Friday, April 11, 2014

Emma Maembong antara produk, lakonan dan lelaki

EMMA MAEMBONG mengakui ada terfikir untuk bergerak sendiri dalam menguruskan karier seninya.


POPULARITI bukan tiket untuk seseorang artis besar kepala atau lebih tepat cerewet. Adakalanya, kedudukan itu membuatkan barometer individu berkenaan cepat berubah.
Mengakui hipotesis bahawa nilai populariti mempengaruhi nilai tawaran sama ada berlakon mahupun dilantik menjadi duta sesebuah produk, jelas Emma, dia bagaimanapun lebih melihat daripada perspektif hubungan jangka panjang.
"Perlu untuk selektif dalam beberapa hal, contohnya berlakon dan tawaran menjadi duta produk tapi saya lebih melihat kepada hubungan antara saya dan pihak yang menawarkan.
"Kalau kita senang bekerjasama maka tiada masalah bagi saya. Bukan bermakna saya cerewet tapi saya perlu fikir hubungan untuk bekerja dalam jangka masa panjang.
"Menyentuh soal bayaran untuk sesebuah produk pula, saya tidak kisah jika nilainya tidak sebenar mana," ujarnya yang ditemui usai majlis pelancaran dan pelantikan duta baharu produk kecantikan tambahan Maixara di Mega View, Menara Kuala Lumpur baru-baru ini.
Lelaki dan Zizan
Emma menjelaskan, prinsip yang sama dipegangnya dalam urusan menilai lelaki yang boleh mendampinginya. Bukan sembarangan!
"Saya bukan orang yang memilih untuk berkawan tapi soal hati saya perlu fikir panjang. Adakah dia boleh membahagiakan saya, pandaikah dia mengambil hati saya dan paling penting adakah dia boleh cocok dengan keluarga saya?
"Menerima saya adalah menerima pakej yang datang bersama. Saya punyai keluarga yang besar dan tanggungjawab yang selari dengan saiz keluarga saya, maka konsep menerima dan memahami sangat penting," tambahnya.
Emma mengakui, jejaka yang paling rapat dengannya kini iaitu Zizan Razak merupakan lelaki yang paling senang mengisi ruang hatinya berbanding kenalan sebelum ini.
"Dia merupakan lelaki pertama yang saya bawa berjumpa dengan ayah saya, itu maknanya kami bukan main-main.
"Lucunya pada kali pertama mereka bertemu, ayah saya langsung tidak mengenali siapa itu Zizan Razak. Dia terkejut apabila setiap kali keluar makan bersama akan ada peminat yang datang mahu bergambar bersamanya.
"Sampailah dia merisik kawan-kawan rapatnya dan akhirnya mengetahui bahawa Zizan seorang artis sebenarnya," kata Emma yang tidak pernah menerima bantahan daripada bapanya sepanjang perkenalan dengan Zizan.

NOR AINNA (kanan) dan Azman bersama Emma pada sidang akhbar pengumuman Emma sebagai duta Maixara di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Mengaku
Keterbukaan Emma dan Zizan meluahkan rasa cinta dan sayang di laman sosial Instagram masing-masing bagai mengiyakan perhubungan lebih sekadar kawan yang wujud antara mereka berdua.
Kata Emma, dia dan Zizan kini berada dalam fasa selesa dan mengenali satu sama lain tapi masih memerlukan sedikit masa untuk ke peringkat selanjutnya.
"Bukan tidak yakin tapi saya perlukan masa, tanyalah sesiapa pun pasti jawapannya sama. Untuk menerima seseorang hadir dalam hidup itu perlu mengenali hati budinya.
"Saya tiada niat mahu sembunyikan hubungan kami selama ini. Bukan tidak mahu mengaku tapi risau kalau terlalu terbuka berkongsi kisah cinta akhirnya tidak jadi apa-apa," katanya yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-22 pada 27 Mac lalu.
Tiada pegang-pegang
Baik Emma mahupun Zizan masing-masing tidak menetapkan sebarang matlamat untuk melanjutkan hubungan ke fasa perkahwinan.
"Kami tidak pernah pun duduk berbincang secara serius mengenai perkara itu (berkahwin). Sejujurnya saya mahu mengenalinya terlebih dahulu.
"Memang Zizan pernah maklumkan dia mahu menamatkan zaman bujangnya tahun ini tapi itu sebelum kami mengenali satu sama lain.
"Maka, orang melihat rancangan itu adalah rancangan kami berdua," jelasnya.
Selektif Emma merangkumi proses fotografi. Pemilik nama penuh Che Fatimah Rohani Ismail itu menegaskan, dia enggan lagi bergambar mesra dengan mana-mana lelaki.
"Tak perlu pun untuk berpelukan dengan lelaki kalau mahu merakamkan gambar yang menarik. Duduk bersebelahan pun tiada salahnya.
"Saya menghormati keluarga saya dan tidak mahu orang menyalah anggap. Ayah pun melarang keras kami adik-beradik perempuan untuk bergambar mesra dengan lelaki," katanya yang akan cuba mengelak berlakon adegan romantis selepas ini.
Keluar Wirefame?
Sementara itu, sebelum ini pernah timbul desas-desus bahawa Emma bakal meninggalkan syarikat pengurusan yang mengendalikan kariernya sepanjang bergelar artis, WireFame Entertainment Sdn. Bhd.
Mengulas mengenai khabar itu kata Emma, dia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan menyatakan hasrat untuk keluar daripada pengurusan itu.
"Saya masih lagi bersama WireFame dan tidak pernah pula saya cakap saya mahu keluar walaupun kontrak saya dengan syarikat itu sudah hampir tamat.
"Cuma memandangkan usia saya dalam industri semakin matang, saya ada terfikir untuk bergerak sendiri. Tiada sesiapa pun yang memaksa atau menghalang," jelasnya.
Emma turut menegaskan, dia tidak pernah terlintas untuk keluar daripada WireFame dan menyertai syarikat pengurusan yang dikendalikan oleh Dafi Ismail Sabri, Laugh Out Loud.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0411&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz2yZbQXXpy 
Hakcipta terpelihara 

Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...