Monday, April 16, 2012

Farahdhiya tidak suka berkongsi


Farahdhiya Mohd Amin
Farahdhiya Mohd Amin
SEHINGGA saat ini namanya masih terpahat kukuh di gelanggang seni gara-gara mendalamnya impak lagu Bertakhta Di Hati nyanyiannya. Hakikatnya, alunan suaranya yang indah pada lagu itu malah lebih diingati berbanding dirinya sendiri.

Sekian lama tidak muncul dengan produk terbaru, nama Farahdhiya Mohd Amin, 26, bagaimanapun kembali menjadi bualan apabila gosip mengenai dirinya bakal menjadi isteri kedua seorang ahli perniagaan tersebar.

   

  • FotoKEBAL...tidak mudah melenting dengan gosip liar.
  • Foto
  • Foto
  • FotoVERSATIL...hebat dalam nyanyian dan lakonan.

Sejak itu, gadis kacukan Melayu-Inggeris ini mula diasak media bertanyakan kesahihan desas-desus itu sehingga membuatkan dirinya goyah seketika.

Namun, kegoyahan itu tidak bertahan lama kerana ternyata Farahdhiya seorang yang lantang bersuara dan tidak gentar dengan gosip liar sedemikian. Biar banyak kali diterjah dengan soalan itu, dia tidak sekalipun melenting dan sentiasa menjawabnya secara profesional.

Maka, kesempatan sekali lagi bertemunya pada satu sesi fotografi, baru-baru ini, Rap sekali lagi mengajukan soalan mengenai gosip berkenaan bagi mendapatkan penjelasan daripada mulut Farahdhiya sendiri.

“Saya belum dan tidak pernah berkahwin. Saya bukanlah seorang gadis yang sangat terdesak untuk menjadi isteri kedua dan saya pun pelik bagaimana gosip sebegini boleh tersebar.

“Mengenali Farahdhiya, saya bukan seorang yang suka berkongsi, biar barang-barang apatah lagi untuk berkongsi suami orang. Saya tidak pernah melihat sebab untuk saya mencari suami orang sebagai jodoh padahal umur saya masih muda.
Lainlah kalau saya ini sudah lanjut usia, mungkin adalah juga kemungkinan itu.

“Pada mulanya, sakit hati juga apabila mendapat tahu mengenai gosip liar ini. Disebabkan hasad dengki, orang sanggup membuat cerita karut mengenai saya dan tidak memikirkan kesannya yang boleh mencalar maruah saya serta keluarga.

“Saya tidak ingin menuduh sesiapa kerana saya faham, berada dalam industri ini, ramai yang akan suka dan lebih ramai juga membenci saya. Namun, saya sedikit pun tidak terguris dengan pihak yang merasakan kononnya lebih banyak tahu mengenai diri saya berbanding diri saya sendiri.

“Saya juga ada perasaan, ada keluarga, mengapa perlu mewujudkan cerita yang tidak benar semata-mata mahu menjatuhkan saya? Tiada sebab untuk saya membuang masa memikirkan perkara sebegini sekarang kerana tidak memberikan apa-apa faedah pun,” bicaranya.

Mengakui dirinya seorang yang keras hati dan kental, dia memilih untuk membiarkan gosip itu berlalu sendiri kerana percaya ia akan pudar juga suatu ketika nanti.

Sempat dijentik mengenai teman istimewa, Farahdhiya berkata, dia kini sedang mengenali seseorang tetapi hubungan mereka masih lagi pada peringkat awal.

“Sebagai wanita, saya juga mempunyai perasaan malu untuk menghebahkan perkara sebegini dan biarlah ia menjadi hal peribadi saya juga. Jauh di sudut hati, siapa tahu, andai hubungan gagal, bagaimana untuk saya berhadapan dengan kesannya nanti? Lagipun, bukan saya yang pergi meminang lelaki berkenaan, sebaliknya dia yang akan berbuat demikian,” ringkas jawapannya.

Apa yang pasti, 2012 bakal menjadi tahun kebangkitan semula Farahdhiya yang kini sudah hampir selesai merakamkan lagu baru untuk album keduanya.

Walaupun kebelakangan ini, wajahnya lebih kerap kelihatan di layar perak, pelakon yang pernah membintangi siri popular Ku Milikmu dan Spa Q ini cukup teruja dengan kemunculan album kedua ini.

Sekian lama peminat ternanti-nanti dan tertanya-tanya produk terbarunya, Farahdhiya kini sudah mampu menghela nafas lega kerana akhirnya kerinduan peminat bakal terubat. Lebih-lebih lagi, single pertama pertaruhannya, Kau Telah Pergi kini mendapat reaksi yang sangat memuaskan daripada peminat.

“Pertama kali saya mendengar lagu yang dicipta khas untuk saya oleh Julfekar, terus jatuh cinta pada melodinya yang sangat indah. Saya tidak teragak-agak untuk menerima lagu ini kerana ia sangat kena dengan jiwa saya. Lagu berkenaan juga ada dimuat turun dalam YouTube dan tidak sangka rata-rata peminat menyukainya.

“Saya yakin lagu berentak balada ini juga mampu untuk mengulangi kejayaan Bertakhta Di Hati dan kini hanya menanti masa untuk diputarkan di radio.
Sebenarnya lagu ini sudah lama dirakam, namun hanya dilancarkan, baru-baru ini.

“Muzik video pun sudah siap dan istimewanya ia menampilkan rakan karib saya, Fasha Sandha sebagai watak utama dalam video itu. Fasha juga seperti saya, pertama kali dengar lagu itu, dia pun memang suka dan ketika ditawarkan membintangi video muzik lagu berkenaan, dia terus bersetuju.

“Untuk album kedua ini nanti, saya sendiri memilih material yang akan dimuatkan iaitu sebanyak lima lagu dan jika tidak ada halangan, pelancarannya akan diadakan pada bulan depan. Ikutkan hati, memang hendak lancarkan secepat mungkin namun masih ada lagi dua lagu perlu dirakamkan.

“Selain Kau Telah Pergi, sebuah lagu rancak berjudul Tergila-Gila turut menjadi pertaruhan dalam album itu nanti. Bagaimanapun, tajuk album masih lagi dalam perbincangan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Farahdhiya berharap kemunculan album kedua ini bakal menyerlahkan semula bintangnya di persada seni suara di samping mengubat kerinduan peminat yang tidak henti-henti memberi sokongan. Baginya, kecintaan terhadap bidang nyanyian mengatasi segalanya dan tidak pernah terdetik untuk berputus asa.

Mengenai bidang lakonan, untuk tahun ini, dia sudahpun menyelesaikan beberapa penggambaran beberapa telefilem.

Bagaimanapun, dia akui cuba mengelakkan tawaran drama berepisod kecuali apabila mendapat watak yang benar-benar sesuai kerana rencana kariernya kini perlu difokuskan kepada bidang nyanyian.

Foto 
Foto 
Foto 
Foto

@hmetro.com.my


Trivia Farahdhiya
  • Kalau tidak jadi artis... Peguam.
  • Aktiviti lasak kegemaran... Futsal, go cart.
  • Penyanyi idola... Mariah Carey.
  • Destinasi percutian paling disukai... Venice, Itali.
  • Lagu kegemaran sekarang... lagu-lagu Adele.
  • Berasa tenang apabila... berada di pantai, dengar bunyi ombak.
  • Siapa inspirasi dalam fesyen... diri sendiri.
  • No comments:


    Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

    Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...