AWALNYA grup ini mahu dikenali dengan nama Roti, namun ia ditukar menjadi The Alif sewaktu ia mula bergerak di atas pentas hiburan.
Bertemu muka pada sesi penggambaran klip video single pertama mereka, Ku Benar Cintakan Mu di Ampang, Selangor baru-baru ini, The Alif memberi perkenalan terhadap grup yang baru setahun ditubuhkan ini.
Aliff selaku vokalis ditemani Bab (bass), Apai (dram) dan Wan (gitar) turut mempertaruhkan satu lagi single iaitu Apa Yang Ku Inginkan.
“The Alif membawakan genre Brit Pop, New Wave dan mahu mengetengahkan aspek melodi lebih daripada teknikal,” ujar Aliff.
Disentuh tentang perjuangan dan strategi seni di tengah-tengah industri hiburan tempatan yang semakin kompetitif, The Alif punya perancangan sendiri.
“Kami memang mahu keluar dengan melodi yang bagus, catchy dan senang diterima ramai. Itu antara perjuangan kami.
“Dahulu sewaktu bersama Roti, kami lebuh teknikal tetapi sekarang mahu lebih santai,” ujar Aliff yang berkolaborasi bersama Fendi untuk menulis material mereka.
Menyentuh tentang perjalanan lirik The Alif, ujar mereka, kumpulan itu mengambil coretan kehidupan sebagai isi penceritaan.
Tidak hanya berlandaskan isu cinta, sebaliknya The Alif membawa perkara asas yang berlaku dalam hidup malah di sekeliling kehidupan.
Merancang strategi memperkenalkan single perdana mereka melalui klip video, lagu Ku Benar Cintakan Mu divisualkan di tangan pengarahan Neves Pretty Ugly.
Mengambil lokasi di sekitar Putrajaya dan Ampang, Neves meletakkan konsep santai ke dalam klip video itu.
“Kita ambil feel Britain sikit bila buat penggambaran di Putrajaya. Sesi pembikinan klip video ini pun tidak memakan masa yang lama. Sekitar tiga jam sahaja,” ujar Neves selaku sutradara.
Menamakan OAG, Artic Monkey, Pretty Ugly dan The Beatles sebagai penembak semangat dalam bermuzik, The Alif yang bernaung di bawah label CD Bagasi ini merasakan strategi membikin klip video ini ada keberkesanannya.
“Zaman sekarang khalayak banyak dengar lagu di laman YouTube, itu kelebihannya. Melalui klip video di laman tersebut, umum akan mengenali kami melalui lagu dan visual.
“Kami rasa YouTube adalah alat paling senang untuk dikenali,” ujar Aliff yang mengaku malu-malu muncul di hadapan kamera berlakon buat kali pertama.
No comments:
Post a Comment