Saturday, September 24, 2011

Popular kerana badan sasa



WALAU telah popular, Taylor masih menerima layanan yang sama daripada keluarga dan teman-temannya.




TIDAK menyangka bermula dengan minatnya terhadap seni mempertahankan diri pada zaman kanak-kanak telah membawa nama Taylor Daniel Lautner ke kelas yang lebih tinggi berbanding rakan seusianya.
Pernah berlakon dalam filem pecah panggung pada zaman kanak-kanaknya, The Adventures of Sharkboy and Lavagirl 3-D dan Cheaper by the Dozen 2 pada tahun 2005, namun tuahnya hanya datang pada tahun 2008 apabila terpilih untuk memegang watak Jacob Black dalam filem Twilight bersama dengan Robert Pattinson dan Kristen Stewart.
Kini, ke mana sahaja jejaka berusia 19 tahun itu pergi, dia pasti dikelilingi oleh peminat yang rata-ratanya gadis remaja yang menggilainya sejak perubahan drastik tubuhnya daripada seorang remaja biasa kepada lelaki gagah.
"Secara jujur, saya tidak pernah penat dengan jeritan gadis-gadis yang merupakan peminat saya. Memang ada masanya saya akan terasa penat tetapi jika itu caranya mereka menunjukkan sokongan terhadap saya, saya tidak kisah dan menerimanya dengan hati yang terbuka," katanya yang memiliki ketinggian 1.78 meter.
Tidak hanya sekadar jeritan, tarikan Taylor menyebabkan para peminat tidak kisah untuk berkhemah di sekitar kawasan penggambaran filem terkini, Abduction di Pittsburgh. Taylor bagaimanapun tidak menganggap peminatnya mengganggu perjalanan kerjanya sebaliknya dia cukup menghargai peminat yang datang dari jauh semata-mata mahu melihatnya secara langsung,
"Agak memenatkan kerana waktu itu kami melakukan penggambaran pada waktu malam. Saya akan berada di set pada pukul 8 malam sehingga 5 pagi. Waktu saya keluar daripada set penggambaran saya lihat terdapat 800 orang gadis sedang menunggu di tepi jalan. Dalam masa satu jam, saya mengambil gambar bersama mereka semua. Badan saya terlalu penat, tetapi peminat lebih penting buat saya,"katanya.
Tarikan utama Taylor tidak sahaja lakonannya yang berkesan tetapi juga tubuh badannya yang sasa, disebabkan itu di dalam filem sekuel Twilight dan juga filem baharunya, Abduction, Taylor turut mendedahkan tubuhnya atas kehendak skrip.
"Bila saya dapat skrip filem itu, saya lihat terdapat lima atau enam babak yang memerlukan saya tampil tanpa baju. Saya terfikir juga bimbang orang muak lihat watak saya tanpa baju dan samakan dengan watak saya di dalam filem Twilight. Tetapi bila semak balik skrip, babak tanpa baju itu memang perlu mengikut jalan cerita dan juga karakter yang saya bawakan," terangnya yang berasal dari Grand Rapids, Michigan, Amerika Syarikat.
Jika di dalam Twilight, wataknya sebagai Jacob Black mempunyai badan yang begitu sasa, tetapi sejak menamatkan penggambaran sekuel terbaharu filem keempat The Twilight Saga: Breaking Down, tubuhnya sedikit susut.
"Memang saya susut tetapi sedikit sahaja. Saya memang seorang yang sangat sukakan senaman tetapi sejak menamatkan penggambaran filem Twilight saya tidak mengikut rutin senaman yang ketat untuk kekalkan otot tubuh. Sekarang saya tidak perlu paksa diri saya untuk makan jika saya tidak lapar, juga tidak akan ada orang (jurulatih peribadi) datang sumbatkan makanan dalam mulut saya setiap lima minit.
"Sebaliknya kini, saya lebih aktif dan terlibat dalam banyak sukan. Saya boleh makan apa sahaja dan sebanyak mana yang saya mahu tetapi tidak semestinya makanan segera kerana saya memang mengamalkan cara pemakanan yang sihat," tuturnya yang memiliki seorang adik perempuan bernama Makena.
Selepas Twilight
Selepas empat tahun sebati dengan watak Jacob Black di dalam empat sekuel filem Twilight termasuk,The Twilight Saga: Breaking Down bahagian pertama yang akan menemui penonton pada 24 November depan, Taylor tidak mahu terus hanyut dengan kejayaan yang diterima menerusi filem puntianak itu.
Tegasnya, yang dinamakan sebagai aktor remaja yang menerima bayaran tertinggi pada tahun 2010, sebagai seorang aktor dia mahu terus mencabar dirinya dalam pelbagai watak dan juga genre filem.
"Setiap watak yang saya bawa merupakan watak baharu yang belum pernah saya cuba. Saya mempunyai pengalaman yang seronok dan sekarang saya memandang ke depan untuk melakukan sesuatu yang berbeza daripada Twilight dan Abduction.
Bagaimanapun saya tidak melihat diri saya di pentas muzikal kerana saya yakin peminat tidak mahu melihat saya di pentas muzikal," ucapnya.
Disoal sejauh mana persamaan antara Taylor dan wataknya sebagai Jacob Black dalam filem Twilight, sambil tersenyum Taylor mengatakan dirinya yang sebenar langsung tidak sama dengan Jacob Black.
"Saya tidak pernah sama dan tidak akan menjadi Jacob Black di dalam dunia sebenar kerana sebagai seorang lelaki saya memang tidak boleh melihat wanita yang saya cintai bersama dan mengahwini lelaki lain di depan mata saya sendiri. Itu memang bukan diri saya," luahnya yang berkawan baik dengan aktres remaja, Salena Gomez dan Dakota Fanning.
Akui Taylor, sukar untuknya meninggalkan set penggambaran filem Twilight dan berpisah bersama teman-teman lakonan dan krew selepas empat tahun bersama termasuk tujuh bulan penggambaran untuk sekuel keempat Breaking Down.
"Bagi sekuel terakhir, lima bulan penggambaran dilakukan di Baton Rouge dan dua bulan di Vancouver. Memang satu penggambaran yang mengambil masa cukup lama lebih kurang 110 hari penggambaran. Mulanya bila saya lihat jadual, saya fikir saya akan penat bila sampai dipenghujungnya kerana kami melakukan penggambaran dua bahagian serentak, tetapi tidak. Saya mempunyai masa yang cukup seronok dan langsung tidak penat apabila di set penggambaran.
"Sebab itu kami semua agak beremosi terutama pada hari terakhir penggambaran. Kami sudah lama bersama, bukan sekadar dua, tiga bulan tetapi sudah bertahun-tahun. Apa yang bagusnya kami akan bersama kembali untuk sesi promosi filem ini," jawabnya.
Meskipun jadual kerjanya padat, Taylor yang sempat bercinta dengan penyanyi remaja Taylor Swift sehingga tahun 2009 memberitahu, tidak ada masalah dengan jadualnya kerana dia melakukan kerja yang disukainya tanpa sesiapa pun memaksa.
"Saya sedang berseronok sekarang ini. Saya sibuk dengan promosi filem dan mengembara dari satu tempat ke tempat yang lain. Saya seorang yang suka mengembara jadi, saya akan meneruskan kerja seperti biasa, tiada rehat yang panjang. Tetapi saya tetap akan mencari masa untuk berehat dan mencari masa untuk diri saya sendiri," katanya.
Walaupun popular dalam yang cukup pantas, Taylor menegaskan dia masih orang sama seperti dahulu. Kehidupan yang berubah 360 darjah tidak bermakna dia harus mengubah cara hidupnya seratus peratus dan itu merupakan kunci untuknya berpijak di bumi yang nyata dan tidak hanyut dengan populariti yang dikecapi pada usia muda.
"Saya bersyukur kerana masih mempunyai kehidupan yang sama seperti sebelum ini. Saya tidak mahu mengubah satu pun kehidupan lama saya walaupun kehidupan baharu saya sangat mengujakan. Saya dapat lakukan kerja yang saya suka dan dalam masa yang sama saya masih tinggal bersama keluarga dan melepak bersama teman-teman yang sama.
"Jika di rumah, saya masih remaja yang normal, keluarga saya masih meminta saya membantu kerja-kerja di rumah seperti biasa, tiada layanan luar biasa buat saya. Secara jujurnya, teman-teman saya masih melayan saya sama seperti dulu yang mana saya rasa itu satu perkara yang bagus.
"Saya tidak mahu kerana saya berjaya dengan filem, layanan berubah, itu akan menjadi pelik. Mereka sangat menyokong apa yang saya lakukan dan merupakan pengkritik lakonan saya yang paling jujur," bicaranya panjang lebar.
Taylor Lautner
taylor lautner 8

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...