohd Rasul, dipercayai keluar rumah sejak 22 Ogos lalu dengan alasan menemui seorang temannya di Sungai Petani.

Setelah gagal menjejak anaknya, bapa wanita berkenaan, Mohd Rasul Kassim membuat laporan di Balai Polis Sungai Karangan sehari selepas itu.

Ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini, Mohd Rasul yang bekerja sebagai pemandu bas kilang, berkata mereka amat risau kerana menurut maklumat daripada polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Norshahira mengikut lelaki Nepal itu menaiki penerbangan dari Pulau Pinang, transit di Bangkok dan terus ke Kathmandu pada 23 Ogos lalu. 

Mohd Rasul berkata, sejak Aidilfitri tahun lalu selepas dia mengetahui Norshahira yang pernah bekerja di sebuah kilang membuat sarung tangan getah di Kawasan Industri Padang Meha di sini, menjalin perhubungan dengan lelaki Nepal, juga pekerja di kilang yang sama, dia sudah menasihat dan menghalang anaknya daripada meneruskan perhubungan itu. 

Beliau juga mendapat maklumat daripada rakan sekerja lelaki Nepal yang dikenali sebagai Imthias Khan, 24, bahawa permit kerjanya sudah tamat tempoh dan dia terpaksa pulang ke negaranya sebelum dapat menyambung semula permitnya untuk bekerja semula di negara ini. 

Isteri Mohd Rasul, Siti Fatimah Jasin, 46, pula amat risau akan masalah kesihatan yang dideritai Norshahira, anak kedua daripada enam beradik, yang pernah menjalani pembedahan kecil akibat apendiksnya pecah beberapa tahun lalu. 

Fatimah memohon sama ada Kelab Putera 1Malaysia atau Pergerakan Pemuda UMNO membantu keluarganya mengatasi masalah yang dialami keluarganya itu kerana untuk menyelesaikannya sendiri mereka amat kesuntukan kewangan selain komunikasi. - BERNAMA


Update:-

Kedutaan Nepal sedia bantu jejaki Noshahira

2011/08/27

KUALA LUMPUR: Kedutaan Nepal sedia membantu menjejaki gadis Malaysia yang dilaporkan lari mengikut teman lelaki warga Nepal ke Kathmandu, jika laporan mengenainya dibuat di kedutaan berkenaan Isnin ini. 

"Jika ada sesiapa datang ke kedutaan Isnin ini untuk memberi butiran mengenai lelaki itu seperti nombor pasportnya, kami akan berbincang dengan pihak berkuasa di Kathmandu," kata Duta Nepal ke Malaysia, Dr Rishi Raj Adhikari kepada pemberita pada majlis mempromosi Tahun Melawat Nepal 2011 di sini hari ini. 


Laporan Bernama menyebut Noshahira Mohd Rasul, 21, dari Taman Kenangan, Sungai Karangan di Padang Serai, Kedah, dipercayai keluar rumah sejak 22 Ogos. 


Menurut maklumat polis Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Norshahira dan lelaki Nepal itu yang dikenali sebagai Imthias Khan, 24, menaiki pesawat dari Pulau Pinang, transit di Bangkok dan terus ke Kathmandu pada 23 Ogos. 

Dr Adhikari juga mengingatkan warga Nepal yang bekerja di Malaysia agar tidak menjalin hubungan romantik dengan penduduk tempatan bagi mengelak kesulitan di masa depan. 

"Kepada semua warga Nepal, tolong jangan berkahwin atau melakukan perkara buruk kerana anda masih terikat dengan kontrak," katanya. 

Turut hadir pada majlis promosi pelancongan itu, lelaki kedua terendah di dunia yang berasal dari Nepal iaitu Khagendra Thapa Magar, 19. 
Beliau bersama barisan artis Nepal akan mengadakan penampilan khas di Johor Baharu esok, Pulau Pinang (30 Ogos), Kuala Lumpur (31 Ogos) dan Pelabuhan Klang (1 September). 

Dr Adhikari berharap promosi pelancongan besar-besaran itu dapat menarik rakyat Malaysia untuk melancong ke Nepal, yang terletak di Banjaran Himalaya. - BERNAMA


Keluarga Norshahirah akan ke Kedutaan Nepal esok 


2011/08/28

PADANG SERAI: Keluarga Norshahirah Mohd Rasul, gadis yang lari mengikut kekasihnya warga Nepal ke Kathmandu akan ke Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur esok bagi mendapatkan bantuan untuk menjejaki gadis itu.

Kakak Norshahira, Nillie Shakira, 23, berkata keluarganya berasa amat lega dengan jaminan Duta Nepal di Malaysia yang bersedia membantu menjejak lelaki tersebut dan Norshahira di Kathmandu. 


Bapa gadis itu, Mohd Rasul Kassim, 50, pula berkata kesudian Duta Nepal untuk membantu mereka merupakan satu penawar bagi keluarga berkenaan. 

"Rupanya harapan untuk bertemu semula dengan anak kami itu masih ada dan kami berdoa siang dan malam sejak kehilangannya tempoh hari semoga Allah makbulkan permohonan kami itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Semalam Duta Nepal ke Malaysia Dr Rishi Raj Adhikari dilaporkan sebagai berkata Kedutaan Nepal sedia membantu menjejaki Norshahirah jika laporan mengenainya dibuat di kedutaan berkenaan esok. 

Norshahira, 21, dilaporkan keluar rumah mereka di Taman Kenangan, Sungai Karangan di sini pada 22 Ogos lalu. 

Menurut maklumat polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Norshahirah dan seorang lelaki Nepal menaiki penerbangan ke Kathmandu di LTABPP pada 23 Ogos. - BERNAMA

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...