Thursday, October 31, 2013

Pameran seni hotel mewah


MASALAH sewa tapak yang tinggi dan terhad menyebabkan penganjur memilih bilik-bilik hotel untuk dijadikan galeri seni.


KARYA-KARYA indah kelihatan bergantungan di atas katil-katil bersaiz besar selain ada yang diletakkan di atas sinki bilik air. Itulah gambaran Pameran Seni Kontemporari Asia di Hong Kong yang diadakan baru-baru ini yang memberikan suasana berbeza terhadap sebuah galeri seni.
Diadakan di sebuah hotel mewah bertaraf lima bintang, acara dua tahun sekali itu dilihat menjadi medium kepada pelukis-pelukis muda untuk mencuba nasib memasuki pasaran seni antarabangsa.
Ia juga merupakan lokasi tidak ortodoks dalam usaha mengurangkan kos di bandar raya yang pesat berkembang itu sebagai hab seni antarabangsa. Para artis dan pemilik galeri yang berdepan cabaran kadar sewa tinggi memilih bilik-bilik hotel sebagai lokasi terbaharu menganjurkan pameran seni.
Ribuan peminat seni menghadiri pameran selama empat hari yang juga merupakan acara seni kedua terbesar di bandar raya tersebut selepas pameran berprestij Art Basel edisi Hong Kong.
Pengunjung beralih dari satu bilik ke bilik bersebelahan di Hotel JW Marriott yang memuatkan lebih 70 buah galeri memaparkan lebih 70 hasil seni termasuk lukisan, arca dan fotografi dari rantau Asia dan dunia.
"Suasana tidak formal di hotel ini merupakan karakter bagi pameran ini. Ia seperti satu perjalanan untuk menemui hasil seni terbaik dari bilik ke bilik," ujar Pengarah Pameran, Mark Saunderson kepada AFP.
Beliau menegaskan format hotel yang ditunjukkan pada pameran tersebut juga membantu mengurangkan kos penganjuran.
"Pameran ini memaparkan hasil karya seni indah untuk datang ke sini. Jika tidak, ia mungkin tidak dapat dilihat sampai bila-bila," jelasnya.
Menurut Saunderson, galeri-galeri di bandar raya Hong kong berhadapan dengan pelbagai kos termasuk kadar sewa yang mahal, memaksa mereka memilih karya-karya terbaik untuk dipamerkan sekali gus menyebabkan ramai artis berpotensi disisihkan.
SAINTIS Albert Einstein menjadi tema lukisan kontemporari pelukis di pameran seni Hong Kong.


Karya Asia Tenggara
Namun demikian, pakar-pakar seni berpendapat hasil karya dari rantau Asia Tenggara mempunyai kelebihan yang besar daripada aspek harga jualan kerana karya pelukis Indonesia, Vietnam dan Malaysia amat popular di peringkat antarabangsa.
"Anda boleh menghabiskan HK$50,000 sehingga HK$100,000 (RM20,264 sehingga RM40,528) untuk membeli hasil karya berkualiti tinggi," katanya.
Dengan nilai karya-karya artis dari Vietnam meningkat 10 kali ganda sejak 15 tahun lalu, penggiat-penggiat baharu kian mencari pendedahan peringkat global.
"Peluang untuk mempamerkan karya seni di pameran ini merupakan suatu perkara yang penting kepada pelukis muda seperti saya," kata pelukis dari Vietnam, Dang Thao Ngoc.
Dia yang berasal dari Hanoi terkenal menerusi lukisan yang menggunakan media cat minyak berwarna-warni untuk menggambarkan keharmonian ahli keluarga dan kehidupan di negaranya.
"Di Hong Kong, ramai orang datang dan melihat karya seni. Mereka sangat mengambil berat dan menunjukkan minat dalam bidang seni lukis," ujarnya sambil memberitahu senario itu berbeza dengan keadaan di Vietnam.
Perhatian dunia
Seiring dengan pertambahan galeri-galeri seni di Myanmar, kumpulan pelukis baharu dari negara itu turut mendapat perhatian dunia malah banyak hasil seni terjual dengan jayanya.
"Pelukis dari China melukis dengan pantas dan mengejar kuantiti. Ia berbeza dengan pelukis Myammar kerana mereka tidak menghasilkan lukisan yang banyak tetapi dengan kualiti yang jauh lebih baik," ujar Pengarah Galeri Seni Halus Asia, Sidney Cowell.

WARGA China merupakan pembeli terbesar di Pameran Art Basel di Hong Kong, Mei lalu.


Pameran itu menghidangkan tetamu dengan karya seni tradisional hingga yang bersifat lebih eklektik dan moden.
Di satu bilik yang disewa sebuah galeri dari Jepun, terdapat sebuah arca kelakar yang memaparkan seorang lelaki Asia botak dengan memakai baju sekolah perempuan.
Terdapat juga deretan karya fotografi yang menjadikan kepadatan bangunan-bangunan sekitar Hong Kong sebagai subjek utama.
Ketika penganjuran pameran tersebut sebelum ini, terdapat hasil seni yang berharga antara RM12,158 hingga RM81,057 dan ia menjana pembelian berjumlah RM7.3 juta pada penganjuran Mei lalu.
Pasaran seni di Hong Kong mula mendapat perhatian berikutan peningkatan kekayaan warga China di Tanah Besar. Mereka merupakan pembeli terbesar karya-karya seni di Hong Kong.
Pameran Art Basel disertai oleh 3,000 pelukis antarabangsa dari 245 galeri terkenal dunia pada Pameran Art Basel yang diadakan pada Mei lalu di Hong Kong.
Antara galeri terkemuka yang turut serta ialah Gagosian, White Cube, Acquavella, Lehmann Maupin dan Galerie Perrotin. - AFP
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1030&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz2jHJ96V45
Hakcipta terpelihara 

Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...