Thursday, January 31, 2013

'Instagram' Punca Hubungan Nora Danish & Qi Razali Heboh


Dari kiri Yasmin Yusoff, Lisdawati, Fauzi Nawawi, Nora Danish dan Marsha menggayakan barangan kemas Pendora keluaran Habib Jewels.
AMPANG: Pelakon Nora Danish menjelaskan perbuatannya yang memuat naik gambar dia bersama pengacara Qi Razali menerusi laman sosial foto Instagram menjadi punca mereka digosipkan mempunyai hubungan intim.
Kata Nora, 31, disebabkan Qi Razali atau nama sebenarnya Kushairi Mohammed Razali, 36, masih bujang, dia merasakan tidak salah untuk mengabadikan gambar-gambar mereka menerusi laman sosial tersebut tetapi sayang sekali ia menjadi sensasi.
“Qi masih bujang dan begitu juga saya yang solo kembali. Semasa penggambaran filemBencinta arahan Farid Kamil di Langkawi, saya mengambil peluang memasukkan gambar-gambar kami menerusi Instagram,” katanya kepada mStar Online pada pelancaran koleksi barang kemas Pandora keluaran Habib Jewels di sini pada Rabu.
Nora diminta mengulas mengenai hubungannya dengan anggota kumpulan OAG itu yang masih diperkatakan umum.
Tambah Nora, dia dan Qi sememangnya rapat tetapi hanya ketika penggambaran filem berkenaan sahaja.
Nora dan Qi Razali
Dalam pada itu Nora mengakui berasa pelik apabila sejak akhir-akhir ini dia sering dikaitkan dengan pelakon-pelakon lelaki yang pernah digandingkan dengannya seperti Adi Putra, Shaheizy Sam, Anuar Zain serta Qi sendiri.
"Tidak lama lagi saya akan menjalani penggambaran drama cinta arahan Michael Ang dengan aktor Indonesia Randy Pangalila. Diharap tidak ada gosip yang berlaku antara kami,” katanya.
Jelas Nora, dia agak kurang selesa dengan gosip-gosip seperti itu kerana perkara tersebut akan memberi kesan buruk apabila anaknya iaitu Putera Rayqal Ramli Rizal yang kini berusia empat tahun besar kelak.
Katanya, tentu sekali Rayqal akan memikirkan sesuatu apabila membaca kisah-kisah yang kurang manis mengenai ibu sendiri.
Dalam perkembangan lain Nora diberi tanggungjawab menggayakan koleksi terbaharu barang kemas Pandora bersama-sama artis seperti Marsha, Lisdawati dan Fauzi Nawawi serta Datuk Yasmin Yusoff sempena tarikh hari kekasih iaitu 14 Februari depan.
"Pandora merupakan salah satu jenama barangan kemas kesukaan saya. Malah saya akan membeli setiap satu 'charm' di negara-negara yang telah saya kunjungi untuk dihiaskan pada gelang tangan saya.
"Kiranya setiap 'charm' yang ada pada gelang saya mempunyai kisah dan kenangan yang tersendiri untuk diingati," ujarnya.
@mstar.com.my

Siti Saleha Lebih Selesa Tanpa Teman Lelaki


Siti Saleha mengakui selesa dengan kehidupan solo dan mahu memberi fokus kepada kerjaya lakonan.
PETALlNG JAYA: Pelakon Siti Saleha lebih selesa dengan statusnya sebagai wanita solo kerana dia tidak perlu pening kepala memikirkan untuk mencari teman lelaki dalam masa terdekat ini.
Saleha atau nama sebenarnya Siti Saleha Mohd Baharum, 23, berkata, perasaan itu timbul kerana sifat berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada lelaki yang telah dipupuk oleh keluarganya sejak kecil.
"Rasanya saya boleh hidup tanpa kehadiran seseorang lelaki kerana saya bukan jenis yang terlalu bergantung kepada mereka.
"Malah saya sebenarnya seorang yang sangat berdikari dalam banyak perkara," jelasnya ketika ditemui selepas majlis tayangan perdana filem Kerat 14 di sini pada Rabu.
Saleha yang memegang watak Nurzara bergandingan dengan Aaron Aziz dalam filem arahan Arjin Uppal itu. Ia bakal ditayangkan pada 14 Februari depan.
Dalam pada itu, Saleha berkata, kenyataan tersebut bukan bererti di membenci golongan lelaki sebaliknya mahu memberikan tumpuan kepada kerjaya lakonannya yang sedang meningkat.
Jelas Saleha, sebelum ini dia ada berkawan dengan beberapa lelaki namun hubungan itu tidak berakhir ke alam percintaan.
"Kerjaya merupakan tumpuan saya ketika ini dan rasanya soal cinta itu boleh tunggu.
Tambahan pula, tiada lelaki yang mahukan saya, sebab itu saya masih solo," ujarnya berjenaka.
Sementara itu, Saleha melahirkan rasa teruja dengan filem pertamanya itu dan berharap ia akan mendapat sambutan ramai.
"Ini adalah permulaan yang baik untuk saya pada 2013 dan banyak kejutan yang akan saya berikan untuk peminat tahun ini," katanya.
Kerat 14 turut dibintangi oleh Zamarull Hisham, Arash Mohamad, Ali Arami, Fouziah Gous dan Arora Salwa.
@mstar.com.my

Fauzi Nawawi Rasa Bangga Dikaitkan Dengan Ramai Wanita


Fauzi Nawawi bahagia dengan isterinya, Lisdawati.
AMPANG: Sebagai seorang lelaki tulen, pelakon Fauzi Nawawi berkata adalah menjadi kebanggaannya apabila dia sering dikaitkan mempunyai hubungan ataupun skandal dengan ramai wanita.
Menurut Fauzi, hal itu membuktikan lelaki sepertinya yang sudah mencecah usia 40 tahun serta mempunyai enam orang anak masih lagi “laris” dan mendapat perhatian
"Ya... saya begitu berbangga apabila dikaitkan dengan ramai wanita walaupun saya sudah berkahwin dan mempunyai anak.
"Walaupun saya agak bosan dengan kontroversi itu, ia bermakna sebagai seorang lelaki, saya sebenarnya masih lagi laku,” katanya kepada mStar Online semasa ditemui pada pelancaran koleksi barang kemas Pandora keluaran Habib Jewels di Ampang Point di sini pada Rabu.
Rita Rudaini
Sebelum ini, Fauzi sering dikaitkan dengan beberapa orang wanita termasuklah pelakon Ida Nerina serta Zarina An-Joulie dan pelbagai kontroversi lain yang dinafikannya.
Isu mengenai pergaduhan isterinya iaitu pelakon Lisdawati dengan Rita Rudaini tujuh tahun lalu juga dipercayai berpunca apabila Lisda dikatakan cemburu dengan hubungan baik Fauzi dan aktres itu.
Sementara itu ditanya benarkan Fauzi pernah mengurat Rita Rudaini seperti dakwaan tersebut sehingga membuatkan Rita enggan dia berada bersama di mana-mana set penggambaran drama, kata Fauzi, tuduhan itu tidak benar sama sekali.
"Saya tak pernah kacau, bercinta mahupun menjalinkan hubungan cinta tiga segi dengan Rita semasa dia belum kahwin dulu.
“Selepas insiden pergaduhan mereka (Rita dan Lisdawati), saya berkahwin dengan Lisda dan kami bahagia sehingga sekarang dan bagaimana pula dengan rumah tangga Rita?” soalnya.
@mstar.com.my

Linda Onn Sudah Usaha Cari Calon Suami


Buat masa ini Linda lebih banyak menumpukan kepada kerjaya dan perniagaan restoran miliknya.
AMPANG: Penyampai radio, Linda Onn menyifatkan khabar angin kononnya dia akan berkahwin dalam masa terdekat sebagai satu doa semua pihak yang ingin melihat dia dapat menamatkan zaman bujangnya secepat mungkin.
Linda atau nama sebenarnya, Rozlinda Onn, 35, berkata, sebagai seorang wanita dia telah berusaha untuk mencari pasangan hidup namun segala-galanya ditentukan Allah.
"Saya ada berusaha untuk mencari pasangan namun terlalu peribadi untuk saya kongsi tetapi semuanya berbalik kepada jodoh. Mungkin suatu hari nanti jika diizinkan saya akan berkahwin.
"Apabila orang mengatakan saya akan berkahwin saya menganggap itu sebagai satu doa daripada mereka dan mungkin ia akan dimakbulkan.
"Ibu bapa saya juga tidak pernah memaksa atau meletakkan tempoh khusus untuk saya berkahwin dan bersyukur mereka sentiasa menyokong," jelasnya.
Linda ditemui selepas majlis memperkenalkan menu terbaharu di restorannya iaitu My Mom's Chicken Rice (MMCR) di sini pada Khamis.
Menu Nasi Ayam Salai Lemak Cili Padi itu dihasilkan dengan kerjasama juara Masterchef Selebriti, Datuk Dr Fazley Yaakob.
Dalam pada itu, Linda berkata, tumpuannya hari ini lebih kepada memperkembangkan perniagaan restoran yang dibukanya sejak tahun 2004.
Katanya setakat ini dia telah mempunyai empat buah restoran MMCR serta sebuah spa kecantikan dan urut yang telah diusahakan sejak setahun lalu.
"Setakat ini saya ingin betul-betul mengukuhkan perniagaan yang sedia ada terutama dari segi perkhidmatan dan kepuasan pelanggan selain sentiasa mahu mencari idea-idea baru untuk memastikan produk yang disediakan sentiasa segar.
"Sebenarnya bukan mudah melakukan perkara itu tetapi atas semangat dan dorongan keluarga dan peminat, ia mula sebati dalam diri saya untuk terus memajukan diri," katanya.
@mstar.com.my

Shah Rukh perjelas komen kontroversinya

 

SHAH RUKH KHAN

MUMBAI - Bintang Bollywood, Shah Rukh Khan bertegas dia 'selamat dan gembira' di India dalam usahanya untuk menamatkan kontroversi berhubung artikel tentang pengalamannya sebagai orang Islam di negara ini.
India mempunyai majoriti penduduk beragama Hindu.
Artikel yang disiarkan dalam majalah Outlook Turning itu dihasilkan oleh pelakon tersebut.
Dalam artikel itu, Shah Rukh mendakwa pemimpin-pemimpin politik menjadikannya sebagai simbol tentang semua perkara buruk dan yang tidak patriotik mengenai orang Islam di India.
Artikel berkenaan mendorong pengasas kumpulan Lashkar-e-Taiba, Hafiz Saeed mempelawa Shah Rukh tinggal di Pakistan jika dia berasa tidak selamat hidup di India.
Kelmarin, Menteri Dalam Negeri Pakistan, Rehman Malik turut campur tangan dengan menggesa India agar melindungi keselamatan Shah Rukh sekali gus mencetuskan bantahan daripada Setiausaha Dalam Negeri India, R. K. Singh.
"Kita berupaya menjaga keselamatan rakyat kita, lebih baik beliau (Rehman) mengambil berat tentang keselamatan warganya (Pakistan)," kata Singh.
Bagi meredakan keadaan, Shah Rukh dalam kenyataan balasnya kepada media kelmarin menegaskan bahawa komennya dalam majalah berkenaan telah disalah tafsir.
"Tiada satu bahagian pun dalam artikel itu yang menyatakan atau membayangkan saya berasa tidak selamat, terganggu atau bermasalah tinggal di India," jelasnya.
"Saya mahu memberitahu kepada mereka yang memberikan nasihat tanpa diminta bahawa kami di India berasa amat selamat dan gembira. Kami memiliki kehidupan demokratik, bebas dan sekular," tambah aktor tersebut.
Shah Rukh yang melonjak popular menerusi filem pecah panggung, Dilwale Dulhania Le Jayenge sebelum ini pernah menjadi sasaran kecaman parti politik Shiv Sena.
Parti politik Hindu berhaluan kanan itu kerap memainkan sentimen anti-Islam dan anti-Pakistan. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0131&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2JZGADij3 
Hakcipta terpelihara 

KRU Rasa muda terbit album




KUMPULAN Rap Unggul atau KRU yang popular Awas!, Fanatik dan Oh La La sudah 21 tahun berada dalam industri muzik tempatan. Selama tempoh itu sebanyak 13 buah album KRU telah dihasilkan.
Tidak dinafikan KRU berjaya mencipta fenomena tersendiri yang diingati sehingga ke hari ini meskipun trio adik-beradik yang membentuk KRU, Norman, 41, Yusry, 40, dan Edry, 37, semakin berusia.
Menyambung hayat mereka dalam industri ini, hari ini KRU melancarkan album ke-13 yang berjudul KRUnomena. Kali terakhir KRU muncul dengan album adalah pada tahun 2006 menerusi album, 10 Di Skala Richter.
Selepas sekian lama tanpa sebarang album baharu, tiga anak lelaki kepada pasangan Abdul Halim Kamal dan Zarina Abdul Wahab Fenner yang ditemui pada majlis pradengar album KRUnomena, setiap kali muncul dengan album baharu membuatkan mereka berasa sentiasa muda.
"Memang saya akui, saya bukan sahaja berasa muda tetapi rasa usia saya tidak mempunyai angka, seperti tidak bergerak-gerak.
"Peminat sentiasa ada di belakang kami, bahkan ramai peminat yang muda. Peminat yang seusia dengan kami pula berjiwa muda setiap kali mendengar lagu KRU sebab itu kami semua rasa muda (ketawa)," balas Yusry.
Perasaan yang sama turut dikongsi Norman. Katanya, sudah lama dia tidak bergaya seperti artis.
"Selalunya setiap kali pergi ke mana-mana acara hiburan, saya akan hadir sebagai Pengarah Eksekutif KRU Studios dan agenda bisnes sentiasa dalam fikiran. Kali ini, saya bersalaman dengan peminat serta pihak media sebagai artis.
"Rasa pelik pun ada sebab sudah enam tahun tidak jadi artis. Lihat penampilan saya hari ini lebih santai dengan harapan nampak lebih muda (ketawa). Jika tidak, selalunya saya akan memakai pakaian formal," kata Norman sambil berseloroh kepada pihak media.
Dari segi bergaya, Edry terbukti yang paling berani berbanding dua abangnya itu. Bersempena kemunculan album terbaharu KRU, dia tampil dengan imej rambut kerinting.
Ia nyata berbeza daripada imejnya sebelum ini yang berambut pendek lurus. Malah, boleh dikatakan penampilan baharu Edry itu mirip vokalis kumpulan Nidji, Giring.
"Sebenarnya sengaja saya tampil dengan imej begini. Jika imej sama sahaja nanti peminat bosan. Norman mungkin terikat dengan imej seorang ahli perniagaan tetapi saya bebas melakukan eksperimen pada rambut dan fesyen kerana saya lebih tertumpu dalam bidang muzik," tutur Edry.
KRUnomena
Bercakap tentang album KRUnomena yang mengambil masa enam tahun untuk disiapkan, ujar Edry, fokus lebih tertumpu kepada dirinya yang membuat acuan arah tuju album tersebut.
Ujarnya, tempoh masa yang agak lama diambil disebabkan mereka bertiga terikat dengan komitmen kerja masing-masing selain mencari lagu yang benar-benar sesuai.
"Orang luar ingat kami adik-beradik selalu berjumpa antara satu sama lain tetapi sebenarnya tidak, kerana masing-masing sibuk. Apa yang berlaku, saya telefon Norman untuk merakamkan lagu kerana saya ingatkan dia berada di pejabat tetapi saya tidak tahu pun ketika itu dia berada di Eropah.
"Jadi, halangan terbesar kami adalah waktu. Sebab itu kami rakamkan lagu secara berasingan," sambung Edry mengenai album yang memulakan proses rakaman pada tahun 2010 itu.
Celah Yusry, sebenarnya banyak koleksi lagu yang telah disiapkan. Bagaimanapun selepas dia merakamkan suara untuk beberapa buah lagu, ia diberikan Edry kepada penyanyi lain.
"Biasanya, proses rakaman album KRU akan bermula dengan suara saya, kemudian baru Norman dan Edry akan ikut lenggok nyanyian saya.
"Apa yang terjadi selepas saya selesai merakamkan suara, saya dengar lagu yang saya nyanyikan itu dinyanyikan oleh penyanyi lain tanpa sebarang pemberitahuan daripada Edry. Saya hanya tahu perkara itu selepas mendengar lagu itu di radio," ujar Yusry sambil memandang kepada Edry.
Antara lagu yang dicipta Edry untuk album KRU tetapi dinyanyikan oleh orang lain termasuklah Sedetik Lebih nyanyian Anuar Zain, Jahat (Stacy) dan Andai Ku Bercinta Lagi (Mojo).
SELEPAS sukses membina empayar seni dan bisnes, tiga adik-beradik ini kini kembali mengaktifkan KRU yang merupakan tapak asas pembabitan mereka di persada muzik tanah air.


Sambung Norman pula, apabila diteliti semula lagu-lagu tersebut memang tidak sesuai dengan konsep album KRU serta personaliti mereka.
"Cuba bayangkan KRU menyanyi lagu Jahat, bukankah ia tidak sesuai? Jadi, lebih baik diberi kepada penyanyi lain dan mereka telah membuktikan lagu itu benar-benar serasi dengan vokal masing-masing," kata Norman.
Pilih Stacy
Album KRUnomena memuatkan 10 buah lagu seperti Semalam Tanpamu, Setiap, Kesejatian Cinta, Separuh Mati, Sediakala, Lagu & Lirik dan Kali Ke-2.
Menariknya Semalam Tanpamu ciptaan sepenuhnya Edry menyaksikan KRU berduet dengan Stacy. Disoal mengapa Stacy menjadi pilihan KRU sedangkan penyanyi di bawah naungan mereka juga cukup ramai, KRU mempunyai jawapannya.
"Selepas kami fikirkan tentang penyanyi wanita yang sesuai dengan konsep KRU dan penuh tenaga, tiada siapa yang terlintas dalam fikiran kami selain Stacy.
"Walaupun bukan penyanyi di bawah naungan KRU tetapi Stacy telah banyak kali bekerjasama dengan KRU. Kami akui, Stacy popular tetapi apa yang dipentingkan adalah keserasian itu wujud tanpa perlu dipaksa-paksa.
"Hasilnya, saya yakin lagu Semalam Tanpamu antara lagu yang mudah untuk diterima pendengar," ujar Edry.
Kali Ke-2 pula merupakan lagu lama KRU, Dua yang diberikan nafas baharu. Ia dipilih oleh Yusry sendiri untuk dimuatkan dalam album KRUnomena.
"Bayangkan lagu itu ditulis pada tahun 1995, ketika itu saya berusia 23 tahun dan liriknya kalau dihayati betul-betul masih relevan sehingga ke hari ini.
"Itu antara faktor Yusry memilih lagu Dua itu dan kini dijadikan Kali Ke-2. Lagu itu sebenarnya sangat popular hanya dalam kalangan peminat KRU kerana ia tidak pernah dijadikan single," luah Norman.
KRU dalam pada itu juga telah bersedia kerana pasti ada peminat yang tidak puas hati apabila lagu itu diberi nafas baharu kerana lagu asalnya sudah cukup enak didengar,
"Ia merupakan lagu nostalgia buat peminat yang membesar dengan muzik kami dan biasanya kritikan itu datang daripada peminat yang sukakan lagu asal.
"Kami sudah bersedia andai dikritik. Contoh terbaik ialah lagu Getaran Jiwa yang diberi nafas baharu. Orang muda suka dengan cara kami tetapi tidak peminat tegar lagu-lagu lama. Kami hanya lakukan yang terbaik selebihnya terpulang kepada peminat untuk menilainya," balas Yusry, suami kepada aktres Lisa Surihani itu.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0131&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz2JZEE1NL7 
Hakcipta terpelihara 

Gara2 Facebook dua dijel bunuh kekasih adik

RAZIF (kiri) dan Rafik dijatuhi hukuman penjara 16 tahun oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar semalam.



ALOR SETAR - Dua beradik lelaki terpaksa meringkuk di dalam penjara selama 16 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini semalam atas tuduhan menyebabkan kematian seorang kenalan mereka gara-gara pergaduhan melalui laman sosial Facebook pada dua tahun lalu.
Mohamad Razif Arshad, 27, dan adiknya, Mohamad Rafik, 22, mengaku bersalah atas tuduhan itu selepas pihak pendakwaan menawarkan tuduhan pilihan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun
Sebelum itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd. Zaki Abdul Wahab memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara tersebut bermula dari tarikh tangkap pada 29 Julai 2011.
Razif dan Rafik mengaku bersalah menyebabkan kematian Mohd. Amran Ramli, 20, di persimpangan Jalan Lobak 15, Taman Lobak Indah, Lunas di Kulim dekat sini pada pukul 8.30 malam 29 Julai 2011.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0131&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2JZ7DeBYf 
Hakcipta terpelihara 

Six Pack Jadi Trend Untuk Bintang K-Pop?


Six Pack Jadi Trend Untuk Bintang K-Pop?

Bukan saja lagu menjadi kegilaan remaja masa kini, fesyen yang digayakan bintang K-Pop (Korean Pop) turut menjadi ikutan remaja. Malah, tidak hairanlah usahawan baju tempatan masa kini lebih banyak mengetengahkan gaya ala-ala bintang K-Pop.

Selain dari fesyen baju yang menjadi ikutan, dandanan dan fesyen rambut mereka turut menjadi ikutan bukan saja golongan muda tetapi juga mempengaruhi golongan yang lebih berusia.

Lihat saja gaya rambut yang dikenakan GD dari kumpulan Bigbang. Ramai anak muda lelaki masa kini lebih gemar berfesyen rambut seperti GD. Apa yang pasti, fenomena K-Pop bukan saja menular dalam bidang seni muzik tetapi ia turut memukau dunia dengan fesyen yang menyentuh dari hujung rambut sehingga ke hujung ke kaki.

Masih lagi menyentuh mengenai pengaruh K-Pop, kebanyakan bintang K-Pop lelaki masa kini seperti berlumba-lumba memasang badan untuk menghasilkan six pack di bahagian perut. Ia dibuktikan lagi apabila poster atau gambar terbaru mereka pasti diselitkan dengan sesi tayang six pack.

Antara bintang K-Pop yang suka menonjolkan bentuk badannya ketika membuat persembahan adalah Rain, Siwon Super Junior, Taeyang Bigbang, Taeyang, kumpulan 2PM, Jo Kwon 2AM dan ramai lagi. Ada juga antara mereka memiliki badan yang kurus tetapi mempunyai six pack.

Dari sini, terbit tanda tanya adakah six pack menjadi trend untuk setiap bintang K-Pop? Dalam erti kata lain, adakah ia menjadi pelengkap atau syarat wajib untuk menjadi seorang bintang yang dikenali di Korea Selatan?

Bagi mengenal pasti jawapan bagi persoalan ini, murai.com.my bakal berkongsi pandangan dari pelakon Korea Selatan menerusi drama Kimchi Cheese Smile, Jang Ji Woo yang memiliki six pack dan jurulatih peribadi, Jae Wan Park yang pernah membimbing selebriti Korea dan Hollywood untuk menghasilkan bentuk badan yang cantik.

@murai.com.my

ND Lala: Sharnaaz Jangan Nak Memandai-Mandai

ND Lala: Sharnaaz Jangan Nak Memandai-Mandai

KUALA LUMPUR, 31 JAN 2013: Bapa kepada penyanyi Shila Amzah iaitu ND Lala hari ini menegur sikap pelakon filem Juvana, Sharnaaz Ahmad yang disifatkannya terlalu terbuka dalam mengeluarkan kenyataan mengenai hubungan cintanya dengan penyanyi itu.

Menerusi laporan Harian Metro hari ini, ND Lala atau nama sebenarnya, Amir Hamzah Salleh, 51, menyifatkan tindakan Sharnaaz itu seolah-olah mengenepikan dirinya dan isteri sebagai ibu dan bapa kepada Shila.

Sharnaaz sebelum ini dengan beraninya mengeluarkan kenyataan yang dia akan tetap merisik Shila Mac ini biarpun dihalang bapa penyanyi terbabit.
"Saya dan ibu Shila masih hidup, masih bernyawa, sekurang-kurang hormatilah kami sebagai orang tuanya.

"Kalau Shila mahu kahwin sekali pun, saya walinya, bukan Shaarnaz yang menentukan itu isterinya," kata bekas penyanyi tradisional itu dengan tegas.
Umum mengetahui sebelum ini, yang Shila Amzah, 23, menjalin hubungan cinta dengan Sharnaaz Ahmad, 28, dan kisah cinta mereka sering berdepan pelbagai kontroversi yang selalunya dimulakan oleh Sharnaaz sendiri.

ND Lala ketika dihubungi oleh Harian Metro dari Shanghai, China, semalam, berkata, tindakan pelakon itu mengakui Shila bakal isterinya sangat memalukan kerana dia tidak pernah mengadakan perbincangan bersama keluarga Sharnaaz mengenai perkahwinan itu.

"Sharnaaz mengakui Shila bakal isterinya dan tetap akan merisik, semua itu karut. Jangan keluar kenyataan yang boleh memalukan diri sendiri dan saya percaya keluarga Shaarnaz turut malu dengan tindakannya itu," kata ND Lala lagi.

"Saya tidak pernah lagi berbincang dengan keluarga Sharnaaz atau menyentuh apa-apa perkara berkaitan pertunangan atau perkahwinan kerana saya mahu Shila memberi fokus utama kepada kariernya terlebih dahulu.

"Pesanan saya pada Sharnaaz, ibu bapa Shila masih hidup dan kita ada adat dan agama, jadi jangan nak memandai-mandai."

"Kenyataan Sharnaaz itu telah menyebabkan saya dihujani pelbagai soalan oleh rakan dan peminat. Mulanya saya mengambil sikap mendiamkan diri tetapi kemudiannya banyak pula kenyataan liar dikeluarkan media dan Internet.

"Sikap keterlaluan dia itu benar-benar telah menjejaskan nama baik keluarga saya dan perjalanan seni Shila. Tolonglah jangan biadap, hormati kami sebagai ibu bapanya. Perkahwinan bukanlah perkara yang boleh dibuat main-main," tambah ND Lala lagi.

ND Lala bagaimanapun tidak menolak jika jodoh memang ada antara Shila dan Sharnaaz, tetapi menegaskan belum sampai waktu untuk anaknya berumahtangga.

@murai.com.my

Ning Selamat Lahirkan Bayi Sulung


Source Murai

Penyanyi Ning Baizura selamat melahirkan seorang bayi lelaki kira-kira pukul 3.06 pagi tadi di sebuah hospital di ibu negara.

Menurut laporan Mstar Online yang menemubual pengurusnya Aylwin Santiago, Ning dan puteranya itu kini berada dalam keadaan sihat.

Aylwin turut memberitahu kehadiran orang baru itu lebih bermakna apabila Ning, 37, melahirkan bayi tersebut pada hari ulang tahun perkahwinannya yang kelima.

Ning dan suaminya, Omar Sharif Christopher Layton Dalton, 37 berkahwin pada 31 Januari 2008.
Tahniah diucapkan buat Ning dan Omar atas kelahiran bayi pertama mereka ini dari kami warga portal Murai dan MLP.

@mylaunchpad.com.my

Wednesday, January 30, 2013

Dakwaan William didera: Bapa saudara, nenek akan diambil keterangan


PETALING JAYA, (Bernama) - Polis akan mengambil keterangan bapa saudara dan nenek William Yau Zhen Zhong berhubung dakwaan mereka bahawa kanak-kanak lelaki itu pernah didera ibu bapanya sebelum dia hilang dan ditemui mati Khamis lepas. 
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata keterangan itu akan diambil daripada kedua-dua individu itu, yang kini berada di Melaka, dalam masa terdekat. 
Beliau memberitahu sidang berita di Kolej Universiti Sunway dekat sini, polis juga akan mengambil kenyataan lanjut daripada ibu bapa dan abang William yang berumur tujuh tahun, bagi mengetahui punca sebenar kejadian. 
Katanya siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, termasuk aspek kecuaian dan penderaan. 
"Kita sedang berbincang dengan pakar psikologi kanak-kanak Bukit Aman untuk mengambil sekali lagi keterangan abang William," katanya. 
Yahaya berkata sehingga kini, kira-kira 30 individu diambil keterangan berhubung kes itu dan polis juga akan mengenal pasti saksi lain yang boleh dirakam percakapan. 
Semalam, polis mengesahkan mayat kanak-kanak lengkap berpakaian ditemui di Jeti Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang oleh seorang nelayan pada 24 Jan lepas adalah William, 6, anak kedua pasangan Goh, 28, dan Yau, 32. 
Dia dilaporkan hilang pada 16 Jan di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya. 
William dipercayai keluar dari kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik. 
Pada hari bedah siasat pada 25 Jan, ibu bapa William mengesahkan mayat kanak-kanak itu sebagai anak mereka berdasarkan dua parut di belakang kepala dan satu di dahi selain seluar dalam yang dipakainya.
@sinarharian.com.my

Israel ancam serang Syria


Israel ancam serang Syria
Sistem pertahanan Iron Dome ini juga pernah digunakan semasa Perang Israel-Gaza pada November lalu. Foto: EPA
TEL AVIV - Israel, kelmarin mengancam untuk melancarkan serangan terlebih dahulu ke atas Syria kononnya sebagai langkah untuk mengelakkan senjata kimia milik negara itu jatuh ke tangan kumpulan Al-Qaeda atau Hizbullah di Lubnan.

Amaran itu diumumkan selepas tentera rejim Zionis memindahkan sistem pertahanan antiroket, Iron Dome yang berfungsi untuk menembak jatuh roket jarak dekat ke bandar Haifa di utara negara tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Silvan Shalom berkata, tindakan untuk menyerang Syria itu diputuskan dalam mesyuarat khas pada minggu lalu.

"Jika senjata kimia tersebut jatuh ke tangan musuh, ia pasti akan meningkatkan lagi ketegangan di rantau ini

Kami mungkin perlu mengambil langkah drastik untuk mengelakkan 'serangan' yang bakal mengancam Israel," katanya.

Sebelum ini, Israel pernah menyuarakan kebimbangan mereka jika Presiden Bashar al-Assad hilang kawalan lalu menggunakan senjata kimia milik negara itu.  - AP
@sinarharian.com.my

Remaja 16 tahun cari wali


Remaja 16 tahun cari wali
Nor Azanita menunjukkan sijil kelahirannya yang didaftarkan di Johor Bahru
KOTA TINGGI – Seorang remaja perempuan mendakwa tidak pernah bertemu kedua-dua ibu bapanya sejak dilahirkan, kini mencari wali bagi membolehkannya melangsungkan perkahwinan dengan lelaki pilihan.
Nor Azanita Bakar, 16, berkata, sejak kecil dia tinggal bersama keluarga angkat di Segamat malah hingga kini tidak mengetahui butiran lanjut mengenai latar belakang ibu bapanya itu.
Ibu bapa angkatnya juga tidak banyak berbicara mengenai ibu bapa kandungnya namun selepas didesak, ibu angkatnya hanya memaklumkan ibunya hanya dikenali sebagai Ana.
“Saya bersekolah hingga tingkatan tiga tetapi selepas itu saya berdikari sendiri dengan menyewa di luar dan mencari kerja.
“Namun kini saya menghadapi masalah kerana perlukan wali untuk melangsungkan perkahwinan dengan lelaki pilihan saya.

“Malah perkahwinan  kami yang sepatutnya dilangsungkan pada 28 Januari ini terpaksa ditangguhkan kerana masalah wali,” katanya yang kini bekerja dan menyewa di Felda Air Tawar 5.
Sebaik menyewa di Felda Air Tawar 5, Nor Azanita rapat dengan Mohamad Sahar Noh, 62, yang dianggap sebagai bapa angkat yang prihatin akan nasibnya.
Mohamad Sahar berharap Nor Azanita dipertemukan dengan walinya secepat mungkin.
“Apa yang diharapkan mana-mana pihak yang pernah  mengenali ibu bapa kepada Nor Azanita akan segera mencari anaknya ini bagi melancarkan urusan pernikahannya.
“Kita bimbang akan pandangan orang ramai, jika dia sudah diijabkabulkan tidak ada perkara yang perlu dirisaukan lagi tambahan pula suaminya nanti boleh menjadi tempatnya berlindung,” katanya.
@sinarharian.com.my

Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...