MELAKA – Sehari selepas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berang dengan kelemahan penguatkuasaan dalam membanteras kafe siber, empat pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil langkah drastik.
Semalam, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Majlis Perbandaran Alor Gajah, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya dan Majis Perbandaran Jasin memutuskan tidak akan mengeluarkan lagi lesen baharu kafe siber di kawasan masing-masing.
Keempat-empat PBT yang sama juga akan memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha kafe siber yang melanggar peraturan yang ditetapkan majlis.
Sebanyak 266 kafe siber berlesen di negeri ini akan dipantau secara rapi bagi memastikan ia tidak disalah guna untuk kegiatan perjudian haram.
Sebelum itu, kira-kira 40 serbuan telah dilakukan dan lebih 300 set komputer termasuk unit pemproses pusat (CPU) yang dipercayai digunakan bagi tujuan perjudian haram di kafe siber telah dirampas oleh keempat-empat PBT itu sejak dua minggu lalu.
Datuk Bandar Melaka, Datuk Zainal Abu berkata, sebanyak 161 lesen kafe siber diluluskan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), namun lesen baharu tidak akan dikeluarkan lagi selepas ini.
“Kita kini lebih menumpukan pemantauan kegiatan kafe siber sedia ada selain membuat serbuan ke atas premis yang menjalankan kegiatan menyalahi undang-undang,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut Zainal lagi, sejak awal bulan lalu, lebih 20 serbuan telah dilakukan dan sebanyak 28 premis kafe siber telah dikenakan tindakan termasuk merampas sebanyak 90 buah komputer dan sebanyak 88 unit CPU dipercayai digunakan bagi tujuan perjudian haram.
No comments:
Post a Comment