Tuesday, September 27, 2011

air mata lelaki

INDAH... pasangan pengantin atas pelamin berkonsep perkahwinan dalam taman seperti diimpikan Memey.
INDAH... pasangan pengantin atas pelamin berkonsep perkahwinan dalam taman seperti diimpikan Memey.
RESTU...Abby sediakan pakaian sesuai untuk Danish dan Marissa bagi detik bersejarah Norman dan Memey.
RESTU...Abby sediakan pakaian sesuai untuk Danish dan Marissa bagi detik bersejarah Norman dan Memey.
HUJAN gerimis tiba-tiba menjadi lebat sebaik saja Mohamed Nurhakim Zaidon atau Norman Hakim, 35, menerima ucapan sah daripada saksi ketika majlis pernikahannya di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor, Sabtu lalu.

Ia merestui perkahwinan Norman bersama pasangannya, Suhaiza Suhaimi (Memey), 23, yang terpaksa melalui kontroversi dan pandangan negatif masyarakat selama tiga tahun.

Dengan hanya sekali lafaz di hadapan Penolong Pendaftar Nikah Daerah Kota Tinggi, Mohamad Zulkipli Tarmizi, Norman sah bergelar suami Memey.

Menemani Norman di atas pelamin ialah anaknya, Mohamed Danish Hakim, 8, dan Marissa Dania Hakim, 6.


Selari dengan hujan, air mata pelakon yang mula popular menerusi siri drama Gerak Khas ini mengalir terharu.

Tidak lama selepas itu, Memey yang cantik dirias Tiar Zainal, hadir di pelamin.
Adegan air mata itu berlarutan apabila pasangan pengantin sebak ketika membaca taklik perkahwinan.

Tetamu dan orang ramai menyaksikan babak emosi itu menerusi TV besar yang disediakan di luar.

Norman menyerahkan mas kahwin RM22.50 serta hantaran RM24,000 dalam bentuk cek mengambil sempena tarikh perkahwinan mereka serta lima dulang hantaran dan dibalas Memey dengan tujuh hantaran.

Majlis akad nikah dimeriahkan lagi dengan majlis berinai, memotong pulut kuning dan kek, pertunjukan bunga api dan persembahan hiburan termasuk joget lambak pada sebelah malamnya menyaksikan masyarakat di situ berduyun-duyun datang menyaksikannya.

Ia diadakan sebagai tanda terima kasih buat mereka yang bergotong-royong memasak untuk majlis kenduri.

Bilangan tetamu majlis kenduri mencecah 5,000 orang. Pasangan sejoli itu mengenakan pakaian rekaan Hatta Dolmat bersanding di atas pelamin berkonsep perkahwinan dalam taman seperti diimpikan Memey.

Norman yang ditemui selepas pernikahan berkata, perasaan sebaknya tidak dapat dibendung selepas mendengar tazkirah disampaikan jurunikah yang meresap jauh ke dasar hatinya.

“Secara tiba-tiba saya teringatkan kelemahan saya sebelum ini. Kini saya kembali jadi nakhoda kapal keluarga. Itulah puncanya saya sebak. Untuk majlis ini, saya rasa tenang dan aman damai. Mendirikan masjid (berkahwin) adalah tuntutan ibadah.

“Jadi saya akan pelihara rumah tangga ini bersama anak-anak sebaiknya,” katanya.

Memey yang berada di sisinya mengucap kesyukuran dan memberitahu ini adalah lembaran baru dalam hidupnya dan bersedia memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.

“Apabila sah bergelar isteri dan abang lafaz taklik, satu perasaan lain meresap dalam jiwa saya. Harap kehidupan baru ini membawa kami ke arah lebih baik.

“Perasaan saya juga sebak apabila lihat abang, ibu bapa serta mengenangkan apa yang berlaku sebelum ini.

“Apa pun, saya tiada masalah untuk berkongsi kasih sayang dengan ketiga-tiga anak tiri kerana menganggap mereka sebahagian dari kehidupan saya. Abang dah beri peluang buat saya kenal mereka sebelum ini. Mereka juga dapat terima saya seadanya. Syukur pada Illahi.

“Insya-Allah, saya masih belajar dan harapnya menerusi perkahwinan ini, saya cari pe�ngalaman baru dalam hidup,” katanya yang tidak menolak rezeki jika ditakdirkan cepat mendapat anak sendiri.

Pasangan ini meluahkan kata sepakat mahu melakukan yang terbaik supaya rumah tangga mereka berkekalan hingga akhir hayat. Proses mengenali antara satu sama lain semakin membantu mengeratkan hubungan mereka.

Kata Memey, Norman seorang yang sangat penyayang dan melayannya seperti anak kecil hingga membuatkan diri rasa dihargai setiap masa.

“Semakin saya kenal dia, semakin bertuah rasanya,” katanya yang seronok dapat mengadakan majlis bagi meraikan peminat dan masyarakat kampungnya.

Destinasi bulan madu impian sudah dikenal pasti iaitu Paris dan menunaikan umrah di Makkah.

Bagaimanapun, mereka belum dapat mencari tarikh yang sesuai kerana terikat dengan beberapa jadual lakonan yang ketat.

Mengenai sikap negatif sesetengah masyarakat yang sukar memaafkan kesilapan mereka, Norman berkata, mereka lalui semua itu dengan tenang.

“Sama ada tanggapan negatif atau positif, kami kena laluinya juga. Setiap manusia pernah lakukan kesilapan dan kami pun lalui seperti orang lain. Itu di luar bidang kuasa kami,” katanya.

Norman juga berterima kasih dengan bekas isterinya, Abby Abadi kerana mengizinkan Danish dan Marissa hadir pada hari bersejarahnya. Malah Abby sanggup menyediakan pakaian untuk digayakan mereka pada hari itu.

“Saya terharu atas penerimaan baik Abby terhadap perkahwinan ini. Ketika makan malam bersama anak-anak dan Abby di rumah keluarganya pada Selasa lalu, saya beritahu anak-anak yang saya akan kahwin. Saya tak fikir nak bawa mereka kerana tahu saya akan sibuk nanti.

“Keesokannya, ketika saya buat persediaan sebelum bertolak ke Kota Tinggi, Abby hubungi saya dan tanya sama ada mahu bawa mereka.

“Menerusi perbincangan kami, dia sediakan pakaian yang sesuai dan saya sebenarnya nak suruh anak-anak datang dengan keluarga saya.

“Hubungan saya dan Abby memang baik kerana kami sedar masing-masing ada
kelebihan dan kelemahan sendiri. Sampai satu peringkat, kami kena reda dengan apa yang berlaku. Memey juga terbuka dalam perkara ini.

“Yang kami tahu sekarang, masing-masing ada kehidupan sendiri. Mungkin kami hanya berpisah sebagai suami isteri, tapi kami tak berpisah sebagai ibu bapa anak-anak,” katanya yang berjanji memberikan kehidupan lebih baik buat anak-anaknya seperti yang diminta Abby sebelum ini.

Begitu banyak kenangan dikongsi ketika mengikuti majlis akad nikah dan resepsi perkahwinan Norman dan Memey. Perjalanan jauh ke dalam agak meresahkan kerana lokasi sebenar belum ditemui.

Perasaan rombongan media yang membuat liputan bertukar lega apabila melihat ‘banner’ menampilkan wajah pasangan ini mula dipasang di sekitar jalan masuk.

Tetapi itu bukan bermakna destinasi sebenar sudah ditemui kerana perlu menempuhi perjalanan sejauh 20 kilometer lagi untuk sampai ke majlis yang diadakan meriah dan hebat di daerah bersempadan dengan Mersing serta pulau-pulau kecil yang indah di Laut China Selatan.

Majlis yang berlangsung mendapat kerjasama baik masyarakat sekitarnya. Sebanyak 14 khemah disediakan oleh keluarganya bagi menyambut kehadiran 4,000 tetamu jemputan bagi bersama-sama meraikan hari bersejarah ini.

Menariknya, sebelum dapat bersama Memey yang menunggunya di atas pelamin, Norman dan rombongannya yang tiba pada pukul 2.45 petang terpaksa melalui tiga ‘tol’ yang menjadi tradisi masyarakat Johor. Selepas bersanding, mereka mengenakan pakaian rekaan Rizman Ruzaini pula untuk acara memotong kek.

Asam Pedaz: dah banyak kali tengok norman nanges...hikhikhik

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...