Monday, August 13, 2012

Bersengkang mata siapkan tempahan



BIARPUN terpaksa meredah kesesakan jalan raya, ia sedikit pun tidak menghalang Hajar Aryati Arif, 38, dari Kajang, Selangor untuk menghantar tempahan pakaian di Pasar Rakyat, Bangunan Medan Mara. Ibu kepada empat orang cahaya mata itu akan mencuri masa ke premis yang terletak di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada waktu makan tengah hari atau hari cuti.
Bukan disebabkan tiada butik ataupun kedai jahit di sekitar Kajang yang boleh mengambil tempahan pakaian, tetapi dia serasi menyarungkan pakaian hasil jahitan RDA Collection.
Jika dihitung, hampir 10 pasang baju tradisional dan kaftan untuk dipakai ke pejabat, majlis keramaian serta hari raya Hajar Aryati dijahit di RDA Collection.
"Jahitan mereka kemas dan kak Ramlah bijak memotong kain mengikut ukuran badan. Sesetengah tukang jahit agak kreatif menghasilkan pakaian yang cantik tetapi apabila dipakai baju tersebut kurang selesa.
"RDA sentiasa memastikan aspek jahitan, potongan dan perincian dihasilkan dengan teliti. Jadi, tidak perlu menempah pakaian ke butik yang mahal kerana RDA mampu menjahit pakaian hampir sama pada harga yang berpatutan," ujar Hajar Aryati yang sudah dua tahun menempah pakaian di RDA Collection.
Selain itu, Hajar Aryati yang bekerja di salah sebuah bank lebih cenderung menempah pakaian di Pasar Rakyat kerana ia merupakan pusat jahitan yang beroperasi di bawah satu bumbung. Ruang dalamannya yang bersih dan luas serta parkir memudahkan urusannya di sana.
Di aras satu, Bangunan Medan Mara, Medan Mara, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur rata-rata tukang jahit di setiap lot begitu tekun dan gigih menyiapkan tempahan pakaian pelanggan.
Selain memotong kain dan menjahit manik, mereka juga sibuk dengan aktiviti menyulam dan melayan kerenah pelanggan. Di segenap ruang premis itu dipenuhi dengan koleksi pakaian yang siap dijahit dan kain-kain yang berselerak.
Beginilah situasi sepanjang Ramadan di pusat jahitan itu. Para pengusaha kedai jahit di Pasar Rakyat terpaksa bersaing dengan masa. Meskipun agak meletihkan tetapi rezeki yang diperoleh sangat berlipat ganda.
Bagi Ramlah Darmo, 35, yang mengusahakan RDA Collection sejak bulan April 2002, Pasar Rakyat ibarat lubuk emas baginya.
Anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu tidak menyangka keputusannya untuk menjalankan bisnes jahitan di premis tersebut berjaya mengubah taraf ekonomi keluarga.
"Pada mulanya, saya bimbang juga untuk berniaga secara serius kerana saya hanya menjahit secara kecil-kecilan di rumah. Namun saya nekad untuk mengubah nasib keluarga lalu menghantar permohonan kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara).
"Alhamdullilah, permohonan diterima dan saya ditawarkan satu lot. Bermodalkan RM5,000 saya membeli sebuah mesin jahit, mesin jahit tepi dan peralatan menjahit," terang anak keenam daripada lapan orang adik-beradik itu sambil memotong kain tempahan pelanggan.
Berkat kegigihannya memikat hati pelanggan, daripada bekerja sendiri kini Ramlah sudah mampu mengupah empat orang tenaga kerja.
Promosi mulut ke mulut

SELAIN baju kurung pelanggan boleh menempah baju Melayu dan baju kanak-kanak di Pasar Rakyat. - Gambar hiasan


Jumlah pelanggan Ramlah semakin meningkat biarpun ibu kepada tiga orang cahaya mata itu tidak melakukan promosi secara besaran-besaran.
"Semuanya promosi daripada mulut ke mulut. Apabila seorang pelanggan berpuas hati dengan jahitan kita, mereka akan cadangkan kepada rakan-rakan dan saudara-mara. Pada masa yang sama, saya juga membuat promosi secara kecil-kecilan menerusi blog dan menghantar risalah di beberapa kawasan perumahan.
"Alhamdullilah, saya tidak memang tangan untuk menyiapkan tempahan pelanggan," jelas Ramlah yang mengehadkan 300 pasang pakaian untuk tempahan Hari Raya Aidilfitri.
Dalam tempoh antara bulan Jun hingga dua minggu sebelum raya, Ramlah yang pernah menerima Anugerah Lot Terbaik Pasar Rakyat 2008 akan memastikan semua tempahan pelanggan dilunaskan dengan sempurna. Secara purata, setiap pekerja perlu menyiapkan lima pasang baju setiap hari.
Salah seorang pekerja di RDA Collection, Ernita Diun, 30, memberitahu, bermula dari bulan Jun hingga pertengahan bulan Ogos dia perlu bersekang mata menyiapkan tempahan pelanggan.
Biarpun perlu bekerja seawal pukul 9 pagi hingga 9 malam tanpa henti, namun bagi memastikan pelanggan dapat beraya dalam persalinan baharu, dia menolak ke tepi keletihan yang dirasai.
"Setiap hari tugas saya menjahit pakaian yang telah dipotong oleh majikan mengikut ukuran pelanggan. Saya perlu berhati-hati menjahit bagi mengelakkan kain pelanggan rosak.
"Dalam sehari saya boleh siapkan antara tiga dan lima pasang baju. Biasanya kami akan menyempurnakan tempahan mengikut waktu yang ditetapkan oleh pelanggan," kata Ernita yang sudah enam tahun berkhidmat bersama RDA Collection.
Tambah wanita dari Padang, Indonesia itu: "Saya selesa bekerja di Pasar Rakyat kerana fasiliti dan suasana di sini amat bagus. Kawasannya luas, selesa dan berhawa dingin."
Sementara itu, pemilik jenama Enal Collection & Shyza Design, Zainal Abidin Odin, 44, memberitahu, beliau menutup tempahan raya pada penghujung bulan Jun.
"Saya tidak boleh tamak sedangkan inilah masanya untuk memperoleh pendapatan lumayan. Jangan terlalu memikirkan keuntungan dengan menerima tempahan yang banyak sehingga melangkaui keupayaan tenaga pekerja. Jangan disebabkan kuantiti, kualiti jahitan dan potongan pakaian terjejas.

BUTIK Cassanova Fashion yang diusahakan Mohammad menawarkan pakaian lelaki.


"Lagipun saya cukup menitikberatkan kepuasan pelanggan. Bagaimanapun, tempahan baju kurung atau baju Melayu pada musim perayaan boleh mencecah hampir 400 pasang berbanding hari biasa sekitar 200 pasang saja. Namun untuk tempahan raya saya hanya mengehadkan sebanyak 300 pasang pakaian," jelas Zainal Abidin yang menguruskan bisnes bersama rakan bisnesnya, Roshayati Md. Ali, 44.
Selepas perayaan
Zainal yang berniaga di Pasar Rakyat selama 21 tahun memberitahu, biasanya upah baju kurung mengikut jenis kain, rekaan dan perincian. Harganya bermula dari RM60 ke atas.
Menyentuh mengenai situasi selepas musim perayaan, Zainal yang berasal dari Tanjung Malim, Perak mengakui pendapatannya agak merosot.
Bekas pelajar jurusan jahitan pakaian lelaki di Giat Mara, Jasin, Melaka itu mengambil inisiatif menawarkan khidmat pakaian pengantin.
Pengusaha Cassanova Fashion, Mohammad Bakam, 50, begitu sibuk menggosok baju Melayu yang ditempah oleh pelanggannya.
Lelaki yang berasal dari Pontian, Johor itu turut meneliti hasil jahitan baju yang telah siap bagi mengesan sebarang kerosakan pada pakaian terbabit.
"Tahun ini, sudah sedekad saya berniaga di Pasar Rakyat menggunakan modal simpanan peribadi. Saya hanya memfokuskan pakaian lelaki seperti baju Melayu, sut, kemeja dan seluar kerana rata-ratanya tukang jahit di sini mengambil tempahan menjahit pakaian wanita dan pengantin," jelas Mohammad yang dibantu lima tenaga kerja profesional.
@kosmo.com.my

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...