Wednesday, August 15, 2012

OIC diminta selamatkan Syria - PM



NAJIB (dua dari kanan) mendengar penerangan daripada tokoh ulama Arab Saudi, Sheikh Dr. Abdullah Hamad Al Jalaly (kanan) pada pertemuan dengan tokoh-tokoh ulama sempena Persidangan Luar Biasa OIC di Mekah semalam.


MEKAH - Malaysia akan mendesak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengambil langkah serius untuk menyelamatkan Syria daripada terus hancur akibat konflik yang melanda negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia akan menyuarakan pendirian dan gesaan itu pada Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC di Mekah yang bermula hari ini.
"OIC perlu mengambil langkah positif dan lebih tegas untuk menyelamatkan Syria dan bukan sekadar mengambil tindakan politik sahaja," kata beliau kepada pemberita Malaysia di sini semalam.

Perdana Menteri mengetuai delegasi negara ke Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC anjuran Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz Al Saud dan persidangan itu bertujuan membincangkan situasi terkini di negara dan dunia Islam dengan hasrat mengembali dan mengukuhkan perpaduan umat Islam serata dunia dan memerangi unsur yang membawa kepada perbalahan dan kekacauan.

Persidangan itu berlangsung di As-Safa Palace yang terletak bersebelahan Masjidil Haram dan bermula selepas solat tarawih sehingga waktu bersahur.

Mengenai laporan media yang memetik bahawa Syria digantung daripada menganggotai OIC, Najib berkata, perkara itu juga akan dibangkitkan dalam mesyuarat malam ini dan pendirian Malaysia ialah mahu Syria terselamat daripada kehancuran dan OIC harus membela nasib umat Islam di negara yang sedang bergolak itu.

Setiausaha Agung OIC, Ekmeleddin Ihsanoglu dipetik oleh agensi berita AFP sebagai berkata, Syria yang sedang dilanda peperangan tidak akan diwakili dalam sidang kemuncak itu.
Konflik di Syria bermula pada Mac 2011 dengan tunjuk perasaan awam iaitu sebahagian daripada kebangkitan "Arab Spring" yang lebih meluas dan merebak kepada pemberontakan di seluruh negara serta perang saudara tahun ini.

Penunjuk perasaan mendesak supaya pemerintahan Parti Ba'ath yang berkuasa hampir lima dekad ditamatkan lebih awal di samping peletakan jawatan Presiden Bashar al-Assad.
Kerajaan Syria mengerahkan angkatan tenteranya untuk menumpaskan pemberontakan itu dan tentera dilaporkan diarah supaya melepaskan tembakan ke arah orang awam.

Konflik 17 bulan itu mengorbankan lebih 21,000 orang, menurut kumpulan pemantau. - Bernama

@kosmo.com.my

Post a Comment

Kejam! Wanita Dirogol Sebelum Kepala Dipenggal

SEORANG wanita yang berkunjung ke India untuk mengubati kemurungannya, diberikan dadah, dirogol sebelum dipenggal kepala. Mayat mangsa ...