Monday, August 13, 2012

Ally cuti raya untuk isteri

PERSONALITI televisyen ini mengakui rutin kehidupan hariannya kini berubah selepas bergelar suami Farah.


SEBAGAI seorang pengacara dan penerbit, Ally Iskandar merupakan seorang lelaki yang sangat komited terhadap kariernya.
Namun, tahun ini merupakan tahun istimewa buat lelaki yang berusia 36 tahun ini. Ini kerana setelah mendirikan rumah tangga bersama pelajar kejuruteraan mekanikal di sebuah universiti di Korea Selatan, Nurfarahin Romli, 22, atau lebih dikenali sebagai Farah Lee, Ally mengakui keutamaannya kini lebih kepada isteri, terutama dari segi menghabiskan masa berkualiti bersama-sama.
Tanggal 20 Januari tahun ini, Ally dan Farah telah mendirikan rumah tangga dan ini bermakna Ramadan serta Aidilfitri tahun ini merupakan yang pertama buat pasangan yang sudah bergelar suami isteri selama lapan bulan ini.
Ally yang ditemui pada acara rakaman program Mentor 6 Raya, di Seri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor baru-baru ini memberitahu, pada tahun ini dia akan mengambil cuti panjang selama seminggu setelah 10 tahun tidak berpeluang cuti raya.
Kali ini, kata Ally, dia berhasrat ingin meluangkan masa serta menyambut Aidilfitri bersama isteri tercinta.
Kosmo!: Difahamkan, ini merupakan cuti raya yang pertama setelah 10 tahun tidak cuti raya. Memang sengaja tidak mahu minta cuti atau Ally sengaja ingin bekerja?
ALLY: Insya-Allah, kalau ikut jadual yang telah disusun, hari raya ini, saya tidak akan bekerja. Ya, memang benar ini merupakan cuti pertama setelah 10 tahun. Bukan tidak mahu tetapi mungkin kerana kepentingan bersiaran di hari cuti raya itu sendiri. Mahu atau tidak, seseorang perlu bekerja. Jadi, saya tidak kisah tentang perkara itu. Bersiaran dalam program Malaysia Hari Ini juga seperti beraya, namun secara alam maya. Bezanya cuma, saya tidak dapat beraya bersama keluarga. Saya sebenarnya telah beritahu sebelum kahwin lagi, jika saya telah berkahwin kelak, saya pasti akan ambil cuti pada raya pertama. Jadi, cuti raya saya telah diluluskan selama seminggu. Alhamdulillah.
Beraya di mana tahun ini dan boleh ceritakan sedikit tentang perancangan anda?
Kami bakal beraya di Terengganu. Isteri saya cuti bermula akhir Jun hingga awal September ini. Jadi, kami dapat berpuasa dan beraya bersama. Perancangan beraya pula, pada hari raya pertama di rumah keluarga saya dan hari kedua pula di rumah Farah. Ini kerana rumah keluarga kami (di Kampung Atas Tol, Terengganu) terletak tidak jauh antara satu sama lain, jarak kalau dalam tempoh ambil masa 20 minit sahaja, jadi ia tidak menjadi masalah. Kami akan bercuti selama seminggu kerana kakak Farah juga bakal melangsungkan perkahwinan pada hari raya keempat. Jadi kami panjangkan tempoh beraya di kampung.
Boleh cerita mengenai pengalaman berpuasa sebagai suami isteri?
Sangat seronok. Biasanya sebelum ini, hidup bujang, lokasi tempat berbuka kita tidak kisah sangat, apa yang ada, kita makan. Tapi setelah berkahwin, setiap hari saya akan menunggu masa untuk pulang berbuka di rumah. Dapat berbuka bersama tidak kiralah di luar atau di rumah. Juga kami dapat pergi sembahyang tarawih bersama-sama.
Mungkin anda boleh berkongsi tentang menu kegemaran yang dimasak oleh Farah?
Saya sebenarnya akan makan apa yang dimasak Farah sendiri. Saya tidak kisah kerana seronok makan masakan yang dimasak isteri dan mood itu berlainan. Farah suka bereksperimentasi. Dia akan buka internet dan belajar memasak.
Selain dari keutamaan untuk diri sendiri telah berubah, bagaimana Farah mengubah anda sepanjang tempoh bergelar suami?
Bila ada isteri, tanggungjawab itu memang kita akan nampak jelas. Ketika bujang, kita boleh ikut mood sendiri. Bila malas, kita boleh malas dan begitu juga sebaliknya. Tapi kali ini, celik mata sahaja, kita perlu rajinkan diri kerana kita harus tahu yang kita punya tanggungjawab sebagai seorang suami untuk dilakukan. Jika ada ruang masa, antara waktu kerja, saya akan pulang ke rumah kerana Farah juga kini sedang bercuti. Lepas ini dia akan pulang ke Korea semula, jadi saya akan berusaha untuk menghabiskan masa bersamanya. Jika dahulu saya gemar berada di pejabat, namun kini, saya akan bawa balik kerja ke rumah.
@kosmo.com.my

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...