MASALAH yang dihadapi Zuhairi kini mendapat perhatian daripada kerajaan negeri Terengganu |
KERAJAAN negeri Terengganu sedia menanggung kos perubatan dan rawatan susulan seorang bekas pemain skuad bola sepak Piala Presiden T-Team yang putus kesemua lima jari tangan kanannya akibat digilis mesin tebu di Marang, Terengganu dalam kejadian Ogos lalu.
Berita gembira itu disuarakan sendiri Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat yang memberi jaminan kebajikan Zuhari Ahmad, 21, tidak akan diabaikan sekalipun kontrak pemain itu bersama pasukan sudah berakhir.
Menurut Rozi yang juga pengurus pasukan T-Team, pihaknya kini sedang menunggu laporan daripada syarikat insurans berhubung tuntutan yang sewajarnya boleh diterima Zuhairi akibat daripada kecederaan itu.
"Kita akan menanggung kos perubatan dan rawatan pemain ini sehingga dia pulih sepenuhnya, dan kita akan lihat tindakan selepas ini mengenai kecederaan kekal yang dialaminya," kata Rozi ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Majlis Sukan Negeri (MSN) di Kuala Terengganu semalam.
Rozi juga menjelaskan, semua pemain dalam pasukan T-Team dan Piala Presiden T-Team memang dilindungi insurans termasuklah ketika menjalani latihan dan beraksi dalam mana-mana perlawanan.
Justeru, katanya, pihak keluarga Zuhairi perlu menunggu laporan daripada syarikat insurans untuk mengetahui sama ada pemain itu layak atau tidak mendapat tuntutan.
Kelmarin, jurulatih Piala Presiden T-Team, Yusuf Ali memberi jaminan akan membantu keluarga Zuhairi termasuk memberi peluangnya kembali beraksi dalam pasukan pada musim depan.
"Jika dia boleh beraksi dengan baik dan lulus pada sesi ujian pemilihan yang bakal dijalankan tidak lama lagi, maka dia boleh disenaraikan dalam pasukan," ujarnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan mengenai penderitaan Zuhairi yang terpaksa menanggung keseluruhan kos perubatan akibat kecederaan itu sehingga membebankan keluarganya.
Dia yang beraksi di posisi pertahanan mengalami kecederaan teruk itu pada 7 Ogos lalu apabila kesemua lima jari tangannya putus akibat digilis mesin tebu ketika sedang berniaga air tebu di bazar Ramadan di Marang.
No comments:
Post a Comment