Thursday, August 16, 2012

Nostalgia lebaran Wawa, Deja, Sabhi



PERJALANAN lebih nostalgia, klasik dan pesona memori silam terasa tiap kali kita menyusur perlahan dari satu gerabak ke gerabak lain. Tambah pula kilauan usia emas keretapi yang pernah menjadi medium perjalanan utama penduduk Tanah Melayu suatu ketika dahulu menjadi pilihan buat pulang beraya di kampung halaman tercinta.
Memilih stesen keretapi yang masih beroperasi sejak tahun 1909 di jantung ibu kota Kuala Lumpur, sedikit sebanyak mengimbau kembali nostalgia tiga bintang kelahiran Sabah dan Sarawak sempena kedatangan Syawal.
Sengaja kesan kenangan lampau itu diberi sentuhan berbeza biar pada mulanya kelihatan seolah-olah canggung menggandingkan mereka di lokasi pengangkutan awam yang tidak menghubungkan Semenanjung Malaysia dan kepulauan Borneo sama sekali.
Angpau dan air kotak
Membuka kisah generasi yang baru mula merasa nikmat bergelar artis, tiada yang lebih bermakna buat pelakon jelita Wawa Zainal, 20, daripada berkumpul bersama keluarga dan sanak saudara ketika sambutan 1 Syawal.
"Kenangan sewaktu zaman kanak-kanak adalah momen terindah berhari raya. Selain dapat berhimpun dan bersua muka dengan ahli keluarga, nikmat mendapat duit raya paling meninggalkan kesan hingga hari ini.
"Biar sekarang sudah sampai giliran saya mengagihkan duit raya buat saudara-mara, tetap memori mencari duit raya di rumah-rumah jiran yang tidak dikenali terpahat dalam ingatan.
"Ketika berumur tujuh tahun saya pernah beraya ke rumah jiran sehingga tuan rumah tidak membenarkan saya masuk, sebaliknya dia memberikan saya sekotak air minuman dan duit raya. Tidak menjadi hal sebenarnya kerana ketika itu hanya jumlah duit raya jadi keutamaan," katanya yang tidak pernah bermain mercun atau bunga api.
Soto, lemang dan ketupat menjadi pilihan pelakon drama rantaian Bunga Cinta sempena Aidilfitri. Tahun ini pula menjadi tahun pertama Wawa beraya bersama gelaran artis dan sudah pasti persiapan raya juga kian meriah.
"Saya menyediakan tiga pasang baju raya warna kuning, hitam dan merah jambu untuk raya tahun ini. Rumah terbuka pula mungkin diadakan pada hari raya ketiga dan peminat yang berada di Sabah dipelawa untuk datang," ujar gadis genit berlesung pipit kelahiran Lahad Datu, Sabah itu.
Bercuti panjang tahun ini sempena Syawal, ujar duta produk kecantikan Lip Ice dan Shahirah itu akan kembali ke set penggambaran drama Monumen Cinta Qaseh untuk slot Lestary TV3 pada September ini.

TIGA orang anak rantau ini menyifatkan Aidilfitri sebagai bulan terbaik berkumpul dengan seisi keluarga.


Raya tangan berbalut
Bicara beralih kepada pelantun lagu Nadiku, Sabhi Saddi, 28, yang terkenang akan detik-detik manis bersama arwah neneknya setiap kali tibanya Ramadan dan Syawal.
Kesukaran mencari pemanis mulut untuk berbuka puasa kegemaran neneknya iaitu kuih kacang hijau sedikit sebanyak mencetuskan keinginan untuk bercuti lebih panjang bersama keluarga pada tahun ini.
"12 sehingga 28 Ogos, saya peruntukkan untuk meluangkan masa bersama keluarga di kampung. selama menjadi artis saya tidak pernah beraya di Kuala Lumpur.
"Kisah yang masih menjadi ingatan ketika saya sewaktu darjah empat dan arwah nenek membelikan seguni mercun untuk saya dan adik. Syarat untuk mendapat mercun itu, kami perlu belajar bersungguh-sungguh dan ganjarannya sebutir mercun setiap hari untuk dijemur supaya bunyinya lebih kuat.
"Tak disangka, beberapa hari sebelum raya mercun meletup di tangan kanan saya dan akhirnya terpaksa beraya dengan tangan berbalut!" cerita anak teruna bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman itu bersungguh-sungguh.
Sabhi menggemari lemang khas yang dibalut menggunakan daun kelapa muda dan dihidangkan bersama ayam masak kicap atau rendang. Selain itu, dia menggemari kuih sarang semut dan baulu yang dicicah bersama kopi.
Dalam perkembangan lain, Sabhi akan terlibat dengan penggambaran drama 26 episod selama sebulan di sekitar Semenanjung Malaysia dan Sabah pada bulan September selain kembali merakamkan single baharu berjudul Cinta Sesungguhnya dan Percuma ciptaan komposer Indonesia, Bambino.
Pertandingan lampu kelip-kelip
Jadual giliran beraya di kampung suaminya, Azfendy Azzuddin di Kuala Lumpur pada raya tahun ini tidak melunturkan semangat penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak, Deja Moss untuk menyambut lebaran dengan meriah.
SABHI SADDI sudah mula bercuti raya sejak 12 Ogos lalu. Dia hanya akan kembali aktif selepas 28 Ogos.


"Keluarga faham saya tidak balik beraya di Sarawak tahun ini, lagipun tahun lepas saya sudah beraya di sana dalam tempoh yang panjang," jelas pemilik nama Sharifah Hadijah Wan Moss, 39, tidak terkilan.
Tambah pemilik Hadeeja Cafe yang terletak di Ukay Perdana, Ampang, Selangor itu, kenangan ketika dia mula-mula bergelar penyanyi menjadi tulus ingatan abadi dalam dirinya.
"Pertama kali saya menjadi artis ketika tahun 2000, saya mengadakan rumah terbuka raya dan mengundang peminat yang berada di Sarawak untuk hadir.
"Perancangan awal mengadakan rumah terbuka dari pukul 10 pagi hingga 5 petang terpaksa dilanjutkan masa hingga 10 malam kerana jumlah tetamu yang datang lebih 400 orang tak putus-putus dan kami sekeluarga terpaksa tambah makanan takut tak cukup.
"Selain itu, kejiranan kampung saya di Sarawak juga akan mengadakan pertandingan lampu kelip-kelip antara rumah apabila perayaan Aidilfitri. Walau ganjarannya tidak seberapa tapi kemeriahan itu mengujakan saya untuk beraya," tambah Deja yang turut menantikan kemeriahan bertukar juadah antara jiran tetangga apabila 1 Syawal.
Pelantun lagu Asmara itu bagaimanapun menggemari menu daging masak hitam yang menjadi tradisi keluarganya pada hari raya selain rendang ayam, hati ayam masak kering dan kelupis iaitu ketupat pulut yang dibungkus dengan daun nipah secara melonjong dan direbus dalam santan pekat.
Pakar kek lapis Sarawak itu juga menceritakan keunikan cara menghidangkan kek tradisi bumi kenyalang. Katanya:"Kek lapis hanya disajikan bersama minuman berkarbonat. Kalau dihidang bersama air kordial, tetamu di sana (Sarawak) akan pandang sebelah mata saja."
@kosmo.com.my

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...