Saturday, September 3, 2011

Libya ada Presiden baharu dalam tempoh 20 bulan



SEORANG anggota penentang Muammar Gaddafi mengawal satu pusat pemeriksaan dekat sebuah lapangan terbang di Tripoli kelmarin.


LONDON – Libya akan mempunyai Presiden baharu bagi mentadbir negara itu selepas pilihan raya Presiden dan parlimen diadakan pada awal 2013.
Pendedahan itu dibuat oleh seorang wakil Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) yang kini sebuah badan yang mentadbir Libya setelah rejim Muammar Gaddafi tumbang.
“Kita mempunyai pelan jalan yang jelas, satu era peralihan kira-kira 20 bulan,” kata wakil NTC itu, Guma al-Gamaty kepada stesen penyiaran BBC di Britain.
Menurutnya, proses peralihan kuasa sedang berjalan dan pihak kepimpinan NTC akan menyelesaikan perpindahan mereka ke Tripoli dalam tempoh beberapa hari.
Dia berkata, satu majlis akan ditugaskan untuk merangka perlembagaan Libya sebelum pilihan raya tersebut diadakan.
Sementara itu, para pemimpin sementara Libya mendesak supaya pengikut-pengikut Gaddafi supaya meninggalkan Tripoli dan pulang ke kampung masing-masing.
Kenyataan itu dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Ahmed Darrad semalam.
“Tripoli kini bebas dan setiap orang perlu meninggalkan bandar ini dan kembali ke bandar mereka,” katanya.
Menurutnya, bermula hari ini, terdapat sejumlah anggota keselamatan yang akan bertugas semula.
Pergolakan di Libya bermula sejak Februari lalu apabila para pemberontak melancarkan serangan menentang kepimpinan Gaddafi yang sudah memerintah selama 42 tahun.
Rejim Gaddafi tumbang pada minggu lalu dan sehingga kini pemimpin tersebut masih bersembunyi manakala terdapat sejumlah pengikutnya yang masih melakukan serangan ke atas para pemberontak yang kini menguasai negara tersebut.
– Agensi

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...