Friday, April 11, 2014

Memori ngeri menyayat hati! 1 juta orang mati!!!!


RIBUAN etnik Tutsi terpaksa berjalan kaki ke kem-kem pelarian di sempadan Republic of Congo bagi menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai.



PADA 7 April lalu, genap dua dekad kejadian menyayat hati yang paling diingati di seluruh dunia iaitu pembunuhan beramai-ramai rakyat Rwanda yang dirancang oleh kumpulan elit teras politik dikenali sebagai akazu.
Bagi memperingati kejadian berdarah yang mengorbankan 500,000 hingga sejuta rakyat Rwanda itu, terdapat gerakan di peringkat global mengingati dan mendidik masyarakat tentang apa yang berlaku.
Sebahagian rakyat Rwanda yang terselamat telah berkongsi pengalaman pahit mereka di Amerika Syarikat (AS) dengan harapan para pelajar akan mendengar sekali gus menjadikannya sebagai pengajaran tentang apa sebenarnya yang terjadi.

TONA
Di hadapan sebuah bilik yang penuh sesak di Universiti Southern California di Los Angeles, Yanick Tona mengimbas kenangan mengerikan dan penderitaan yang tidak pernah dialami kebanyakan orang.


Tona menjadikan pengalamannya itu untuk mendidik pelajar di seluruh dunia tentang apa yang berlaku di Rwanda dua dekad lalu dan apa yang menimpa diri dan keluarganya.
"Saya masih ingat kali pertama melihat kejadian pembunuhan itu. Kali pertama saya melihat seseorang itu dibunuh dan ia merupakan pengalaman pertama menyaksikan mayat.
"Saya terpaksa bersembunyi dalam semak, pada masa sama saya mendengar orang menjerit dengan anggota badan yang penuh kesan tetakan dan darah. Mayat pula bergelimpangan di jalan raya," katanya.
Tona berusia empat tahun ketika kejadian pembunuhan beramai-ramai selama 100 hari meletus pada tahun 1994.
Pada masa itu, sejuta orang telah dibunuh dengan purata tujuh orang setiap minit.
"Saya tidak ingat tarikh atau jam, tetapi saya ingat peristiwa tersebut.
"Namun, apabila saya membesar, saya mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenainya. Saya meminta ibu atau keluarga memberitahu saya tentang kejadian berkenaan," ujarnya.
Tona dan keluarganya tinggal di wilayah selatan Rwanda. Bapanya adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya, bermakna keluarga mereka dilabelkan sebagai Tutsi atau kelas atasan.

TENGKORAK dan tulang sebahagian mangsa pembunuhan beramai-ramai dikumpul di sebuah gereja sebagai satu memorial memperingati kejadian yang berlaku di Rwanda pada dua dekad lalu.


Kem pelarian
Semasa pembunuhan beramai-ramai, etnik Hutu iaitu mereka yang berada dalam kelas pertengahan dan rendah mula membunuh orang Tutsi tanpa mengira umur atau jantina.
Ketika bapa Tona pergi ke ibu negara Kigali untuk menyertai pasukan pemberontak Tutsi, seluruh keluarganya telah berpecah dan menuju ke kem-kem pelarian negara jiran iaitu Republic of Congo.
Tona pula mengikut ibunya dan mereka menghala ke kem pelarian dengan berjalan kaki.
"Kami berjalan lebih daripada tiga minggu. Saya berumur empat tahun sedangkan dalam hidup saya, saya tidak pernah berjalan lebih daripada 10 minit, namun dalam sekelip mata, segala-galanya berubah.
"Kita berjaya mengharungi kebuluran dan tanpa makan lebih daripada tiga minggu. Jika kita pergi membeli makanan di pasar, mereka akan membunuh kami. Sebelum ini, saya tidak pernah terlepas sarapan, makan tengah hari atau makan malam," katanya.
Tona benar-benar jujur dalam ceramahnya, berkongsi beberapa kenangan ngeri dan pengalaman sepanjang perjalanan tersebut.

SEORANG anggota tentera Zaire yang kini dikenali sebagai Republic of Congo memeriksa timbunan senjata yang dirampas daripada tentera kerajaan Rwanda pada 18 Julai 1994.


Terselamat
Malah, beberapa rakan keluarganya termasuk seorang pemuda yang yuran sekolahnya dibayar oleh keluarga Tona turut cuba membunuh mereka.
"Ke mana sahaja kita melarikan diri, sentiasa ada orang cuba untuk membunuh kami.
"Setiap sudut di jalan raya dan belukar akan ada seseorang datang untuk membunuh kami sedangkan saya berusia empat tahun, saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku," jelasnya.
Malang menimpa Tona apabila adiknya yang berusia setahun dan neneknya terbunuh dalam insiden pembunuhan beramai-ramai itu.
Seorang lagi mangsa, Edith Umugiraneza yang masih bergelut tentang fakta bahawa dirinya terselamat turut tidak dapat melupakan kenangan keluarganya termasuk ibu, adik dan saudara-mara yang lain terkorban dalam kejadian berkenaan.
"Terselamat pada saya merupakan satu masalah. Ini kerana saya sepatutnya dipersalahkan, kenapa saya selamat, mengapa saya tidak pergi bersama mereka yang lain.
"Sekarang, saya sering mempersoalkan mengapa dan mengapa sepanjang masa apabila terkenang kejadian tersebut," kata Umugiraneza.
Bagaimanapun, kini dia yang tinggal di AS telah dapat mengawal perasaan tersebut dengan penyembuhan menerusi doa di samping berkongsi cerita bersama mangsa lain yang terselamat.
"Ia telah berlaku dan kita tidak boleh mengembalikan rakyat kita, jadi kita perlu bergerak dan membantu antara satu sama lain," ujarnya.
Pengalaman dan cerita Umugiraneza telah menjadi sebahagian daripada arkib video di Institut Visual Sejarah dan Pendidikan, Yayasan Shoah Universiti Southern California.
Pihak institut tersebut telah mengumpul video testimoni daripada mangsa pembunuhan beramai-ramai di beberapa negara di dunia ini.
Bagi kes Rwanda pula, institut berkenaan menyasarkan untuk mengumpul sebanyak 500 testimoni. Setakat ini, sejumlah 65 testimoni telah berjaya disimpan dalam arkib visual sejarah oragnisasi berkenaan.
Pada masa sama, institut berkenaan turut terlibat dengan Kwibuka20, satu siri acara seluruh dunia termasuk dunia maya bagi memperingati ulang tahun ke-20 pembunuhan beramai-ramai di Rwanda.
Pada laman web Kwibuka20 yang diwujudkan pula, orang ramai boleh menawarkan mesej harapan dan perpaduan.
Sementara itu, Stephen Smith dari Yayasan Shoah Universiti Southern California merupakan Pengarah Eksekutif bagi Kwibuka20.

RWANDA merupakan negara yang terletak di timur tengah Afrika Selatan.


Pandangan
"Orang ramai dari seluruh dunia datang bersama-sama sebagai sebuah komuniti bagi mencerminkan apa yang berlaku.
"Pada masa sama, mereka turut menyuarakan pandangan mereka dengan jelas berhubung pembunuhan beramai-ramai pada dunia hari ini dan apa yang boleh dilakukan mengenainya serta bagaimana untuk melibatkan diri," kata Smith.
Seorang pelajar universiti tersebut, Gregory Irwin teruja untuk terlibat sama selepas penyelidikannya ke Rwanda telah menemukan dia dengan mangsa yang terselamat dan mendengar cerita-cerita mereka.
"Saya telah didorong untuk melakukan sesuatu berhubung kejadian pembunuhan beramai-ramai itu berbanding sebelum ini," katanya.
Pelajar, Nora Snyder yang juga berpeluang berkunjung ke Rwanda turut bersependapat dengan Irwin.
"Kejadian yang berlaku di Rwanda sebenarnya masih terjadi pada dunia hari ini bahkan ia akan terus berlaku kecuali kita mengambil masa untuk mengingatinya," kata Snyder.
Dalam pada itu, sebagai sebahagian daripada persatuan pelajar, Yayasan Shoah menganjurkan acara di kampus yang turut disertai oleh Tona dan Umugiraneza bagi memperingati kejadian pembunuhan beramai-ramai itu.
Tujuannya adalah untuk menjadikan para pelajar mengambil berat serta melakukan sesuatu bagi mencegah atau menghentikan apa-apa kejadian pembunuhan beramai-ramai pada masa depan.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0411&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2yZa8pmhy 
Hakcipta terpelihara 

Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...