Sunday, September 4, 2011

Sekadar pengkarya seni





BERSALUT senyum, tangis, gurau serta selaut gejolak rasa, berembun mahupun berpanas semuanya mereka zahirkan tanpa banyak penolakan.
Upah bukanlah isu pokok tetapi apa yang lebih penting, kerja mereka dinilai sebagai sebuah karya yang bermaruah.
Mencantumkan tiga pemain layar daripada tiga generasi berbeza, Fauziah Nawi, Rosyam Nor dan Fouziah Gous, mereka ini antara wajah dominan yang sering bertandang ke ruang tamu kita semua.
Setiap kali Syawal, wajah mereka paling dinanti-nantikan. Mereka antara wajah wajib yang menghiasi skrin televisyen.
Pernah ada penonton yang bersungut, jemu kata mereka, lantaran kekerapan wajah yang sama bergulir mengisi banyak saluran tempatan.
Tidak kurang ada hati yang membentak dan mengkritik. Drama air mata yang biasanya mendapat rating yang tinggi dikira sebagai keterlaluan.
Ia bersifat melankolik, klise dan paparan kesedihan melampau sehingga membunuh keseronokan berhari raya.
Kepada Rosyam, Fauziah Nawi dan Fouziah Gous, isu itu diajak bercanda dan luahan-luahan mereka berlegar dalam emosi Aidilfitri yang masih basah.
Rosyam
BUAT kali pertama sepanjang tempoh lebih lima tahun, wajah Rosyam tidak muncul dalam sebarang judul drama hari raya pada Syawal 2011.


Ikatan antara Rosyam dan Fauziah Nawi tidak perlu dipaksa lagi bahkan sudah sebati berlakon bersama sejak hampir sepuluh tahun lalu.
Bersama Fouziah Gous sendiri, walaupun daripada angkatan yang jauh lebih junior, mereka pernah berkolaborasi dalam drama Trilogi Cinta.
Masuk terus ke topik yang diusulkan, pemilik rumah produksi Suhan Movies itu segera mengakui bahawa inilah tahun pertama kelibatnya tidak terselit dalam drama raya 2011.
“Nampaknya, muka saya hanya masuk beraya dalam surat khabar. Sebenarnya sudah tujuh bulan saya berehat seketika daripada lakonan.
“Memang kebetulan saya sedang berehat sekejap daripada lakonan lepas penat buat Trilogi Cinta dan Pilih Kasih,” ujarnya.
Ditanya merajukkah dia gara-gara selalu menjadi buah mulut orang yang sinis dengan kekerapan kemunculannya mengisi drama-drama raya di kaca televisyen?
“Merajuk dalam lakonan tiada dalam kamus hidup saya. Saya akan tetap berlakon sampai ke hujung hari.
“Cuma tahun ini, orang tak boleh salahkan saya kononnya selalu buat cerita sedih dan mati semasa raya.
“Peliknya, drama sedih dan mati itu jugalah yang penonton ingat. Maknanya drama begitu yang paling berkesan.
“Saya cuma paparkan realiti dalam kehidupan, tentang hidup melarat.
“Bagi saya orang yang kritik cerita sebegitu adalah orang tak pernah kenal erti susah. Saya alaminya.
“Bapa saya pernah tiada wang untuk bayar zakat fitrah untuk kami sekeluarga.
“Soal mati pula, memang ada orang meninggal hari raya begitu juga dengan hubungan anak dengan ibu bapa, memang ada orang hanya teringat nak jumpa ibu bapa pada musim raya,” kata Rosyam yang berharap setiap karyanya akan menyebarkan dakwah walaupun sebesar kuman.
Dia akan terus diingati dengan judul seperti Daun Ketupat Kering, Pondok Buruk, Takdir Sedang Berbisik, Beras Kunyit Di Pagi Syawal, dan Mentari Merah Di Ufuk Timur.
“Budaya raya orang Melayu memang dari dahulu lagi diraikan dengan meriah. Tak cukup dengan persiapan dan sambutan, stesen televisyen juga berlumba-lumba terbitkan bermacam program raya.
“Siang hari orang suka tengok program nyanyian dan hiburan, bila malam, orang akan tengok cerita sedih, ” katanya.
Mula masuk pejabat esok setelah seminggu bercuti raya, sambutan lebaran bagi Rosyam sekeluarga hanya di sekitar ibu kota memandang rumah ibunya terletak di Kampung Melayu, Subang, Selangor manakala rumah mertuanya pula di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Fauziah Nawi jadi galang ganti
FAUZIAH NAWI akan muncul dalam satu-satunya drama raya baharu untuk 2011 dengan judul Bara Cinta Ramadan 12 September nanti.


Fauziah Nawi yang mesra dibahasakan ibu oleh kebanyakan artis dan kerabat seni pula sekadar muncul untuk satu-satunya telemovie raya terbaru tahun ini.
Katanya, banyak drama lakonannya yang tersiar itu ialah drama ulangan yang sudah diulang siar sejak bertahun-tahun.
“Bila banyak drama kita tersiar, orang akan kata saya banyak terima tawaran, padahal itu semua ulangan.
“Saya anggap itu rezeki tapi dari sudut negatifnya, tawaran untuk saya makin kurang sebab ada stesen tidak gemarkan wajah yang sudah terlalu kerap disiarkan.
“Tahun ini juga, saya tidak berlakon iklan raya macam yang ditonton dalam iklan Ribena sejak tahun 2007,” katanya yang bakal muncul dengan telemovie Bara Cinta Ramadan untuk TV3 pada 12 September nanti.
Meleret senyumnya diusik si Rosyam, kedekatan ibu kepada dua cahaya mata itu bersama Rosyam sudah tidak asing di mata umum.
“Dia (Rosyam) macam dah manja dengan saya. Kalau saya ada kerja lain, dia akan merajuk manja, kata saya tak sudi berlakon dengannya.
“Dia tetap akan minta kelapangan dan saya pula jenis yang tak pandai ambil lebih daripada satu tawaran pada satu-satu masa.
“Sampai sekarang saya masih sukakan lakonan kami dalam drama Takdir Sedang Berbisik.
“Rosyam jadi anak saya yang lumpuh, manakala isterinya lakonan Umie Aida bermain kayu tiga dengan lelaki lain (Faizal Hussien).
“Saya ketuk muka Rosyam dengan kertas dan cakap dia degil. Momen itu dapat dirasai dan dalam drama itu juga, watak saya tidak perlu menangis beria-ria.
“Saya suka babak bercakap seorang diri, kononnya nak tumpang tidur di pangkal pokok getah dan mati di situ dalam cerita berkenaan,” kenang Fauziah Nawi.
Menganggap tiada kelainan ketara dari segi konsep kesemua program raya setiap tahun, aktivis seni berusia 58 tahun itu faham benar dengan budaya penonton sekarang.
“Bila ada drama sedih, mendayu-dayu, ada yang merungut tetapi drama sebegitu yang melekat dalam fikiran penonton.
“Ada juga yang terhibur dan berasa seronok dengan kesedihan yang dipaparkan.
“Best kata mereka. Kalau ada komedi yang merapu-rapu sangat, kita sendiri rasa tak larat nak tonton, jadi kena ada elemen melodrama, baru jiwa Melayu.
“Selebihnya, program nyanyian dan bersalam-salaman, itu sahaja,” katanya jujur.
Emosi raya ibu kepada dua anak, Pit dan Siti yang mewarisi bakat seninya itu sebenarnya lebih halus.
Dalam usia sepertinya, dia sebak mengenangkan hari raya tidak lagi dapat disambut bersama kedua orang tua. Doa terhadap arwah suami juga tak padam di ingatan.
“Saya masih ingat pesan ibu supaya jangan tinggalkan rumah pada malam hari raya. Saya macam galang ganti ibu dan nenek.
“Sehari sebelum raya saya sudah memasak bermacam lauk-pauk sebab rumah saya yang jadi tumpuan adik-beradik yang lain.
“Mereka datang berbuka puasa dan akan cakap masakan saya macam masakan arwah ibu. Itu pun sudah cukup bahagia,” katanya yang akan mula bekerja selepas 10 Syawal nanti.
Anak dara masuk dapur
RENCANA awal Fouziah untuk beraya di Bandung, Indonesia terpaksa dibatalkan atas urusan keluarga. Dia menghabiskan cuti raya di ibu negara sahaja.


Wajah wanita muda dengan tanda dagang rambut panjang mengurai ini belum lagi masuk senarai wajah paling wajib untuk bulan Syawal.
Tapi raut wajah manisnya kini sudah membuatkan ramai terpukau dengan keayuannya bertudung.
Nama Fouziah Gous sedang menjadi sebutan sebagai aktres yang meneraju program-program televisyen dengan produk yang mantap dan padu.
Ketawa Fouziah yang sampai awal ke lokasi fotografi. Katanya, kombinasi ini kalau dilihat secara kasar tampak janggal tetapi sebenarnya ada benang halus yang sudah lama menyulam hubungan kimia antara mereka bertiga.
“Saya berlakon dengan Abang Rosyam Nor untuk Trilogi Cinta dan kemudian dengan ibu Fauziah dalam filem Rasuk.
“Sebenarnya ada ikatan antara kami,” ujarnya yang turut merujuk kepada kekerapan Rosyam beregu bersama Fauziah Nawi.
Teruja dengan telefilem ‘Tribute To P. Ramlee’ di bawah bumbung Suhan Movies, Fouziah sempat menghabiskan masa selama dua minggu untuk produk Kalau Dah Jodoh lakonan bersama Zahiril Adzim dan Iqram Dinzly.
“Sepanjang bulan puasa saya banyak buat persiapan raya dan buat kuih raya. Sejak usia 16 tahun saya sudah belajar buat kuih raya sendiri,” ujarnya ketawa manja.
Masuk ke dalam emosi program raya yang berbaur sedih, ujarnya ada bagusnya khalayak dijentik sebegitu.
“Bila puasa, emosi mereka lain sedikit dan ramai yang mahu berbuat amal. Begitu juga drama, ada realiti yang dipaparkan.
“Malah, banyak yang boleh dipelajari daripada mesej-mesej sedih, sayu, pilu dan gembira yang dipaparkan,” ujarnya.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...