Tuesday, November 27, 2012

Tidak hilang jati diri - Zee Avi!



BERTEMU buat pertama kalinya dengan penyanyi Zee Avi dalam satu sesi fotografi bersama Kosmo! pada hujung minggu lalu, dia nyata cukup peramah. Bahkan sepanjang sesi temu bual berlangsung, Zee atau nama sebenarnya Izyan Alirahman tidak kekok berbahasa Melayu dan sesekali terselit dialek Sarawak yang menjadi darah dagingnya.
Luahnya, satu perkara yang mungkin ramai orang tidak tahu tentang dirinya adalah dia merupakan warganegara Malaysia dan anak kelahiran Miri, Sarawak.
"Ramai peminat yang terkejut apabila saya memberitahu mereka, saya rakyat Malaysia. Saya bangga saya rakyat Malaysia dan lahir di Miri, Sarawak. Tidak ada apa yang perlu saya malu kerana saya sayangkan Malaysia. Bahkan, pada setiap persembahan saya di luar, pasti saya akan selitkan cerita mengenai Malaysia," katanya yang merupakan duta pelancongan negeri Sarawak.
Kata gadis berusia 27 tahun itu, dia telah diajar hidup di rantau orang sejak berusia 17 tahun. Ketika itu, Zee meninggalkan Malaysia demi menuntut ilmu fesyen di Universiti American InterContinental di London, England.
Selepas lagunya dimuatnaik di laman perkongsian video YouTube, Zee telah dilamar oleh syarikat rakaman Brushfire Monotone/Universal Records, sebelum album pertamanya diterbitkan pada tahun 2009.
Sejak album pertamanya yang berjudul Zee Avi dilancarkan di pasaran, jadual hariannya mula padat dan New York menjadi destinasi tempat tinggalnya.
"Saya sudah terbiasa berdikari sejak berusia 17 tahun. Ibu bapa saya hanya membayar yuran pengajian, manakala duit poket saya cari sendiri. Jadi, kini pada usia 27 tahun tinggal sendirian bukan satu masalah besar buat saya. Ibu bapa juga tidak putus memberi nasihat dan kata-kata semangat setiap kali menghubungi saya.
"Walaupun hidup di negara orang, saya tetap mengamalkan budaya tempatan. Bagi saya, jati diri itu penting untuk membentuk siapa saya pada hari ini. Saya juga tidak pernah letih atau bosan bercerita tentang keindahan Malaysia setiap kali rakan dan peminat di Amerika bertanya tentangnya," tutur Zee yang kini berpindah ke Los Angeles beberapa minggu sebelum taufan Sandy melanda bandar New York.
Album Melayu
Zee yang telah melahirkan dua buah album, Zee Avi dan Ghost Bird kini dalam peringkat awal proses membikin album ketiganya.


Mengakui terdorong untuk mencipta lagu buat pertama kali kerana tiada lagu yang sesuai dengan jiwanya ketika itu, dia tidak menyangka akan bergelar penyanyi dan berada di bawah syarikat rakaman antarabangsa.
"Mula-mula saya cipta lagu ketika belajar di London. Saya bosan, jadi saya menulis lirik dan mencipta lagu kerana tiada lagu di radio ketika itu sesuai dengan jiwa saya. Ia sekadar untuk suka-suka dan mengisi masa lapang, tidak sangka sekarang saya jadi penyanyi. Sampai sekarang saya masih belajar untuk menerima hakikat itu (ketawa)," ujarnya.
Apabila disoal bilakah mahu melahirkan album penuh dalam bahasa Melayu, Zee tersenyum lebar. Jelasnya, dia sendiri tidak sabar lagi untuk muncul dengan album penuh dalam bahasa Melayu kerana itu impiannya.
"Memang saya sendiri tidak sabar untuk lahir dengan album penuh bahasa Melayu, tetapi buat masa ini fokus saya hanya untuk album ketiga.
"Selepas album ketiga ini, saya ada masa lapang. Mungkin pada hujung tahun hadapan atau tahun 2014. Saya belum boleh beri kata putus, tetapi saya memang teringin sangat membikin sebuah album bahasa Melayu," balasnya.
Jika melahirkan album bahasa Melayu, luah Zee dia amat sukakan muzik nostalgia seperti lagu-lagu daripada R. Azmi dan Allahyarham Datuk Ahmad Jais.
Katanya: "Kalau saya melahirkan album bahasa Melayu, inspirasi saya daripada muzik-muzik lama. Bagi saya muzik lama sangat jujur dan meresapi jiwa. Sebab itu pada tahun 2012 kita masih boleh menerima muzik lama. Antara lagu yang saya suka seperti Nasib Penyanyi, Serba Salah dan Hitam Manis."
Aizat
Bercakap tentang Aizat, penyanyi lelaki yang dikaitkan rapat dengan dirinya kini, mata Zee terus bersinar. Akuinya, sebelum ini dia langsung tidak mengenali Aizat.
Selepas muzik Aizat diperkenalkan oleh rakannya, Zee cukup kagum dengan bakat muzik yang dimiliki Aizat serta abangnya, Anas.
"Saya tidak tahu kenapa baru sekarang saya kenal Aizat. Kami berkenalan baru-baru ini dan terus boleh rapat sebab kami satu kepala apabila berbicara tentang muzik. Memang saya suka berkawan dengannya.
ZEE AVI mengaku pernah bercinta, tetapi kini pada usia 27 tahun, dia belum bertemu dengan cinta sejati lagi.


"Kami telah bekerjasama baru-baru ini dan saya juga telah ke studio Kasi Gegar Entertainment. Sebenarnya bukan semua orang yang sesuai bekerja dengan nada suara dan muzik saya, tetapi tidak untuk mereka. Mungkin kami akan bekerjasama dalam sebuah lagu pada masa depan, siapa tahu? Tunggu dan lihat," luah Zee berahsia.
Bercerita mengenai Yuna yang juga mencapai sukses di luar negara sepertinya, Zee juga berbangga apabila rakan seperjuangan telah mengharumkan nama Malaysia. Bagaimanapun, kesibukan jadual menyebabkan mereka tidak berkesempatan untuk bekerjasama.
"Biarpun sama-sama berada di Amerika Syarikat, sebab masing-masing sibuk, kami tidak sempat untuk bertemu. Apabila saya berpindah ke Los Angeles, Yuna sedang sibuk dengan konsert jelajahnya. Apa pun, saya bangga dengannya kerana dia cukup berbakat besar dan melakukan dengan baik di sana," kata Zee.
@kosmo.com.my 

Hero tua terajui Kahwin 5



KAHWIN 5 yang memaparkan isu poligami diberi klasifikasi tontonan untuk 18 tahun ke atas. Ia dibintangi oleh (dari kiri): Anzalna, Andrea, Usop Wilcha, (tengah) pengarah, Nizam Zakaria, Norish Karman dan Marsha.


JIKA melihat industri perfileman di luar negara terutamanya Hollywood, pemilihan pelakon yang sudah berusia merupakan satu perkara yang menjadi kebiasaan, malah ada di antaranya meraih bayaran yang agak tinggi dan lumayan.
Namun begitu, dalam industri perfileman di Malaysia kebanyakan penerbit atau pengarah dilihat lebih gemar memilih pelakon muda untuk memegang watak utama dalam sebuah filem.
Bagaimanapun, filem berjudul Kahwin 5 yang diterbitkan oleh Showbiz Productions telah mengambil pendekatan dengan memilih Usop Wilcha, seorang pelakon komedi yang kini berusia 47 tahun sebagai teraju utama.
Filem berkenaan mengisahkan seorang usahawan mangkuk plastik berjaya, Dr. K (Usop Wilcha) yang sudah memenuhi kuota empat isteri iaitu Saadiah (Dian P. Ramlee), Sahara (Adrea Abdullah), Monalisa (Norish Karman) dan Mimi (Marsha Milan Londoh).
Kehidupan Dr. K bersama keempat-empat orang isterinya bahagia, sehingga dia dipengaruhi Rahim (Fizz Fairuz) dan terjebak dengan skandal bersama Farra (Anzalna).
Pengarah filem tersebut, Nizam Zakaria yang ditemui sewaktu pelancaran filem berkenaan di Cathay e @ Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini menjelaskan sebenarnya tiada masalah besar untuk mengambil pelakon berusia membintangi filemnya itu.
“Pemilihan Usop Wilcha untuk memegang watak sebagai Dr. K dibuat kerana saya melihat dia sememangnya sesuai membawakan watak seorang lelaki yang beristeri empat selain karakter komedi yang dimilikinya.
“Selain itu dia juga seorang pelakon yang sangat kelakar dan mempunyai ramai peminat. Pada saya soal usia rasanya tidak timbul, namun ia tetap merupakan satu cabaran buat diri saya selaku pengarah,” ujarnya yang pernah mengarahkan filem Cinta Kura-Kura.
Bercerita dengan lebih lanjut mengenai filem kedua terbitan Showbiz, pengarah berkenaan menyatakan Kahwin 5 merupakan sebuah naskhah yang lebih menjurus kepada isu poligami yang dipersembahkan dalam bentuk komedi.
Berinspirasikan kejayaan salah sebuah filem terkenal Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang berjudul Madu 3, filem terbaharu arahannya itu tampil dengan sebuah kisah yang tidak sukar untuk difahami terutama dari sudut penceritaan.
Bagaimanapun, filem yang akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 27 Disember ini hanya dapat ditonton oleh penonton yang berusia 18 tahun ke atas.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Nizam memberitahu dia sangat menghormati keputusan yang dibuat oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF), namun tetap yakin filemnya itu akan mendapat sambutan yang baik.
“Saya sendiri kurang pasti apa yang menyebabkan Kahwin 5 diklasifikasikan untuk tontonan 18 tahun ke atas, namun saya tidak berasa kecewa meskipun ia ditayangkan semasa musim cuti sekolah.
USOP WILCHA menjadi teraju utama filem Kahwin 5.


“Lagipun penceritaan filem ini lebih menjurus kepada penonton dewasa memandangkan temanya menjurus kepada isu poligami. Jadi, ia memang kurang sesuai untuk penonton kanak-kanak,” jelasnya.
Bagi Usop pula pemilihannya sebagai Dr. K dalam filem ini dianggap sebagai satu penghormatan memandangkan ia merupakan filem pertama dia dipilih memegang watak utama.
Ujarnya, dia menganggap pemilihannya sebagai watak utama lebih kepada satu eksperimen untuk membuktikan pelakon yang sudah berusia sepertinya masih mendapat tempat di hati peminat.
“Apabila bercakap soal usia, sebenarnya ia bergantung kepada cerita sesebuah filem itu sendiri. Misalnya untuk filem Kahwin 5 ini, mungkin penerbit melihat watak Dr. K ini lebih sesuai dibawakan oleh pelakon yang berusia seperti saya,” jelasnya.
Dialek negeri
Biarpun pihak media yang hadir tidak menonton keseluruhan filem tersebut dan sekadar berpeluang menonton di sebalik tabir pembikinan sahaja, salah satu yang cukup menarik apabila kebanyakan dialog menggunakan dialek bahasa beberapa buah negeri.
Pelakon Adrea Abdullah yang memegang watak sebagai Sahara dalam filem berkenaan mengakui bukan satu masalah yang besar buat dirinya yang terpaksa bercakap dalam bahasa Kelantan.
“Sebenarnya ibu dan bapa saya memang berasal dari negeri Kelantan, maka saya tidak berhadapan dengan sebarang kesukaran kerana sudah biasa bercakap bahasa Kelantan dengan ahli keluarga.
“Pada masa yang sama ia turut memberi kepuasan kepada diri saya kerana dapat melontarkan dialog lebih kelakar dan dengan cara sebegitu ia mampu menghiburkan penonton yang menonton filem ini nanti,” ujarnya.
Sementara itu, Marsha yang memegang watak sebagai Mimi dan merupakan isteri keempat Dr. K menyatakan dia perlu menggunakan ayat-ayat yang mudah difahami oleh penonton.
“Seboleh-bolehnya saya cuba mengurangkan dialek Sabah ketika bercakap agar penonton dapat memahami setiap dialog yang disampaikan dan itu merupakan salah satu cabaran yang harus saya lalui sepanjang berlakon dalam filem ini,” ujarnya.
@kosmo.com.my

Vokal 'hancur', Diandra dikritik hebat

DIANDRA merupakan anak didik Yuna.


PENDATANG baharu, Diandra Arjunaidi, 20, telah dikritik hebat oleh peminat-peminat di Twitter baru-baru ini. Ia adalah impak daripada persembahan Diandra ketika menyampaikan lagu ciptaannya sendiri, Angkasa, pada konsert minggu kedua separuh akhir Muzik-Muzik 27.
Penyanyi yang bernaung di bawah syarikat pengurusan milik Yuna iaitu Yuna Room Records (YRR) dikutuk kerana vokalnya pada persembahan separuh akhir Muzik-Muzik 27 itu dikatakan tidak sehebat seperti nyanyiannya dalam cakera padat (CD).
Lebih teruk, bakat dan kebolehan nyanyian Diandra dipersoalkan malah ada yang mempersoalkan kenapa dia layak menyertai pertandingan muzik berprestij itu.
Tidak kurang ada yang menganggap anak kelahiran Kuala Lumpur itu tidak mampu menyanyi secara langsung.
Antara komen peminat menerusi Twitter adalah:
“Pernah dengar Diandra Arjunaidi tidak pandai menyanyi live. Saya rasa sesiapa yang menyatakan perkara itu adalah benar”.
“Maaf. Rakaman atau secara langsung. Saya masih tidak menyukai suara Diandra Arjunaidi”.
Kosmo! segera mendapatkan maklum balas daripada Diandra mengenai perkara itu.
Kosmo!: Apakah komen anda apabila dikritik hebat oleh peminat di Twitter?
DIANDRA ARJUNAIDI: Saya sedih dan sensitif kerana mereka tidak tahu cerita sebenar.
Apakah cerita di sebalik vokal anda yang ‘hancur’ ketika menyampaikan lagu tersebut pada separuh akhir Muzik-Muzik 27?
Sebenarnya saya baru balik daripada mengadakan persembahan di konsert Yuna yang berlangsung di Kuching, Sarawak. Semasa di Kuching lagi saya sudah demam dan kehilangan suara. Bila saya menyanyi dan kemudiannya pulang ke Kuala Lumpur untuk separuh akhir Muzik-Muzik 27 suara saya menjadi semakin teruk. Saya ada minum air asam jawa untuk memulihkan suara, tetapi masih tidak baik.
Adakah benar dakwaan peminat mengatakan anda tidak mampu menyanyi secara langsung?
Itu tidak benar. Saya boleh menyanyi secara langsung.
Ada juga yang mengatakan anda tidak mempunyai bakat menyanyi? Komen anda?
Saya tidak rasa yang suara saya seteruk seperti yang orang cakap. Kalau saya tidak ada bakat menyanyi, Yuna tidak ambil saya menyertai syarikat miliknya, Yuna Room Records (YRR).
Bila anda menghadapi dugaan seperti ini adakah anda rasa putus asa?
Saya tidak akan putus asa sebab ia adalah salah satu asam garam dalam industri. Sebagai pendatang baharu saya kena terima kutukan yang orang beri. Yuna dan Hujan juga sebelum ini pernah dikritik dengan teruk. Yuna juga ada beri nasihat kepada saya supaya tidak mudah patah semangat dan tunjukkan kepada mereka (peminat) yang kita mampu buat yang terbaik.
Buat pertama kali lagu ciptaan anda, Angkasa berjaya ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 27, tetapi ia tidak dapat dilakukan dengan baik. Adakah anda kecewa?
Sudah tentu saya kecewa sangat, tetapi saya anggap tiada rezeki. Sebagai seorang pendatang baharu, sudah ke peringkat separuh akhir juga sudah bagus untuk saya. Insya-Allah, saya akan cuba untuk tahun depan dan akan lebih menjaga kesihatan.
Apakah harapan anda kepada peminat?
Saya harap peminat sentiasa menyokong. Kalau tidak minat tidak mengapa, asalkan jangan beri kutukan yang melampau.
Apakah perkembangan terbaharu anda?
Insya-Allah tahun depan dalam bulan Februari atau Mac album kedua saya berada di pasaran.
Berapa buah lagu yang ditulis anda dalam album kedua tersebut dan apakah judul single pertama?
Terdapat 10 buah lagu yang kesemuanya ditulis oleh saya. Single pertama album kedua saya iaitu Sama Saja sudah saya nyanyikan dalam beberapa persembahan.
Menerusi album kedua nanti adakah anda akan lebih berhati-hati dari segi tatabahasa kerana dalam lagu Angkasa terdapat kesalahan tatabahasa yang digunakan?
Saya akui kurang fasih menulis dan bertutur dalam bahasa Melayu. Saya sebenarnya membesar dengan penggunaan bahasa Inggeris namun saya cuba untuk menghasilkan lagu-lagu dalam bahasa Melayu dan cubaan pertama saya sudah tentu single Angkasa. Untuk album kedua saya ada meminta tolong kawan-kawan untuk melihat lirik yang ditulis agar tidak berlaku kesilapan lagi.
@kosmo.com.my

Didera kerana bangun lambat


 

BEGINILAH keadaan muka Suryani selepas mendakwa didera majikannya di Taman Sejahtera, Sungai Petani kelmarin.

SUNGAI PETANI – Seorang gadis Indonesia tidak menduga kedatangannya ke sini untuk mencari rezeki halal sebagai pembantu rumah berakhir dengan dia mendakwa menjadi mangsa kekejaman majikan berketurunan Cina yang rakus menderanya sejak enam bulan lalu.
Tidak tahan apabila sering dipukul dan dimaki hamun, Suryani Abdullah, 21, dari Jakarta, Indonesia akhirnya mengambil keputusan melarikan diri dari rumah majikannya di Taman Sejahtera di sini pada pukul 12 tengah hari kelmarin.
Menceritakan kejadian itu, Suryani mendakwa, sejak bekerja di rumah majikannya itu, dia terpaksa menanggung azab apabila dikerah untuk bangun seawal pukul 5 pagi untuk melakukan pelbagai kerja rumah sehingga lewat malam.
Dakwanya, selain itu, dia sering diugut untuk dihantar pulang jika enggan menurut perintah.
“Majikan saya selalu arahkan saya bangun awal pagi untuk membuat kerja rumah. Pada malam Jumaat lalu, saya diarah bangun pada pukul 5 pagi untuk melakukan pelbagai kerja sehingga lewat malam.
“Ekoran itu, saya telah terlajak tidur sehingga pukul 7 pagi keesokan harinya akibat terlalu penat. Majikan yang tidak berpuas hati dengan alasan saya bertindak memukul tangan, badan dan muka dengan benda tumpul hingga bengkak dan sakit,” dakwanya yang masuk ke negara ini melalui agensi pekerja asing.
@kosmo.com.my

Kecoh! Kenduri saji lauk basi!!

NAZURAH dan Nazli terpaksa bergaya di pelamin dalam keadaan perasaan mereka remuk selepas majlis kenduri perkahwinan tercemar dengan sajian basi.


BALIK PULAU – Kemeriahan majlis persandingan satu pasangan pengantin di Dewan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Teluk Bahang di sini kelmarin bertukar kecoh apabila lauk-pauk yang disajikan didakwa telah basi dan berbau busuk manakala nasinya pula mentah.
Kejadian itu menyebabkan lebih 1,000 jemputan majlis perkahwinan Nazurah Romai, 21 dan suaminya, Nazli Che Amat, 22, kakitangan sebuah syarikat swasta, terpaksa pulang dengan perut kosong.
Hidangan itu ditempah menerusi pakej sebuah syarikat perancang perkahwinan yang mengenakan bayaran RM17,000 untuk sajian, sepasang persalinan untuk majlis akad nikah, pelamin, fotografi dan cenderamata.
Difahamkan, pasangan itu telah menjelaskan bayaran sebanyak RM14,000 kepada syarikat berkenaan.
Nazurah yang merupakan seorang pelajar di sebuah kolej swasta di sini berkata, peristiwa yang memalukan itu disedari sewaktu mereka mahu menjamu beberapa orang tetamu pada majlis tahlil kira-kira pukul 10 pagi.
@kosmo.com.my

Sunday, November 25, 2012

Trek F1 burung unta



KUNJUNGAN ke Jelita Ostrich Farm yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan pada mulanya disambut dengan edisi pengenalan yang agak mengelirukan.
Ini kerana kru Jurnal sedia maklum ladang ternakan ini terkenal dengan burung unta tetapi diberi penerangan perihal burung kasawari pula.
"Jangan khuatir, ini sebagai mukadimah semata-mata tetapi burung kasawari sebenarnya termasuk dalam spesies burung unta.
"Penjelasan ini bagi mengelakkan orang ramai yang keliru antara kedua-dua jenis burung ini," kata penyelia ladang Syed Azran Syed Abdullah, 48.
Namun, sebaik sahaja menyusuri lebih mendalam di Jelita Ostrich, ketinggian burung unta sebenarnya lebih tinggi berbanding manusia normal sendiri.
Berat badan haiwan ini boleh mencecah sehingga 150 kilogram (kg). Ia gemar mematuk tetapi jangan khuatir kerana burung ini tidak bergigi.
Menurut pemilik Jelita Ostrich, S.S Abraham, pengunjung perlu berhati-hati dengan tendangan burung ini yang kuat iaitu sehingga mencapai ukuran 225kg.
Kekuatan tendangan itu boleh mengoyakkan pintu kereta.
"Istimewanya, otaknya hanya sekitar 40 gram. Namun, haiwan ini didakwa burung yang terbesar, terkuat dan terpantas di dunia.
"Ia juga memiliki sifat penyesuaian yang baik terhadap iklim serta pemakanan yang berbeza," tutur Abraham.
Memiliki kulit yang tebal, tahan lasak dan lembut, burung unta dianggap sebagai haiwan yang paling mewah serta berkualiti.
Malah, kesemua bahagian burung unta ada nilai komersial.
Menurut Abraham, kulitnya sesuai dibuat beg, dompet, kasut dan jaket.
Dagingnya pula sama seperti daging lembu, tinggi kandungan protein serta rendah kolesterol. Telurnya juga berharga tinggi iaitu sekitar RM100 sebiji.
PERLUMBAAN burung unta merupakan salah satu tarikan di Jelita Ostrich.


Cuba sendiri
Katanya lagi, bulunya boleh digunakan sebagai penyapu bulu dalam industri automobil dan komputer sementara bulu yang berwarna putih digunakan dalam industri fesyen.
"Jari kakinya boleh digunakan dalam industri batu permata untuk menghasilkan kilauan malah tendonnya dapat menggantikan tendon manusia yang rosak.
"Selain itu, lemaknya boleh digunakan untuk produk pencuci rambut, minyak urut dan losen," katanya.
Terbukti, burung unta mempunyai senarai kelebihan yang panjang tetapi tidak sempurna rasanya sekadar melawat ladang jika tidak merasai pengalaman menunggang burung yang obses dengan benda-benda berkilat ini.
Seorang guru dari Tapah, Perak, Khairiyatul Muhammad Muridun, 25, memberitahu, beliau menunggang burung itu seperti menunggang seekor kuda.
"Kedua-dua matanya ditutup terlebih dulu supaya ia tidak berasa cemas.
"Selain itu, terdapat kaedah tertentu untuk menunggangnya iaitu penunggang perlu memegang kedua-dua kepak burung itu sambil meregang badan kita ke belakang," katanya.
Cerita Khairiyatul, ramai pekerja ladang itu yang membantu, jadi beliau tidak risau akan keselamatan dirinya.
"Dalam masa kurang seminit, saya telah memperoleh sijil boleh menunggang burung unta. Ini peluang yang tidak harus dilepaskan begitu sahaja," katanya.
Bagi Camelia Mohamed Fazly, 7, beliau tidak menyangka telur burung unta boleh mencecah berat sehingga 1.5kg.
"Sampai lenguh tangan memegangnya tetapi saya tidak tahu yang telur ini tidak akan pecah walaupun dipijak oleh individu seberat 150kg.
"Malah, sebiji telur mampu medimakan oleh 10 orang, cuma harganya agak mahal dan berbau busuk sedikit," katanya.
Mohd. Ezam Abdul Majid, 11, pula hairan melihat burung unta berlumba kerana selama ini dia hanya menyaksikan kuda berlumba.
"Rupa-rupanya burung ini berlari laju. Kalau kita mahu burung itu membelok ke kanan, kita perlu menutup mata kirinya dan begitulah sebaliknya," katanya.
Dia juga kagum dengan kaedah untuk memberhentikan haiwan itu.
"Tengkuk burung ini perlu ditarik ke belakang bagi menyuruh haiwan itu berhenti. Jika tidak dikawal, ia boleh berlari sejauh 10 kilometer tanpa henti.
TELUR burung unta boleh menampung berat 150kg.


Produk
"Jika saya menggunakan burung ini sebagai kenderaan mungkin boleh balik ke kampung di Tapah, Perak," katanya.
Di ladang ini terdapat sebuah litar lumba burung unta yang dikenali sebagai Formula One Ostrich Track. Ia litar pertama seumpamanya di Malaysia.
Burung unta boleh berlari sehingga 70 kilometer sejam. Mungkin disebabkan kehidupannya yang aktif, ia kurang lemak. Bagaimanapun, lemak yang ada banyak manfaatnya.
"Antara produk yang boleh dihasilkan daripada lemak burung unta ialah krim muka, losen tangan, pencuci rambut serta pencuci muka.
"Ada pelanggan yang mendakwa minyak pati burung unta mampu mengatasi keguguran rambut.
"Tapi saya tidak pernah menguji keberkesanannya walaupun rambut saya sendiri kini hampir botak," ujar Abraham berseloroh.
Selain menjual produk burung unta di ladang itu, Abraham turut menjualnya kepada syarikat tertentu.
"Ada banyak aktiviti di ladang ini. Antaranya, menunggang burung unta, memijak telurnya dan bergambar dengan haiwan itu," katanya.
Satu produk baharu yang bakal diperkenalkan di sini ialah inap ladang yang menyerupai program homestay.
"Projek itu meliputi pembinaan calet serta kawasan rekreasi dan perkemahan," jelas Abraham.
Terdapat lebih 50 ekor burung unta di Jelita Ostrich. Jelas Abraham, salah satu keunikan burung unta ialah umurnya boleh mencecah sehingga 80 tahun.
"Harganya pula boleh mencecah RM10,000 seekor," katanya sambil menambah, ladang itu mempunyai tukang sembelih bertauliah dengan kerja penyembelihan dilakukan di dalam ladang berkenaan.
ABRAHAM menunjukkan produk hasil lemak burung unta seperti produk pencuci rambut, minyak urut dan losen.


Bercerita mengenai burung unta, dia menganggap haiwan itu seperti isteri keduanya.
"Tidur pun boleh mengigau burung unta sehingga isteri saya marah. Walaupun kena tendang beberapa kali sehingga badan-badan lebam, saya tidak kisah," cerita Abraham.
@kosmo.com.my

Tunjuk perasaan desak Yingluck letak jawatan



SEBAHAGIAN penunjuk perasaan bertempur dengan polis dalam tunjuk perasaan anti-Yingluck di Bangkok semalam.


BANGKOK - Kira-kira 130 penunjuk perasaan ditangkap di sini semalam dalam tunjuk perasaan ganas yang mendesak Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra meletakkan jawatan kerana pentadbirannya didakwa mengamalkan rasuah.
Jurucakap polis, Mejar Jeneral Piya Utayo berkata, sebahagian penunjuk perasaan membawa pisau dan peluru.
Beberapa anggota polis melepaskan tembakan gas pemedih mata bagi menyuraikan para penunjuk perasaan yang hanya berjumlah ratusan orang.
Kumpulan tunjuk perasaan itu diketuai oleh bekas jeneral, Boonlert Kaewprasit yang menuduh pentadbiran Yingluck tidak mempedulikan perbuatan menghina institusi beraja dan menjadi boneka abangnya, Thaksin Shinawatra.
Thaksin digulingkan tentera pada 2006 selepas berlaku dakwaan pentadbirannya dicemari rasuah dan penyalahgunaan kuasa. - Agensi
@kosmo.com.my

Mesir kembali bergolak



SEJUMLAH orang berkhemah bagi membantah dekri terbaharu Morsi di Dataran Tahrir, Kaherah semalam.


KAHERAH - Polis pencegah rusuhan melepaskan tembakan gas pemedih mata bagi menyuraikan para penunjuk perasaan yang berkhemah di Dataran Tahrir di sini semalam kerana membantah dekri yang dikeluarkan Presiden Mesir, Mohamed Morsi.
Pada 22 November baru-baru ini, Morsi mengeluarkan dekri yang mengumumkan setiap keputusan yang dibuatnya tidak boleh dicabar di mahkamah sehingga anggota-anggota baharu parlimen dipilih.
Para penunjuk perasaan itu dihalang polis dengan gas pemedih mata selepas mereka cuba untuk menyertai sejumlah lagi orang yang berkhemah di dataran tersebut.
Dataran itu menjadi tempat ratusan ribu orang berhimpun bagi mendesak Hosni Mubarak meletakkan jawatan pada tahun lalu kerana penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
Hosni kemudian meletakkan jawatan pada Februari tahun lalu.
Para penunjuk perasaan juga akan mengadakan satu perhimpunan besar-besaran pada Selasa ini.
Hakim-hakim di bandar Alexandria juga melancarkan mogok bagi membantah dekri tersebut.
Amerika Syarikat (AS) turut mengkritik dekri tersebut menerusi satu kenyataan daripada jurucakap Jabatan Negara AS, Victoria Nuland.
Kelmarin, para penyokong dan penentang Morsi saling bertempur di serata Mesir selepas presiden itu mengumumkan dekri tersebut.
Pejabat parti Keadilan dan Kebebasan yang disokong Ikhwanul Muslimin turut menjadi sasaran serangan para penunjuk perasaan di Alexandria kelmarin. - Agensi
@kosmo.com.my

Lelaki bogel duduk di atas patung manusia



SEORANG lelaki yang berbogel (dalam bulatan) duduk di atas patung manusia di London kelmarin.

LONDON - Seorang lelaki bogel ditangkap selepas dia duduk di atas patung manusia dekat pejabat Perdana Menteri Britain, David Cameron di sini kelmarin.
Polis menutup kawasan di sekitar patung itu dan memujuknya untuk turun dari patung tersebut.
Menurut polis, dia kemudian berjaya dipujuk dan ditahan menerusi Akta Kesihatan Mental. - AFP
@kosmo.com.my

Larry Hagman meninggal dunia

GAMBAR fail menunjukkan barisan pelakon siri televisyen Dallas termasuk Hagman (dalam bulatan) dan Gray di sebelahnya.


LOS ANGELES - Pelakon Larry Hagman yang terkenal dengan watak hitam menerusi drama bersiri televisyen popular di dunia, Dallas meninggal dunia kelmarin pada umur 81 tahun kerana penyakit kanser.
Hagman yang memegang watak, J.R. Ewing dalam drama tentang sebuah keluarga usahawan minyak dan ternakan yang kaya di Texas itu dilaporkan meninggal dunia di Hospital Perubatan Bandar Dallas.
Beberapa ahli keluarga dan rakan rapat berada di sisinya semasa dia menghembuskan nafas terakhir.
Antara rakannya ialah aktres Linda Gray yang memegang watak isterinya, Sue Ellen yang mengalami masalah ketagih minuman keras dalam siri itu.
Seorang lagi pelakon drama itu, Patrick Duffy yang memegang watak Bobby iaitu adik J.R turut berada di sisi Hagman semasa dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Hagman yang dilahirkan di Fort Worth, Texas pada 21 September 1931 berlakon dalam drama bersiriDallas dari April 1978 hingga 1991 terbitan stesen televisyen CBS.
Walaupun terkenal sebagai pelakon berwatak baik sebagai Mejar Anthony Nelson dalam sitkom komediI Dream of Jeannie pada 1965, Hagman mengecapi populariti di seluruh dunia menerusi watak J.R.
Dia melakonkan watak sebagai seorang pelaku rasuah yang mempunyai senyuman lebar, melakukan penipuan dalam perniagaan dan sebagai suami yang curang.
Salah satu siri itu yang berjudul Who Shot J.R? mencetuskan spekulasi hangat dalam kalangan peminat di seluruh dunia.
Ketika identiti pelaku yang menembak J.R didedahkan dalam satu lagi episod yang disiarkan pada November 1980, purata 41 juta penonton menyaksikannya sekali gus menjadikan ia sebagai antara program televisyen paling hebat.
Hagman pernah menjadi antara pelakon televisyen yang menerima pendapatan tertinggi menerusiDallas.
Beliau berkahwin dengan Maj Axelsson pada tahun 1952 dan dikurniakan dua anak, Heidi Kristina dan Preston.
Namun, pada tahun 2008, Axelsson disahkan menghidap penyakit alzheimer.
Siri terbaharu Dallas mula disiarkan pada Jun 2012 di rangkaian televisyenTNT dengan Hagman masih memegang watak J.R., Gray sebagai isterinya dan Duffy kekal memegang watak Bobby.
Bagaimanapun, ia menumpukan kisah tentang anak Bobby dan J.R. - Agensi
@kosmo.com.my

'Ini cara kami cegah gejala maksiat' - Nur Fazira

MOHD. Fahmi bersama Nur Fazira mengenakan pakaian pengantin serba putih pada kenduri perkahwinan mereka di Kampung Naga Lilit, Padang Serai semalam.


PADANG SERAI - Dalam keadaan banyak pasangan remaja terus leka bercinta, Mohd. Fahmi Mohd. Alias, 18, dan Nur Fazira Saad, 12, mengambil jalan nekad dan berani untuk berkahwin bagi menguji sejauh mana kesetiaan mereka menghadapi cabaran hidup bersama.
Mereka telah dinikahkan oleh Imam Masjid As-Sobirin Padang Cina di sini, Mohd. Nazar Husain pada 17 November lalu sebelum mengadakan majlis kenduri yang dihadiri kira-kira 200 tetamu di rumah pengantin lelaki di Kampung Naga Lilit di sini semalam.
Menurut Mohd. Fahmi, perkahwinan adalah jalan penyelesaian terakhir bagi mengelak berlaku perkara yang tidak diingini.
"Saya berkahwin awal bagi mengelak timbul perkara buruk. Ini cara terbaik untuk kami mencegah maksiat," katanya yang bersyukur keluarga isterinya memberi keizinan kepada mereka untuk bernikah.
Mohd. Fahmi yakin pendapatannya sebanyak RM1,000 sebulan hasil bekerja membantu bapanya menguruskan kebun kelapa sawit cukup untuk menampung kos kehidupan bersama Nur Fazira.
Isterinya itu yang akan mencapai usia 13 tahun pada 24 Disember ini pula yakin mampu melaksanakan tanggung jawab baharu sebagai isteri.
"Apa yang penting ialah kasih sayang. Pasal anak kami belum fikirkan lagi," katanya.
@kosmo.com.my

Lana Nordin terlebih mengada-ngada

LANA NORDIN


'ISK, orang nak ambil gambar dia, main-main pula. Banyak mainlah, patutlah sudah lama dalam industri, setakat itu juga perginya, sedih!' Begitulah rungut seorang jurukamera yang dua kali menegur pelakon Lana Nordin selepas Anugerah Skrin 2012 (ASK 2012) minggu lalu.
Kali pertama ajak, dia kata nak habiskan dulu makanan dalam pinggan. Okeylah, jurukamera tadi pun keluarlah menunggu di luar dewan makan. Gara-gara nak penuhi juga permintaan wartawan, lepas lima minit, jurukamera tadi pun pun pergi minta si Lana itu untuk diambil gambar.
Kali ini, bukannya nak ucap terima kasih sebab sanggup tunggu, diberi lagi alasan yang sekali dengar bunyi macam kebuluran sangatlah!
"Saya tak habis makan lagi dan saya nak rasa semua makan yang kat sini," sedap ayat dia.
Kalau Divalah nak diperlakukan begitu, mahu sahaja Diva angkut semua makanan kasi pelakon yang Diva tak ingatlah filem atau drama lakonannya itu makan. Lapar sangatkah, sampai nak ambil gambar seminit pun tak boleh berhenti mengunyah.
Atau itu semua alasan, sebenarnya tak ingin gambar dirakamkan. Bukan ke baju tema alam fantasi yang dipakainya pada malam ASK 2012 cantik dan kena sangat dengan penampilan seksinya dia selama ini. Pelik, kalau Maya Karin yang menang trofi pun rasanya tak buat perangai sebegitu.

Diva: Tahniah buat Hafiz Hamidun yang berjaya dengan konsert solo perdananya.
@kosmo.com.my

Zizan mula tujuk belang

ZIZAN RAZAK


ADA-ADA sahaja cerita pasal Zizan Razak. Terbaharu, jejaka dari Terengganu tu bukan main lagi mengasah ayat cinta dengan Nora Danish di laman Twitter. Bagi Diva, setakat main ayat cinta di laman sosial itu perkara biasa. Ada juga yang putus cinta pun di Twitter juga.
Tapi cerita minggu lalu lagi panas. Diva teringat episod fotografi di pagi hari yang diaturkan di sebuah studio untuk promosi satu acara. Fahamlah Zizan sekarang sibuk, sebagai pelawak paling berjaya, waktunya emas. Jadi segala benda kena cepat dan padat.
Bila diminta untuk satu sesi fotografi, Zizan bagi tarikh dan waktu ikut kehendak dia, media kena setuju. Semua pihak yang mahu digandingkan dengannya juga kena patuh.
Jadi, bila Zizan tetapkan waktu fotografi bersamanya pada pukul 9.30 pagi semua pun kena setuju, kalau tak setuju, dia tak ada waktu lain. Kalau dengan Zizan seorang okey, tapi bila melibatkan artis lain, kenalah ada persetujuan bersama.
Tiba waktu yang dijanjikan, artis yang terpaksa ikut jadual Zizan tiba tepat pada masa yang dijanjikan. Tunggu punya tunggu, orang yang berkeras bagai besi sakti mahu buat fotografi awal pagi tak nampak batang hidung.
Artis yang digandingkan dengan Zizan pun, bukan calang-calang orang, tapi sanggup berpinar mata tempuh kesesakan jalan raya dan beralah demi Zizan.
Pelakon ada trofi tadi pun termangu daripada setengah jam jadi sejam, lepas sejam masuk dua jam. Malangnya, Zizan yang beria-ria tetapkan jadual ibarat masuk kerja kena punch card pula yang sampai dua jam kemudian.
Jangan terlalu pentingkan diri. Kalau orang lain boleh tepati masa, jangan mainkan masa orang lain.
Fikir-fikirkan, Diva cuma fikirkan apa perasaan artis yang kena tunggu Zizan selama dua jam itu semata-mata untuk sekeping gambar bersama. Lu pikirlah sendiri!

Diva: Penentuan lagu mana ke Anugerah Juara Lagu malam ini, berdebarlah.
@kosmo.com.my

Tiga grup rock legenda, satu konsert



LEGENDA rock tanah air dari kiri, Man Kidal, Nash, Mus dan Ramli Sarip bakal bergabung pada 9 Februari 2013 di Stadium Jebat, Melaka.


JARANG sekali tiga grup legenda ini disatukan dalam sebuah konsert yang berskala besar. Ia sekali gus menyaksikan sejarah baharu bakal tercatat dalam satu persembahan konsert yang menjanjikan momen indah buat para peminat muzik tanah air.
Sweet Charity, Lefthanded dan May bakal disatukan dalam sebuah konsert yang diberi nama Konsert Dimensi Rockarisma. Tiga buah grup dengan portfolio dan barisan lagu-lagu malar segar bakal menggegarkan pentas pada 9 Februari tahun depan bertempat di Stadium Jebat, Melaka.
Konsert yang bakal bermula pada pukul 8.30 malam tersebut dibawakan oleh pihak Rockarisma Capital Sdn. Bhd.
Baik Sweet Charity mahu pun Lefthanded dan May adalah tentera-tentera rock yang membikin empayar rock pada tahun 1970-an dan 1980-an. Ia akan mengembalikan ingatan khalayak terhadap zaman kegemilangan rock.
Antara lagu wajib konsert itu ialah Kamelia (Sweet Charity), Semangat Lamina (Lefthanded) dan Sendiri (May). Konsep, nama dan idea untuk penyatuan tiga grup ini dicetuskan oleh Azhar Selamat dari Karisma Johor dengan kerjasama grup-grup tersebut.
Buat Ramli Sarip yang merupakan vokalis Sweet Charity, konsert tersebut merupakan sebuah penghormatan.
"Kami mula bermuzik sejak tahun 1970-an. Kemudian pada pertengahan 1980-an, Lefthanded muncul dengan payung dan pengaruh daripada Sweet Charity. May kemudian muncul dan ini adalah gabungan tiga genre muzik yang berlainan. Kami mempunyai kelainan persembahan yang agak tinggi. Saya rasa teruja dan melihat kesemua grup ini lebih matang dan berjiwa," ujar Ramli Sarip yang menyatakan konsert Rockarisma bakal bergegar dengan lagu-lagu klasik dan terbaik.
Man Kidal, gitaris Lefthanded membuka cerita bahawa sudah 15 tahun grup mereka tidak berdendang di tanah Melaka.
"Dengan produksi yang baik dan konsert yang besar, saya meminta agar peminat-peminat memberi sokongan kepada kami," ujarnya dalam senyum melebar.
"Saya berasa sangat bertuah kerana Lefthanded digandingkan buat julung-julung kalinya dengan Sweet Charity. Ramli Sarip merupakan penerbit buat album-album Lefthanded dan saya rasa ini adalah kolaborasi yang sangat baik," tambah Nash yang merupakan vokalis Lefthanded.
Para peminat boleh mendapatkan tiket dengan menghubungi 03-7880799 atau melayari www.ticketpro.com.my. Tiket berharga RM78 manakala kepada para peminat yang ingin mendapatkan tempahan awal layak mendapat harga promosi sebanyak RM58 sahaja.
@kosmo.com.my

Elyzia, si manis 17



ELYZIA MULACHELA menolak adegan seks dan menyatakan ciuman dirinya dan Adipati dalam Perahu Kertas hanya sekadar teknik penggambaran.


PERAHU Kertas pernah menjadi antara novel terlaris. Nukilan Dewi Lestari yang dihasilkan dalam masa 55 hari itu kini diangkat menjadi sebuah filem. Sutradara Hanung Bramantyo menggalas tugasan sebagai pengemudi filem yang dinantikan pembaca novel Dewi.
Mula ditayangkan di Indonesia pada lebaran lalu, filem ini berlabuh di TGV, KLCC bermula 29 November ini. Sebuah filem yang sarat falsafah hidup, alurnya membawa penonton mengalir dan membuai perasaan dalam perhubungan hero dan heroin yang dinamakan Keenan dan Kugy.
Bertemu salah seorang pembawa karakter penting filem ini, Elyzia Mulachela datang bertemu mata dengan media Malaysia. Si pengemudi watak Luhde ini rupa-rupanya baru berumur 17 tahun dan masih bersekolah. Pembawaan dirinya dalam Luhde yang agak meyakinkan membuatkan dirinya tampak matang.
"Saya berasal dari Lombok dan kini tinggal di Jakarta. Awalnya saya merupakan seorang penyanyi dan mempunyai sebuah single bertajuk Cinta Yang Tak Mungkin. Lagu ini masuk ke dalam album runut bunyi filem Perahu Kertas," ujar si manis itu.
Tuah ayam nampak di kaki, tuah Elyzia yang mesra disapa Cipy ini muncul pada lagunya. Bukan setakat lagunya diambil masuk ke dalam filem yang membariskan Reza Rahadian, Adipati Dolken dan Maudy Ayunda itu, Elyzia sendiri ditawarkan watak Luhde oleh Hanung.
"Tiada masalah besar dalam melakonkan watak Luhde. Cuma Luhde itu orang Bali. Saya harus belajar bahasa Bali, loghat Bali, terus kedewasaannya juga saya harus pelajari. Terus yang harus belajar adalah cara sembahyang orang Hindu. Padahal, saya Islam keturunan Arab," tutur Elyzia.
Melihatkan lakonannya yang masih banyak perlu diperbaiki, Elyzia mengaku tertekan melihat lakonannya sendiri. Dia selaku pembaca novel Dewi Lestari maklum bahawa segolongan besar penonton datang ke panggung dengan jangkaan tersendiri.
"Setelah melihatkan respons penonton Indonesia, saya lega," tambahnya yang meletakkan nyanyian sebagai karier utama.
Diusik tentang adegan cium Luhde dan Keenan dalam filem itu, Elyzia ketawa manis sebelum menjawab.
"Kalau ada adegan seks, memang saya akan tolak. Itu hanya teknik penggambaran yang menampakkan saya dan Adipati yang membawakan watak Keenan berciuman pada malam tahun baru. Sebetulnya babak itu bukan adegan melakukan hubungan seks tetapi simbolik antara Luhde dan Keenan rasmi berpacaran," terangnya tentang keintiman Luhde dan Keenan di pertengahan cerita.
Tambah Elyzia, karakter Luhde dan dirinya hanya ada beberapa persamaan.
"Misalnya Luhde seorang yang nampak saja macam seorang pendiam tetapi hakikatnya dia seorang yang cerewet. Samalah seperti saya", kata gadis ini.
Perahu Kertas mengisahkan pasang surut hubungan dua remaja, iaitu Kugy (Maudy Ayunda) dan Keenan (Adipati Dolken). Dua remaja ini bersahabat baik sehingga masing-masing sebenarnya memendam perasaan antara satu sama lain. Namun dalam masa sama mereka mencari haluan hidup dan obses mengejar cita-cita.
@kosmo.com.my

Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...