Monday, August 13, 2012

Karyawan muzik terapi jiwa



GANDINGAN tiga nama lama dan baharu mungkin sudah klise, tapi kali ini kompas seni dilencongkan sedikit menyentuh muzik ketuhanan dan nasyid yang semakin dipandang sepi.
Tampil bersama naskhah terapi jiwa berlandaskan muzik yang disusun sempurna, Mawi, Hafiz Hamidun dan Najdi kini mempunyai buah tangan baharu untuk dikongsikan bersama mengambil keberkatan bulan mulia, Ramadan.
Berbicara tentang kerjaya, kontroversi, kejutan arus perubahan dan secubit persiapan menjelang lebaran yang bakal menjelma kurang daripada seminggu lagi, ketiga-tiga Mawi, Hafiz dan Najdi kini nyata boleh dikatakan bernaung di bawah satu label - karyawan muzik terapi jiwa.
Hafiz bawa semula Sami Yusuf
Antara ketiga-tiga Mawi, Hafiz dan Nadji, istilah kontroversi ketika ini nampaknya lebih mendekati Hafiz.
Kontroversi yang melanda penyanyi nasyid merangkap pengarah urusan syarikat pengedaran album Salaam penyanyi antarabangsa, Sami Yusuf iaitu Arteffects Sdn. Bhd., Hafiz Hamidun, tidak mematahkan semangatnya untuk membawa kembali Sami ke Malaysia pada bulan September.
"Saya akan membawa Sami Yusuf ke Malaysia untuk melancarkan albumnya Salaam selepas sambutan Aidilfitri. Kali ini kami akan mengadakan showcase sempena pelancaran itu," tegasnya.
Sebelum ini, industri seni dihangatkan dengan kontroversi pembatalan pada saat-saat akhir Konsert Salaam Sami Yusuf di Kuala Lumpur yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 14 Julai tahun ini. Ketika itu, banyak pihak menuding jari menyalahkan pengurusan syarikat milik Hafiz selain dikatakan cuba mensabotaj konsert tersebut.
"Itu semua fitnah! Situasi yang berlaku akibat salah faham antara pihak saya, penganjur dan pengurusan Sami Yusuf. Mana mungkin saya selaku syarikat pengedar album penyanyi itu cuba mensabotaj artis sendiri.
"Saya sedih dan terkilan dengan kata-kata yang dihamburkan daripada sesetengah pihak terhadap saya susulan kejadian itu. Selama ini saya berdiam diri kerana enggan memperbesar-besarkan isu tapi keadaan sudah dijernihkan.
"Insya-Allah, sebuah sidang akhbar khas berkenaan konflik dan kontroversi yang berlaku sebelum ini akan diadakan ketika majlis pelancaran album Sami Yusuf tidak lama lagi," jelasnya bersungguh-sungguh.
MAWI di samping Imam Muda Asyraf, tetamu khas yang diundang untuk membaca tazkirah bersempena pelancaran pelancaran album Mawi, Najdi dan Fitri Haris baru-baru ini.


Dalam perkembangan lain Hafiz turut terlibat menjadi pengarah muzik untuk beberapa buah filem termasuk Juvana The Movie dan Azazil yang kini ditukar judulnya kepada Sembunyi..
Sementara itu, dia juga memberitahu albumnya yang berjudul Zikir Terapi Diri Hafiz Hamidun, yang sudah berada lapan bulan di pasaran kini sudah terjual mencecah 50,000 unit.
Mawi masih relevan
Sekitar tahun 2005, Mawi memiliki pesona dan aura kuat yang meyakinkan peminatnya dia bersifat penghibur universal. Namun, kian meniti hari kelibatnya semakin luntur.
Melihat fenomena itu, kata Mawi dia masih relevan sehingga hari ini cuma fokusnya dilebihkan untuk bidang belakang tabir dan produksi.
"Saya baru habis penyuntingan telefilem Siapa Dapat Lisa yang bakal ditayangkan pada hari raya kedua nanti. Itu telefilem kedua arahan saya selepas Pak Nil Ibu Kirim Salam yang sedikit berat naskhahnya walaupun bersifat komedi.
"Saya masih mendapat undangan menjayakan acara nyanyian termasuk bulan Ramadan. Masih ada permintaan dan bukan menghilang begitu saja," tegasnya yang ditemui pada majlis berbuka puasa Arteffects Sdn. Bhd. dan pelancaran album Mawi, Najdi dan Fitri Haris di Hotel Royale Bintang The Curve, Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.
Siapa Dapat Lisa kata Mawi menampilkan barisan pelakon hebat antaranya Yasmin Hani, Abon dan kumpulan Sepahtu dan bakal ditayangkan pada hari raya kedua pukul 12 tengah hari di saluran Astro Prima.
Telefilem itu juga diambil daripada judul single album Sepahtu yang melodinya dicipta Datuk M. Nasir manakala lirik lagu serta skrip telefilem itu ditulis oleh Budi Hikayat.
Menurut Mawi ketika ditemui, album terbaharunya yang berjudul Mawi, Asmaulhusna, sudah empat hari berada di pasaran dan jualan pada hari pertama saja difahamkan mencecah 5,000 unit.

SUASANA pada pelancaran album Mawi, Najdi dan Fitri Haris di Hotel Royale Bintang The Curve, Damansara baru-baru ini.


"Idea untuk merakamkan album itu datang empat tahun lalu dan proses rakaman bermula sekitar dua bulan lalu. Syukur Alhamdulillah album itu mendapat sambutan hangat," getusnya lega.
Album yang diterbitkan dengan kerjasama Arteffects Sdn. Bhd. dan MW Entertainment Sdn. Bhd. itu mengandungi 10 buah lagu dengan setiap lagu mengandungi 11 nama Allah.
Sepanjang Ramadan, anak kelahiran Felda Taib Andak, Johor itu sentiasa tidak menang tangan memenuhi undangan nyanyian dekat atau jauh.
"Lagu yang saya nyanyikan berdasarkan permintaan penganjur. Baik pop, nasyid mahupun lagu terapi ketuhanan saya tiada masalah untuk menyanyikannya," katanya.
Malah, hampir sebulan berpuasa bersama cahaya mata sulung Mawi akui Mawi, dia tidak cukup tidur. "Tidur sekarang sedar tak sedar sejak ada anak (Cahaya Malaika), kena ikut jadual tidur dia tapi seronok sebenarnya," ungkapnya.
Mawi akan pulang berhari raya di Johor dua hari sebelum 1 Syawal dan segala persiapan hari raya diserahkan sepenuhnya kepada isterinya, Ekin.
Najdi mahu bernasyid
Mendegar dan menghayati alunan suara bekas peserta Imam Muda musim kedua, Wan Najdi Wan Mohd. Noh, 21, dalam album pertamanya Zikir Terapi Selawat, hakikatnya ia benar-benar menusuk kalbu.
Berbaloi sebenarnya untuk memiliki album yang diedarkan oleh Warner Music sejak Jun lalu itu. Bagi Najdi perubahan iklim hidupnya sangat mengejutkan tapi pada masa sama tetap mengujakan.
"Sudah lebih dua bulan di pasaran dan sambutan yang saya terima cukup baik. Kadangkala saya sendiri terkejut apabila disapa orang ramai ketika berada di luar.
"Hal ini membuktikan saya kini perlu lebih menjaga tatasusila dan percakapan memandangkan skop kehidupan saya sudah berubah," ceritanya yang sudah bersedia dilanda populariti.
Penuntut bidang Sarjana Muda Al-Quran & Sunah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu sebenarnya amat meminati bidang nyanyian terutama lagu-lagu nasyid.
Tidak hairanlah bakat yang tertumpah itu sedikit sebanyak diwarisi abangnya yang merupakan anggota kumpulan nasyid Saujana, Wan Najran Wan Mohd. Noh.
"Menjadi seorang penghibur dan pendakwah perlu istiqamah dan berterusan. Saya masih pelajar dan saya ada komitmen terhadap pelajaran, keluarga dan kini karier saya," tegasnya berhubung prinsip.
@kosmo.com.my

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...