Sunday, March 30, 2014

Pesawat temui 11 objek di Lautan Hindi


GAMBAR menunjukkan salah satu objek yang dilihat dari atas sebuah pesawat milik Tentera Udara Diraja New Zealand di lokasi kawasan pencarian baharu dari di Lautan Hindi semalam.


SYDNEY - Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) menyatakan, lima pesawat carian menemui beberapa buah objek pelbagai warna di kawasan pencarian baharu.di Lautan Hindi.
"Imej fotografi objek yang dirakamkan itu akan dinilai malam ini (semalam).
"Bagaimanapun, objek itu tidak boleh disahkan atau diambil kira sebagai serpihan pesawat MH370 sehingga ia tidak dipindahkan di atas kapal," kata AMSA dalam satu kenyataan.
Menurut AMSA, jumlah keseluruhan 10 pesawat yang mengendalikan pencarian di kawasan baharu merangkumi keluasan 250,000 kilometer persegi .
Agensi tersebut berkata, misi mendapatkan objek itu merupakan tugasan kapal peronda Pentadbiran Maritim China, Haixun 01 yang melakukan pencarian di kawasan itu.
Ia akan memproleh objek-objek itu pada hari ini.
"Keadaan cuaca dijangka munasabah untuk melakukan pencarian pada hari ini," kata AMSA.
Antara pesawat yang mengesan objek adalah sebuah pesawat Tentera Udara Diraja New Zealand dan pesawat peninjau Australia, P3 Orion.
Berdasarkan laporan berita BBC, 11 objek dikesan berada di dalam kawasan pencarian baharu itu.
Terdahulu, AMSA dalam satu kenyataan berkata, misi pencarian pesawat Malaysia Airlines itu dipindahkan ke lokasi baharu kira-kira 1,100 kilometer ke timur laut Perth berdasarkan maklumat terkini yang disalur oleh pasukan penyiasat antarabangsa di Malaysia.
Pihak AMSA berkata, agensi penyiasatan Australia, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) telah menyemak data itu dan memutuskan maklumat tersebut merupakan petunjuk paling kukuh bagi mengesan kemungkinan serpihan.
Operasi pencarian penerbangan MH370 dipindahkan ke utara di Lautan Hindi selepas petunjuk baharu mendapati pesawat mungkin bergerak lebih laju daripada anggaran asal. - Agensi
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0329&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2xN45arAM 
Hakcipta terpelihara 



Anda ingin cuba Nasi Briyani Boom Batu Pahat Yang Sangat Sedap & Popular? Kami mengambil tempahan katering untuk sebarang majlis kecil dan besar! Hubungi kami hari ini! 

Monday, March 24, 2014

MH 370- PM Australia yakin lokasi misi pencarian di Lautan Hindi


Seorang juruterbang, Dave Smith (kanan) memberikan taklimat misi pencarian pesawat MH370 sebelum kapal terbang P-3K2 Orion berlepas dari sebuah pangkalan tentera dekat Perth kelmarin.


PERTH - Penemuan satu palet kayu kargo dan beberapa serpihan lain yang mungkin mempunyai kaitan dengan sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang pada 8 Mac lalu meningkatkan harapan untuk mencari kapal terbang itu.
Pencarian pesawat Boeing 777-200ER itu kini pada akhirnya berada pada landasan yang betul selepas lebih dua minggu misi pencarian melibatkan beberapa buah negara menemui petunjuk yang tidak mempunyai kaitan dengan kehilangan kapal terbang berkenaan.
Misi pencarian itu juga diperkukuhkan dengan penemuan imej baharu yang dikesan satelit Perancis yang menunjukkan terdapat objek terapung di lokasi pencarian kapal terbang MH370.
Beberapa pegawai Australia menyatakan kayu palet bersama tali pinggang atau tali pelbagai warna dikesan kelmarin di lokasi terpencil di selatan Lautan Hindi.
Kawasan pencarian itu terletak sejauh 2,500 kilometer dari barat daya Perth, Australia.
"Terlalu awal untuk mengenal pasti (objek itu)," kata Perdana Menteri Australia, Tony Abbott (gambar) kepada pemberita semasa melawat Papua New Guinea.
"Namun, pastinya, kami mempunyai beberapa petunjuk yang berwibawa dan terdapat peningkatan harapan yang memungkinkan kita berada pada landasan untuk menemui apa yang berlaku ke atas kapal terbang berkenaan," tambahnya.
Satelit Australia dan China telah mengesan objek besar yang terapung di kawasan lokasi pencarian tersebut.
Penemuan kayu palet dan tali pinggang itu dikesan dari sebuah pesawat pencarian milik New Zealand.
Misi mencari pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi itu meliputi kawasan seluas 59,000 kilometer persegi.
Ekoran jarak penerbangan sejauh empat jam dari daratan, kebanyakan pesawat hanya mampu melakukan misi mencari selama dua jam di kawasan tersebut sebelum ia terpaksa berpatah balik ke daratan.
Namun, sebuah pesawat mencari iaitu P3 Orion yang dilengkapi peralatan pemerhatian elektro-optik kemudian dikerah ke kawasan penemuan palet kayu dan objek seperti tali pinggang atau tali itu.
Namun, pesawat tersebut hanya membuat laporan bahawa anggota-anggota mencari cuma menemui rumpai air dari paras beberapa ratus meter dari lautan tersebut.
Misi mencari semalam melibatkan empat pesawat tentera dan empat kapal terbang awam.
Pesawat MH370 hilang semasa ia sepatutnya melaporkan kemasukannya ke ruang udara Vietnam ketika dalam penerbangan ke Beijing, China.
Sebanyak 227 penumpang dan 12 kru dilaporkan menaiki pesawat itu. - Agensi
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0324&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2wt5endtq 
Hakcipta terpelihara 

Sunday, March 23, 2014

Kes Bengong!!! Tak kelakarlah Cef Wan!


CHEF WAN


INI ada lagi satu cerita yang dianggap lawak tapi sebenarnya langsung tak kelakar. Apatah lagi cerita kelakar yang direka oleh orang tua yang sepatutnya jadi contoh teladan kepada orang lain. Ini tidak, orang tua yang buat perangai tak senonoh, budak-budak mentah apatah lagi.
Masa orang satu dunia macam nak perang cari pesawat MH370 yang hilang entah ke mana, tiba-tiba ada rakyat Malaysia sendiri, selebriti ternama macam Cef Wan pula yang tiba-tiba buat lawak dengan sekeping gambar dengan kapsyen yang buat ramai orang naik marah.
Memang kena makilah Cef Wan bila bergurau kata objek yang dipegang di tepi pantai itu disangkanya sebagai pintu kapal terbang MH370 tapi rupa-rupa hanya pintu jamban rumah Cik Kiah.
Kata Cef Wan dia memang dah agak orang Malaysia yang suka melatah akan ambil serius apa yang ditulis, dan memang dia buat tindakan itu sebab nak tengok reaksi orang ramai. Pendek kata, sengaja nak cetuskan kontroversi, ibaratnya dah tahu api tengah marak, simbah lagi minyak petrol banyak-banyak, memang makin maraklah. Cef Wan anggap dirinya telah berjaya sebab dapat buktikan bahawa masyarakat kita suka melatah, macam-macamlah dia kecam, tak faham bahasa, tak sensitif, biadap semua ada.
Diva ambil satu perkara sahaja. Kalaulah anak dia atau cucu-cucu dia yang ada dalam perut pesawat MH30 tu agaknya apa perasaan Cef Wan bila orang lain buat lawak sengal macam dia buat tu? Mesti berapi atau macam tsunami agaknya Cef Wan ketika itu, mahunya ada sidang media khas juga nanti.
Diva: Bertuahnya Rozita Che Wan, kahwin dengan orang muda, mengandung, anak sulung pula dapat keputusan SPM 9A. Hidup tak mati dek keji namanya, yang penting buat benda betul.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0323&pub=Kosmo&sec=Diva_Interaktif&pg=dv_03.htm#ixzz2wnGexWEk 
Hakcipta terpelihara 

Sakinah ajak tunjuk perut


SHARIFAH SAKINAH


MINGGU ini kecoh pasal isu Sharifah Sakinah tayang perut! Maklumlah perut anak dara, nipis tanpa lemak, gebu pulak tu. Mana tidaknya, tengoklah badan Sakinah pula. Kalau badan pun kurus-kering tentulah perut pun nipis. Tak logiklah, kalau badan kurus perut berlapis berlipat bagai. Itu mesti ada yang tak kena, atau pun sudah kena buatan orang.
Apa yang peliknya, kenapa baru-baru ini sahaja Sakinah tayang perut sedangkan sudah agak lama Diva nampak perut Sakinah bersepah dalam akaun Instagramnya. Sejak dia mula-mula berlatih bersenam dengan seorang anak Mat Salleh beberapa bulan lalu, masa tu pun dia dah mula tunjuk perut sampai bawah pusat juga.
Diva puji Sakinah. Memang perut dia cantik. Dalam perutnya itulah segala makanan yang dimakan diproses. Kalau dah kahwin dan dah nak ada anak, dalam perutnya itulah benih zuriatnya akan jadi manusia sebelum dilahirkan ke dunia. Jadi, barang yang cantik perlu ditunjukkan kepada satu dunia, biar semua orang tahu. Tapi kalau dah nama perempuan, tunjuk perut maknanya sikit dah lagi nak tunjuk buah dada atau segala kebun buah-buahan yang ada dalam kain.
Diva tak hairan kalau Sakinah kata aktiviti senaman dan dia tunjuk perut sebab nak bagi semangat kepada pengikutnya dan wanita-wanita lain nak badan cantik. Sakinah bangga sebab berjaya buat pengikutnya sama-sama tayang perut dalam Instagram. Elok sangatlah pakat tunjuk perut tu!
Diva tak nak cakap pasal aurat atau agama, sebab Diva jenis orang yang jahil juga, tapi bila manusia tiada sifat malu begitulah jadinya. Malaslah nak cakap banyak, sebab satu hari nanti Sakinah akan sedar bahawa ajak orang tunjuk perut ramai-ramai itu tidaklah sebaik yang disangka.
Diva: Suka menunjuk, tiap-tiap hari muat naik gambar makan cantik-cantik dalam Instagram.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0323&pub=Kosmo&sec=Diva_Interaktif&pg=dv_01.htm#ixzz2wnEyescM 
Hakcipta terpelihara 

Saudara-mara penumpang MH370 hilang sabar di China


SEBAHAGIAN saudara penumpang MH370 mengangkat tangan bagi menyuarakan kemarahan mereka pada satu sidang akhbar di Hotel Metro Park Lido, Beijing semalam.


BEIJING - Polis terpaksa campur tangan semalam selepas terdapat keluarga kepada para penumpang pesawat MH370 dari China bertindak meluru ke arah beberapa pegawai Malaysia di Hotel Metro Park Lido di sini.
Anggota-anggota keluarga itu melakukan perbuatan itu kerana mahu mengetahui tentang nasib keluarga masing-masing selepas pesawat Penerbangan Malaysia tersebut hilang pada 8 Mac lalu.
Kebanyakan keluarga itu berharap orang yang disayangi itu masih lagi hidup.
Seramai 153 warga China menaiki pesawat Boeing 777-200ER itu yang hilang daripada radar pada 8 Mac lalu selepas hampir sejam berlepas pada pukul 12.41 pagi.
Pesawat tersebut membawa 227 penumpang dan 12 kru.
"Kerajaan Malaysia, tolonglah beritahu kami perkara yang sebenar. Berilah kami semula orang yang kami sayangi," kata beberapa orang yang menghadiri taklimat tentang perkembangan misi mencari pesawat MAS itu.
"Kerajaan Malaysia menipu kami. Mereka tidak berani untuk berdepan dengan kami. Kerajaan Malaysia merupakan pembunuh paling utama," kata seorang daripada saudara-mara itu.
Ketika saudara-mara itu diselubungi kemarahan, sebahagian mereka meluru ke arah beberapa pegawai Malaysia. Namun, polis pantas bertindak bagi mengelak mereka mendekati para pegawai Malaysia itu.
"Kami tidak mampu untuk menanggung penderitaan ini," kata seorang wanita.
"Mereka (MAS) memberikan kami pampasan tetapi kami kehilangan seluruh keluarga kami.
"Ini merupakan negara China. Mereka (pegawai-pegawai Malaysia) tidak boleh memberitahu kami untuk datang dan pergi mengikut sesuka hati mereka. Kami akan menunggu di sini. Jika mereka tidak datang, kami tidak akan pergi," tambahnya.
Kejadian itu berlaku sebelum kerajaan China mendedahkan pada petang semalam bahawa sebuah satelit miliknya menemui imej yang menunjukkan objek berukuran 22.5 meter panjang dan lebar 13 meter di selatan Lautan Hindi.
Imej itu dirakamkan pada 18 Mac lalu dan disiarkan di laman web Pentadbiran Negara Teknologi, Sains dan Industri China.
Beberapa buah kapal tentera China kemudian dikerahkan ke lokasi tersebut yang hanya 120 kilometer (km) dari objek yang dikesan sebuah satelit milik Australia pada 16 Mac lalu. - Agensi
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0323&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2wnBHpSjl 
Hakcipta terpelihara 


cari homestay di melaka..? singgah teratak kami!

MH 370 - China beri harapan baharu


INILAH imej objek terapung di selatan Lautan Hindi yang dirakam menerusi satelit pemerhatian Bumi beresolusi tinggi iaitu Gaofen-1 dan dipercayai ada kaitan dengan pesawat MH370 yang hilang.


PERTH – Usaha antarabangsa bagi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu kini mendapat nafas baharu apabila China menyiarkan satu imej satelit menunjukkan sebuah objek besar terapung di selatan Lautan Hindi dipercayai ada kaitan dengan pesawat berkenaan.
Imej yang menunjukkan objek berukuran panjang 22.5 meter dan lebar 13 meter itu dirakam pada 18 Mac lalu. Ia disiarkan oleh Pentadbiran Negara Teknologi, Sains dan Industri China semalam.
Imej objek tersebut terletak kira-kira 120 kilometer dari objek yang dikesan sebuah lagi satelit pada 16 Mac lalu yang didedahkan Australia. Ia terletak kira-kira 2,500 kilometer ke barat daya Perth.
Imej baharu itu dirakam menerusi satelit pemerhatian Bumi beresolusi tinggi iaitu Gaofen-1.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0323&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2wn99P0o9 
Hakcipta terpelihara 

MH 370 - Transkrip komunikasi tidak sahih


HISHAMMUDDIN (tengah) pada sidang akhbar pesawat MH370 di Hotel Sama-Sama di Sepang semalam. Turut hadir Azharuddin (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya (kanan).


SEPANG - Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengesahkan transkrip komunikasi antara juruterbang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah dengan menara kawalan trafik udara Malaysia yang didedahkan The Telegraph adalah tidak tepat.
Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, laporan yang didedahkan portal dari United Kingdom itu adalah sesuatu yang tidak benar.
"Saya mengesahkan transkrip komunikasi yang dilaporkan di dalam The Telegraph adalah tidak sahih, tidak tepat," katanya pada sidang akhbar harian berhubung pesawat MH370 di Hotel Sama-Sama di sini semalam.
The Telegraph dalam satu pendedahan semalam mendakwa transkrip tersebut adalah laporan komunikasi pada 54 minit terakhir sebelum pesawat itu terputus hubungan dengan menara kawalan.
Menurut laporan itu, transkrip komunikasi juruterbang bersama menara kawalan itu bermula ketika pesawat MH370 terbabit berlepas dari landasan hingga ke kedudukannya di ketinggian yang mencecah puluhan ribu kaki di atas Laut China Selatan.
Transkrip yang didakwa bermula pada pukul 12.25 tengah malam memaparkan arahan daripada menara kawalan kepada juruterbang pesawat itu termasuk pertukaran dari satu lokasi.
Azharuddin ketika diminta untuk mendedahkan butir perbualan antara juruterbang dan menara kawalan trafik udara, beliau menjelaskan:
"Oleh kerana telah menjadi amalan standard dalam siasatan seperti ini, transkrip itu tidak boleh didedahkan kepada umum pada peringkat ini."
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0323&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2wn7s2cJA 
Hakcipta terpelihara 

Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...