Saturday, August 27, 2011

Jadi pemandu yang bertimbang rasa







KALAU diizinkan Tuhan, umat Islam di Malaysia bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri pada hari Selasa depan. Selepas sebulan berpuasa, pastinya semua orang mahu menyambut hari penuh bahagia itu bersama mereka yang tersayang di kampung halaman.
Sudah menjadi amalan pada setiap tahun, kebanyakan daripada kita akan pulang ke kampung. Sama ada memandu atau menaiki kenderaan awam, kota-kota besar terutama Kuala Lumpur akan ditinggalkan sepi untuk beberapa ketika.
Sementara bandar-bandar seperti Kota Bharu, Kuantan, Ipoh atau Seremban akan berubah wajah menjadi sangat sesak dengan kenderaan. Jumlah kenderaan bertambah berlipat kali ganda.
Sesaknya tidak ubah seperti di lebuh raya Persekutuan ketika orang ramai hendak pulang untuk berbuka puasa. Maklumlah, ramai yang hendak menayangkan kereta baharu mereka kepada orang kampung.
Baiklah, semua persiapan raya telah dibuat. Baju Melayu dan baju kurung sudah diambil dari kedai jahit. Kuih-kuih raya dan kerepek untuk hidangan tetamu di pagi Syawal pula telah siap dibeli serta diletakkan di dalam kereta.
Tetapi, adakah kenderaan anda sudah bersedia untuk menempuh perjalanan yang jauh dan panjang itu? Bagaimana pula dengan persediaan anda sendiri sebagai seorang pemandu? Sudah bersedia dari segi fizikal dan mentalnya? Semua ini penting kerana selain masalah kenderaan, sikap pemandu merupakan antara punca utama berlakunya kemalangan.
Rancang perjalanan
Sebagaimana yang biasa dibuat, kita akan sibuk pergi ke bengkel untuk membolehkan kereta diservis. Bagi mereka yang memang tidak pernah tertinggal membuat penyelenggaraan secara berkala, besar kemungkinan kenderaan berada dalam keadaan yang memuaskan. Namun, ambillah sedikit masa untuk membuat pemeriksaan ringkas.


PIHAK polis akan menjalankan operasi bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang lalu lintas.



Bagi anda yang bakal berjalan jauh seperti ke negeri Utara atau Pantai Timur, pastikan perjalanan ke kampung dirancang. Ambil perhatian terhadap jadual waktu perjalanan yang diumumkan oleh pengendali lebuh raya seperti Projek Lebuh Raya Utara-Selatan Berhad (PLUS). Jadual waktu itu cukup kritikal dalam memastikan perjalanan di lebuh raya dapat dilakukan dengan lancar dan selamat.
Anda mahu memulakan perjalanan selepas berbuka? Janganlah makan sehingga tidak ingat dunia. Ia hanya akan membuatkan mata berat ketika memegang stereng. Jika mengantuk, ambil masa untuk berehat di R&R. Setelah tubuh kembali segar, mulakan semula perjalanan.
Jangan berhenti di tepi jalan
Masih segar dalam ingatan, saya terpaksa menempuh kesesakan teruk dalam tempoh yang lama di lebuh raya Karak dan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menuju ke Kuantan pada menjelang hari raya tahun lepas.
Situasi ini memang menghairankan kerana lebuh raya Karak jarang sekali menjadi terlalu sesak. Selepas melepasi azab itu, barulah tahu bahawa tiada apa yang berlaku sebenarnya.
Tiada kemalangan atau sebagainya. Tetapi kesesakan itu berlaku kerana banyak kereta berhenti di tepi jalan. Antaranya untuk merokok dan pengguna jalan raya yang lain memperlahankan kenderaan untuk melihat apa yang berlaku! Ini sememangnya situasi yang tidak perlu ditempuh jika kita semua tidak berhenti sesuka hati di tepi jalan.
Sebagai seorang yang gemar memandu pada waktu malam, saya sentiasa berdepan dengan pemandu-pemandu yang tidak bertimbang rasa.
Memasang lampu tinggi sepanjang perjalanan memang menyakitkan hati orang yang memandu di hadapan dan bertentangan dengan anda. Sakit hati makin bertambah jika lampu itu mengalahkan lampu sorot stadium. Silap-silap, sampai rumah boleh jadi sakit kepala.
Jadi, sila peka dengan persekitaran anda. Rendahkan lampu jika ada kenderaan di hadapan dan di laluan bertentangan. Ini juga merupakan salah satu tanda anda menghormati pengguna jalan raya yang lain.
Pandu di lorong yang betul
Kita mempunyai kecenderungan yang berbeza ketika memandu. Ada yang gemar memandu laju dan ramai juga bersikap sebaliknya. Itu tidak salah jika anda berada di lorong yang betul.


MENERIMA surat saman daripada pihak berkuasa pastinya bukan pengalaman indah ketika balik beraya.



Jangan sekali-kali memandu perlahan di lorong laju. Mungkin perkara ini kedengaran remeh, tetapi tidak sedikit yang bersikap sedemikian. Memandu perlahan di lorong laju bukan sahaja melambatkan perjalanan orang lain, malah tidak mustahil boleh menyebabkan kemalangan kerana pemandu di belakang tidak tahu kelajuan sebenar kenderaan anda.
Pasti ramai antara kita yang akan melalui lebuh raya bertol. Di sini, ada beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan kesesakan di tol.
Pertama, gunakan kad Touch N Go atau Smart Tag untuk melancarkan perjalanan. Pembayaran tol secara manual hanya melambatkan perjalanan.
Sila pastikan juga anda tidak memotong barisan ketika hendak membayar tol. Perbuatan sebegitu memang tidak beradab dan mementingkan diri sendiri.
Lorong Kecemasan
Lorong kecemasan adalah untuk hal-hal kecemasan seperti sakit tenat dan sebagainya. Jadi, hal anda untuk bermain mercun dengan anak saudara di kampung atau hendak merasa rendang yang dibuat ibu untuk hari raya esok bukan kecemasan.
Menggunakan lorong kecemasan hanya akan menyebabkan kesesakan apabila kenderaan mula mencelah-celah untuk memasuki ke laluan utama kerana lorong kecemasan itu sudah tiba di penghujungnya.
Satu lagi perkara yang harus diambil kira ialah tahu kemampuan dan kekangan kenderaan anda. Maksudnya, pandulah kereta secara selamat. Jangan pandu Myvi mengalahkan BMW 5 Series lajunya.
Walaupun pihak berkuasa akan melaksanakan operasi sepanjang cuti hari raya ini, ia tidak akan mampu mengurangkan kadar kemalangan jika kita sebagai pemandu tidak mengambil langkah berhati-hati di jalan raya.
Akhir kata, patuhi semua undang-undang lalu lintas. Jadilah pemandu berhemah dan bertimbang rasa. Selamat menyambut hari raya dengan gembira!
Hati2 Di Jalan Raya Kawan2! Kami Doakan Semua Selamat Ya! Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin!

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...