Sunday, September 25, 2011

Marsha mengaku masih waras



PENYANYI kelahiran Akademi Fantasia ini menganggap cerita dia menelan 30 biji pil tahan sakit adalah tidak berasas.


PENYANYI dan pelakon Marsha Milan Londoh mengaku yang dia putus cinta beberapa minggu sebelum tersebarnya berita mengenai cubaannya membunuh diri.
Bagaimanapun, dalam sidang akhbar yang diadakan di Alibi Music Sdn. Bhd. di mana baru-baru ini, Marsha memberitahu perpisahannya dengan jejaka Melayu itu tidak membuatnya tertekan.
"Hubungan kami memang tidak serasi. Sudah lama sebenarnya kami tidak rapat kerana ada on dan off sehinggalah beberapa minggu sebelum insiden itu kami benar-benar putus.
"Biarpun kecewa putus cinta setelah hampir dua tahun berkawan, saya tetap boleh bekerja seperti biasa kerana saya jenis orang tidak kisah tentang cinta.
"Jadi perkara ini (putus cinta) tiada kaitan langsung dengan kesihatan saya. Ia tidak membuatkan saya terlalu tertekan," ujarnya.
Baru-baru ini, Marsha ditemui pengsan di kawasan letak kereta di kediamannya di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur sebaik pulang daripada membeli makanan.
Bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) itu dilaporkan cuba membunuh diri dengan menelan sebanyak 30 biji pil tahan sakit.
Sambil mempertahankan dirinya, Marsha menjelaskan kejadian dia ditemui pengsan oleh pekerja penyenggaraan di kawasan kediamannya itu adalah disebabkan masalah kesihatan.
"Pada malam sebelum kejadian saya berasa kurang sihat.
MARSHA memohon maaf kerana berdiam diri sejak dua minggu lalu.


"Jadi saya ada mengambil ubat tekanan darah rendah kerana ia ada kaitan dengan penyakit sinobronkitis yang saya hidapi sejak 2009.
"Ketika pagi kejadian, saya masih berasa lemah tetapi gagahkan juga untuk membeli makanan bersendirian. Dalam perjalanan pulang, saya terlanggar pembahagi jalan dan berasa tertekan.
"Ketika ingin menuruni tangga dari tempat letak kereta ke rumah, saya hilang kawalan lalu terjatuh di tangga dan pengsan," ceritanya yang bakal muncul dengan single berjudul Tak Perlu Selamanya bulan depan.
Jelas Marsha, berita mengenai dia menelan sebanyak 30 biji pil itu adalah tidak berasas kerana dia masih waras daripada berbuat demikian.
"Macam mana cerita saya mengambil 30 biji pil boleh timbul pun saya tidak tahu kerana pada malam itu (sebelum ditemui pengsan) saya mengambil dua biji sahaja.
"Saya masih waras lagi. Kalau betul saya buat macam itu pasti saya sudah lama mati," tuturnya lagi sambil menguntumkan wajah ceria.
Marsha membuat penjelasan tersebut dua minggu selepas kejadian yang berlaku pada 7 September lalu dengan memberikan alasan bahawa dia perlu berehat dan tidak boleh tertekan.
Jelasnya, perkara itu perlu diikutinya termasuk tidak dibenarkan menjawab panggilan telefon atas nasihat doktor agar kesihatannya tidak terganggu.
"Saya ingin memohon maaf kerana tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau menjawab panggilan dalam tempoh dua minggu lalu kerana dinasihati doktor," katanya.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...