Wednesday, February 29, 2012

Liyana Jasmay Bakal Bertunang Dengan Jiran

PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Liyana Jasmay, 23, telah membuat pengakuan akan bertunang dengan jirannya yang juga merupakan seorang ahli perniagaan bernama Fathuddin Mazlan pada bulan depan.
Menurut laporan akhbar Berita Harian, Liyana berkata dia sudah pun menerima cincin merisik daripada bakal tunangnya yang berusia 28 tahun itu.
"Dia menghantar rombongan merisik pada minggu lalu dan jika tiada aral melintang, kami akan bertunangan pada bulan depan.
"Tarikhnya terpaksa dirahsiakan. Insya-Allah tahun depan kami akan berkahwin," katanya.
Sebelum ini, Liyana yang popular dengan lagu Aku Tak Percaya Cinta itu pernah digosipkan bercinta dengan pengarah muda, Shamsul Yusof dan penyanyi Aizat Amdan.
"Selama ini pun saya tidak pernah mengatakan yang saya bercinta dengan orang itu atau ini. Semuanya berlaku dengan cukup pantas, itulah yang dinamakan kuasa jodoh.
"Saya sendiri tidak tahu bila masanya rasa cinta itu datang? Cuma apa yang saya sedar, perasaan itu tiba-tiba hadir dalam diri. Kita hanya boleh tahu perasaan itu apabila kita sendiri mengalaminya," tuturnya.
Tambah Liyana, dia sendiri tidak menyangka bahawa lelaki yang dicari-cari selama ini rupa-rupanya tinggal berdekatan dengannya.
Dia juga bersyukur kerana walaupun lelaki pilihannya itu buka daripada kalangan orang seni, dia faham dengan alunan cara kerja Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM) ini.
@mstar.com.my

Pelakon Lydiawati Kerugian Diperdaya Promoter Singapura

PUTRAJAYA: Pelakon Lydiawati telah diperdaya seorang individu yang menyamar sebagai promoter dengan menawarkannya untuk menjadi pengacara di sebuah majlis Singapura.
Lydiawati atau nama sebenarnya Salina Saimon mendakwa, individu yang dikenali sebagai Abdul Malek Ramli itu telah menawarkannya sebanyak RM6,000 untuk tugasan itu pada Jumaat lalu dengan syarat perlu membayar dahulu “cukai pertukaran mata wang asing” sebanyak RM1,400.
"Pada awalnya, saya menerima tawaran tersebut dan apabila diminta untuk membayar cukai seperti yang diperkatakan sebanyak RM700, saya masukkan ke akaun bank miliknya. Saya membayar tanpa banyak soal atas dasar kepercayaan terhadap lelaki tersebut.
"Kemudian, tidak lama kemudian dia meminta saya lagi wang cukai berkenaan. Dan saya mula persoalkan, kenapa saya pula yang perlu membayar wang tersebut sedangkan saya dijemput untuk mengendalikan majlis?
"Bagaimanapun, saya terus terpedaya dan membayar RM700 seperti yang diminta. Apa yang membuatkan saya lebih musykil, dia kata dirinya tidak akan berada pada hari majlis tersebut berlangsung," katanya.
Tambah Lydiawati, apabila berasa seperti diperdayakan oleh lelaki tersebut, dia terpanggil untuk memeriksa sendiri lokasi tempat majlis itu dan ternyata tiada aktiviti seperti yang diperkatakan.
Justeru, pelakon tersebut nekad membatalkan tawaran berkenaan kerana bimbang dia akan diperdaya lagi ketika berada di Singapura nanti.
"Ternyata lelaki itu sangat mencurigakan kerana dia mendakwa dirinya berada di Batam, Indonesia tetapi nombor telefon bimbit yang digunakan adalah nombor di Malaysia.
"Lantas saya membuat keputusan untuk membatalkan tawaran tersebut kerana risau akan ditipu lagi ketika berada di sana. Bagaimanapun, sehingga kini wang saya belum dikembalikan," tuturnya.
Beritahu ibu tunggal kepada dua orang anak ini lagi, dia tidak menyangka lelaki tersebut boleh menipu dirinya yang merupakan seorang anak yatim piatu dan berharap perkara seperti itu tidak akan berlaku kepada artis-artis lain.
"Kalau terdesak mahukan duit sekalipun, janganlah menipu anak yatim piatu seperti saya. Apa-apa pun, saya percaya ada hikmah di sebaliknya kerana apa yang dapat saya lihat, tawaran kerja semakin banyak selepas kejadian itu," tuturnya.
Bagaimanapun, pelakon ini belum terfikir untuk mengambil sebarang tindakan terhadap lelaki tersebut.
@mstar.com.my

Abby Fana Bukan 'Dibuang' TV3 Kerana Bertudung

Wajah terbaru Abby Fana dirakamkan jurugambar The Star, Shaari Che Mat pada 25 Februari lalu.
KUALA LUMPUR: Penyampai Radio Sinar FM, Abby Fana menolak tuduhan kononnya khidmat beliau sebagai perantara Malaysia Hari Ini (MHI), TV3 ditamatkan apabila beliau membuat keputusan memakai tudung selepas mengerjakan Haji pada November tahun lalu.
Abby atau nama sebenarnya Habsah Omar,46, memberitahu mStar Online, keinginannya untuk bersara sebagai penyampai sambilan rancangan itu telah dipendamnya pada tahun lalu dan secara kebetulan telah terlaksana selepas pulang dari Mekah.
“Sebenarnya sebelum pergi Haji lagi saya dah rasa nak berhenti sebab dah lama sangat saya jadi pengacara MHI. Bila pulang dari Mekah, tak sangka pula ia macam sudah tersurat.
“Pada 27 Disember lalu adalah penampilan terakhir saya sebagai pengacara MHI,” katanya yang telah sembilan tahun berkhidmat di stesen televisyen itu.
Abby memberitahu, hasrat untuk meninggalkan MHI dipendamnya kerana merasakan khidmatnya sudah terlalu lama dan bimbang penonton mula bosan dengan penampilan barunya itu.
Kata Abby, kalau di congak tugasnya sebagai pengacara segmen pagi di stesen televisyen sebenarnya telah mencecah 14 tahun iaitu sembilan tahun di TV3 manakala lima tahun bergelar pengacara Selamat Pagi Malaysia (SPM) terbitan RTM1.
“Kita ni bukan macam di Amerika Syarikat. Di negara itu, usia pengacara bukan ukuran. Tetapi di negara kita, kalau terlalu lama sangat nanti orang cepat jelak,” katanya.
Menurut Abby, selepas meninggalkan MHI, dia kini mahu memberi tumpuan sepenuhnya sebagai Penyampai Radio Sinar FM yang dikendalikannya sejak lima tahun lalu.
Jelas Abby, tugas sebagai deejay memberi keseronokan yang luar biasa buatnya kerana dengan cara itu sahajalah dia dapat “bersosial” dengan peminat.
“Saya ni tak pernah nak melepak mana-mana tempat pun. Hanya di radio sahajalah saya bersosial. Saya dapat rasakan tekanan dalam diri saya hilang,” katanya.
Mengulas mengenai penampilannya bertudung yang dilihat kelihatan lebih manis kata Abby, jiwanya menjadi lebih tenang dan merasakan satu perubahan baru.
Bagaimanapun beliau mahu terus aktif melibatkan diri dalam bidang seni dan akan mempertimbangkan tawaran bergelar pengacara mana-mana program yang berkehendakkan personaliti bertudung.
Menyentuh mengenai calon suami selepas bergelar ibu tunggal sejak sembilan tahun lalu, Abby yang memiliki dua orang anak iaitu Afiq Nazrin,21, dan Adli,20, serta seorang anak angkat Azra, 19 bulan, memberitahu tidak terfikir ke arah itu.
Beliau lebih selesa dengan kehidupannya sekarang dan menyerahkan jodoh kepada Allah untuk menentukannya.
Dalam perkembangan lain calon Penyampai Radio Wanita Terbaik, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPH2011) ini turut aktif dalam perniagaannya sebagai pembekal kelengkapan seperti perabot, zink dan plastik anak benih untuk, Felda Zon Tengah.
Perniagaan yang diusahakan bersama rakan kongsi itu tekah dikendalikannya sejak tiga tahun lalu dan menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan.
@mstar.com.my

Tun Mahathir Tidak Halang Anak Berlakon Teater

Mazhar Mahathir.
KUALA LUMPUR: Anak angkat kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Mazhar Mahathir menjelaskan ibu dan bapanya itu tidak pernah menghalang dirinya untuk bergiat aktif dalam bidang teater.
Mazhar, 28, berkata, walaupun bapanya kurang senang dengan pilihannya itu tetapi dia telah berjaya meyakinkan mereka untuk bersungguh-sungguh dalam mengejar cita-cita dalam bidang teater.
"Beliau juga seperti bapa-bapa lain di dunia yang sentiasa mahukan terbaik untuk anaknya dan saya tidak terkecuali. Pada awalnya beliau memang kurang senang dengan pilihan saya tetapi apabila melihat kesungguhan saya, dirinya sudah boleh menerima.
"Malah beliau banyak memberi sokongan dan dorongan untuk saya lebih berjaya dan bersemangat mengejar cita-cita," ujarnya kepada mStar Online.
Mazhar ditemui ketika majlis pelancaran teater muzikal Upin & Ipin Isnin. Muzikal itu bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 14 April hingga 6 Mei depan.
Dalam pada itu, Mazhar berkata, ibunya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali adalah penyokong terbesarnya dan sentiasa memberikan kata-kata semangat untuk dia mengejar cita-citanya sebagai penggiat teater.
Ujarnya, ibunya itu tidak pernah menghalang penglibatannya dalam dunia teater malah sering turun padang menyaksikan persembahannya jika berkelapangan.
"Kebetulan siri Upin & Ipin adalah kegemarannya dan dia begitu teruja untuk melihat aksi saya dalam teater muzikal ini. Kehadirannya pada majlis pelancaran ini juga adalah begitu bermakna buat saya," ujarnya.
Aksi Mazhar dalam teater muzikal Upin & Ipin.
Dalam perkembangan sama, Mazhar berkata dia tidak kisah jika masyarakat sering mengaitkan penglibatan dirinya dalam bidang seni dengan kedua ibu bapanya itu.
Katanya, dia sudah terbiasa dengan keadaan itu bagaimanapun ingin bergerak di atas kaki sendiri untuk menempa nama dalam bidang teater dan bukannya kerana nama orang tuanya.
"Saya tidak kisah orang sering nak kait-kaitkan saya dengan siapa ibu bapa saya tetapi sebolehnya mahu masyarakat menilai saya melalui bakat dan bukannya kerana siapa saya," ujarnya.
Sementara itu, bercakap mengenai penglibatannya sebagai pelakon dalam teater muzikal tersebut, Mazhar memberitahu dia berasa seronok dapat terlibat sama dalam pementasan itu kerana ia memberikan pengalaman baru buatnya.
Mazhar berkata, bekerja dengan lebih 60 orang kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang telah memberikannya inspirasi untuk menjadi seorang insan yang lebih baik.
"Walaupun kadang-kala ia akan menjadi kecoh kerana terlalu ramai kanak-kanak dengan pelbagai karenah tetapi mereka semua adalah pelapis berbakat besar dalam dunia teater," ujarnya.
Selain teater Upin & Ipin, Mazhar juga pernah muncul dalam beberapa teater lain seperti teater muzikal Tun Mahathir musim pertama dan kedua, Dream Girls dan beberapa buah teater lain.

Rumah Nabil (Raja Lawak) Dimasuki Perompak

Nabil
SEREMBAN: Kediaman pelawak dan pelakon terkenal, Ahmad Nabil Ahmad atau lebih dikenali sebagai Nabil (Raja Lawak) dipecah masuk perompak dalam satu kejadian di Kampung Masjid, Mambau, di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.55 pagi ini, perompak berkenaan bertindak memecah masuk rumah itu melalui sebuah daripada bilik rumah yang kini didiami keluarga bapa saudaranya.
Menurut bapa saudara pelakon itu, Rahmat Abdul Latiff, 55, kejadian disedarinya sebaik pulang ke rumah berkenaan selepas menghantar anak perempuannya ke tempat kerja di sebuah pusat beli belah berhampiran.
Katanya setelah diperiksa, penjenayah berkenaan didapati melarikan komputer riba milik anaknya yang berharga RM3,000.
"Kejadian ini yang pertama berlaku dan saya baru sahaja menetap dua bulan di rumah ini selepas Nabil bersama ahli keluarganya berpindah ke Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. BERNAMA

Bahagia Marion sebagai ibu




BERTEMU dengan pengacara jelita Marion Caunter pada majlis persandingan Lisa Surihani dan Yusry baru-baru ini, Marion masih kelihatan kekal jelita. Tubuh badannya kelihatan masih kurus, seperti belum melahirkan seorang anak, sedangkan hakikatnya, dia baru sahaja melahirkan anak sulungnya yang diberi nama Leia Rose Caunter SM Nasaruddin pada 16 Disember lalu.
Hadir bersama suaminya, SM Nasaruddin pada majlis tersebut, mereka kelihatan sungguh secocok dan mencuri tumpuan hadirin ketika melangkah masuk ke dalam dewan. Itu merupakan kemunculan pertama Marion selepas melahirkan anak.
Meskipun majlis masih belum selesai, Marion dan suami dilihat tergesa-gesa meninggalkan majlis sebelum mereka disambar pihak media di luar pintu masuk.
Kata Marion, dia harus pulang untuk menyusukan anaknya, Leia yang akan berusia tiga bulan pada 16 Mac ini.
"Saya kena pulang segera bukan tidak mahu berada lama di majlis ini, tetapi anak saya memerlukan saya kerana dia menyusu badan," tuturnya lembut.
Marion dan suami bagaimanapun tetap meluangkan sedikit masa bersama pihak media yang ingin mengetahui tentang perkembangan terkininya.
Disoal bagaimana perubahan hidupnya selepas bergelar seorang ibu, sambil memandang wajah suaminya dengan senyuman, dia memberitahu: "Semua okey, anak saya tidak banyak meragam cuma jika ada masa dia manja, setiap jam dia akan minta susu.
"Biasanya dua jam sekali. Jadi sekarang memang saya hanya duduk di rumah sahaja menjaga Leia. Saya hampir tidak keluar ke mana-mana sebab anak menyusu badan."
Meskipun Marion akan kembali bekerja sebagai pengacara E! News Asia yang menjalani penggambaran di Singapura setiap minggu, jelasnya, dia belum terfikir untuk menghentikan penyusuan badan buat Leia. Malah akuinya, memberi susu tepung sebagai alternatif buat Leia akan difikirkan apabila tiba saatnya. Namun buat masa ini, dia mahu memberi penyusuan badan secara eksklusif selama yang mungkin.
"Memang saya sibuk, tetapi saya rasa lebih baik memberi susu badan berbanding susu tepung kerana anak lebih sihat. Memang saya ada terfikir untuk berikan dia susu tepung, tetapi bila melihat wajahnya tidak sampai hati pula," katanya.
Tambah Marion lagi, sebagai persediaan untuk dia kembali bertugas pada minggu hadapan, dia akan memerah susu dan menyimpan di dalam botol sebagai bekalan Leia saat dia berpergian ke Singapura.
MARION meletakkan gambar dia sedang memeluk Leia yang tertidur lena dalam dakapannya sebagai gambar pengenalannya di akaun Twitter miliknya.


"Saya akan mula bekerja pada minggu depan, jadi caranya adalah saya akan menyimpan susu di dalam botol banyak-banyak sebelum saya terbang ke Singapura. Selain itu, saya akan pastikan yang saya pulang ke Kuala Lumpur pada hari yang sama juga sebab itu saya terpaksa tolak jika ada yang menawarkan kerja pengacaraan di Singapura. Anak kini nombor satu," balasnya sambil tersenyum manis.
Tambahnya lagi sejak melahirkan Leia, dia harus berfikir dua kali sebelum membuat keputusan untuk bercuti atau berjalan ke mana-mana.
"Pergerakan saya lebih terhad sekarang, kalau sebelum ada Leia, rasa ingin bercuti, terus pergi tanpa berfikir panjang sekarang tidak boleh macam itu lagi.
"Kalau kerja pun tidak boleh terlalu lama tinggalkan Leia, nanti saya rindu dia. Saya sekarang hak eksklusif Leia, bila penat bekerja atau tertekan, lihat wajahnya terus hilang semua penat. Bagi saya apa yang berlaku merupakan satu perubahan baik buat kami berdua," ujarnya yang cukup bahagia melewati fasa baharu kehidupannya ini.
Restu kerja - SM Nasaruddin
Suami Marion yang lebih banyak berdiam di sisi isterinya sesekali mencelah dan berkata cabaran terbesar buat Marion adalah membahagikan masa antara kerjaya dan anaknya.
"Cabaran utama Marion adalah membahagikan masa kerja dan anak. Tetapi setakat ini Alhamdulillah, dia lebih selesa menjaga anak kami sendiri daripada menyerahkan tanggungjawab itu kepada pembantu rumah," katanya.
Marion pula berkata dirinya terlalu beruntung dan tidak boleh banyak merungut kerana dia dikurniakan suami yang pandai menjaga anak kecil mereka.
"Suami saya banyak membantu. Dia boleh menjaga Leia dengan baik. Kami bergilir-gilir menjaganya, lebih selesa begitu. Memang sangat seronok ada anak," kata Marion lagi.
Walaupun memiliki anak kecil, suami Marion tidak pernah menghalangnya untuk meneruskan kerjayanya kerana sedar bidang penyiaran merupakan minat utama isteri tercinta.
Malah, dia cukup kagum dengan komitmen kerja yang diberikan oleh isterinya itu.
"Dia memang sangat minat dengan apa yang dilakukan dan saya tidak pernah menghalang dia untuk terus bekerja. Apa yang diperoleh hari ini (kerjaya) hasil daripada usaha kerasnya selama ini," kata Nasaruddin yang selalu menjadi tulang bekalang Marion.
Ditanya tentang dirinya yang berkahwin dengan seorang selebriti terkenal seperti Marion, Nasaruddin memberitahu tidak mengalami perbezaan yang ketara seperti pasangan lain.
SAMA cantik sama padan. Marion dan suaminya. SM Nasaruddin berkongsi kebahagiaan bergelar ibu dan bapa kepada anak sulung mereka, Leia Rose Caunter SM Nasaruddin ketika diserbu pihak media sewaktu ditemui pada majlis resepsi Yusry dan Lisa Surihani baru-baru ini.


"Memiliki seorang isteri selebriti, tidak ada bezanya seperti orang lain. Kami berdua bekerja, selain keluarga, dia juga mempunyai komitmen lain seperti saya, cuma kini anak sangat diutamakan daripada segala hal," jawabnya.
Pantang cara Melayu
Tidak dinafikan ramai yang terkejut melihat tubuh badan Marion yang langsing sama seperti sebelum dia melahirkan anak.
Ditanya apakah rahsianya, jawab Marion, dia berpantang selama sebulan di rumah ibu mertuanya mengikut cara tradisional Melayu.
"Saya tidak ikut sangat sebab ibu mertua juga orang yang agak moden, jadi ada campuran antara moden dan tradisional.
"Ibu mertua lebih menitikberatkan pemakanan secara sihat dan elakkan makanan yang tidak sihat. Saya memang rindu untuk dapat semula badan sebelum lahirkan anak, jadi saya mengikut diet sihat dengan ketat," terangnya.
Ujarnya lagi, meskipun tubuh badannya kembali langsing, dia harus berusaha untuk mendapatkan tubuh asalnya semula.
"Siapa kata saya kurus? Baju saya hari ini ada bantuan ala-ala gaun kembang membantu menutup bahagian yang berlemak (ketawa). Saya masih berdiet cuma saya belum mula bersenam," tuturnya sebelum meminta izin untuk mengundur diri.
Ditanya tentang perancangan menambah ahli keluarga lagi, segera dijawab pasangan ini, mereka mahu memberi tumpuan terhadap Leia terlebih dahulu sebelum memikirkan tentang mempunyai anak lagi.

Nadia serap jiwa Zaiton Sameon



NADIA mahu maju dalam karier seninya tanpa bantuan kontroversi.


NADIA AQILAH BAJURI atau dahulunya dikenali Nadia Luscious Aqilah selepas menyertai program realiti Gangstarz bagai diam membisu selepas tampil dalam beberapa drama bersiri seperti Tari Tirana, Emil Emelda, Sindarella dan Merah Putih.
Bakat Nadia bukan hanya tertumpu dalam bidang lakonan di layar kaca semata-mata, dia juga pernah terlibat dalam pementasan teater Puteri Gunung Ledang The Musical pada tahun 2005 dan P. Ramlee The Musical pada tahun 2008.
Menghilang atau merajuk kerana bakatnya boleh dikatakan kurang dihargai berbanding aktres lain? Namun kata Nadia Aqilah, 26, dia selesa dengan progres kariernya kini yang menunjukkan kemajuan tetapi bukan kerana kontroversi.
Kesempatan bersua dengan Nadia Aqilah sewaktu sidang akhbar Broadway Bites di Duta Nusantara, Sri Hartamas, Kuala Lumpur, baru-baru ini turut diajukan beberapa pertanyaan mengenai peranannya memegang watak utama dalam filem biografi penyanyi terkenal era 1980-an, Zaiton Sameon yang berjudul Zaiton Ceritaku.
Kosmo!: Nadia perlahan-lahan menyepi daripada industri, ke mana menghilang?
NADIA: Mana ada menghilang. Saya masih dalam industri dan sekarang sedang sibuk dengan penggambaran sebuah program bersiri di 8TV. Sementara hari minggu pula terlibat dengan latihan untuk Broadway Bites yang bakal dipentaskan pada 14 hingga 18 Mac ini di Auditorium DBKL, Kuala Lumpur.
Nadia pernah tampil dalam beberapa naskhah drama televisyen dan kini kelibat Nadia amat jarang penonton lihat. Apa sebabnya?
Saya seorang yang cerewet dan suka pilih karakter sebab saya tak nak dicop dengan hanya satu jenis watak saja. Selalu berlakon orang akan terus fikir saya akan pegang watak perempuan jahat. Sebab itu muka saya jarang keluar televisyen sekarang.
Nadia pernah menganggotai kumpulan Luscious untuk menyertai Gangstarz beberapa tahun dulu, ke mana pula perginya kumpulan itu setelah keluar daripada Gangstarz?
Saya mula menyanyi pada umur 14 tahun lagi dan pernah menubuhkan kumpulan hip hop suatu masa dulu dan kemudiannya ditukarkan kepada Luscious seterusnya menyertai Gangstarz pada tahun 2007. Saya, Eenaz (Nur Shafinaz Mokhtar) dan Ruzana (Ruzana Ibrahim), Alhamdulillah masih berkawan rapat dan kalau ada rezeki kami akan kembali ke dalam industri.
Bagaimana Nadia boleh terpilih untuk menyandang watak Zaiton untuk filem biografi penuh kontroversi, Zaiton Sameon?
Sebelum saya terpilih pun saya dapat tahu sudah dua pelakon disunting untuk menjayakan peranan itu. Syukur Alhamdulillah rezeki saya, selepas tamat pementasan Secret Life Of Nora, abang Esma Daniel mempelawa saya untuk berlakon dalam naskhah yang saya fikir sangat berat dan menuntut saya banyak belajar.
Bagaimana Nadia memandang karakter Zaiton?
Paling berat dan paling memberikan tekanan! Harap saya berjaya memberikan apa yang pengarah dan penonton mahukan.
Ceritakan peranan Nadia dalam filem itu?
Saya membawakan watak Zaiton Sameon sejak dia berusia 20 tahun hingga 50 tahun dan sememangnya pengalaman ini sangat luar biasa. Dengan mekap yang sangat menakjubkan, saya kagumi produksi filem ini. Tempoh penggambaran kami selama sebulan kebanyakannya di Tanjung Malim, Perak dan Kuala Selangor.
Memandangkan watak yang diberikan sangat berat dan mencabar, apa yang Nadia lakukan sebagai homework?
Research sudah tentu dan setiap hari saya mendengar lagu Zaiton Sameon. Sampaikan abang saya takut tengok keadaan saya yang sudah seperti bukan diri saya sebenar. Katanya perubahan yang berlaku ke atas diri saya sangat drastik, adakalanya saya pun tak kenal diri saya sendiri.
Pernah berjumpa dengan Zaiton Sameon?
Banyak kali! Kadangkala dia akan datang ke set penggambaran untuk tengok progres dan menariknya dia pula yang akan menyerap karakter setiap kali kita usik.
Nadia selesa dengan perjalanan karier sekarang? Pernahkah Nadia terfikir bahawa Nadia perlukan kontroversi atau isu sensasi untuk mudah naik?
Saya selesa dengan perkembangan dan perjalanan kerjaya sekarang. Saya mahu orang hargai saya berdasarkan bakat yang saya ada bukan naik disebabkan kontroversi. Saya juga akui populariti itu penting bagi seseorang artis tapi sebolehnya biar populariti itu datang bersama bakat yang saya miliki.

Protege Ella harus unik



SEORANG calon sedang mencuba nasib dan meniru gaya yang dikehendaki Ella.


DIA khabarnya memiliki sikap mudah kasihan dan manja. Namun ratu rock, Ella membuktikan di sebalik sikapnya itu dia juga seorang yang tegas.
Ella mengakui dirinya begitu selektif memilih protegenya. Malah, terpaksa melalui masa pemilihan protegenya sehingga pukul 1 pagi untuk mencari seorang peserta yang mempunyai pesona dan keunikan selain mampu menghayati dan mempersembahkan semua jenis lagu dengan baik.
"Peserta-peserta yang datang memang boleh menyanyi tetapi tonasi suara mereka kebanyakannya serupa dengan penyanyi yang sedia ada. Saya memerlukan peserta yang mempunyai pesona. Apa yang paling penting dia mesti mempunyai keunikan. Calon itu juga perlu tegas dalam menentukan muzik yang hendak diperjuangkan apabila bergelar penyanyi profesional kelak," ujarnya ketika ditemui pada sesi uji bakat program Mentor yang berlangsung di Sri Pentas, TV3, Petaling Jaya, Selangor.
Ditebak soalan sama ada dia memilih calon yang mampu menyanyikan lagu rock dengan baik seperti dirinya sebagai protege, tutur pemilik nama sebenar Norzila Aminuddin, 45, ini, calon protege pilihannya tidak semestinya berpenampilan rock dan ranggi. Katanya, dia perlu mengetahui hala tuju dan konsep muzik yang akan diperjuangkan apabila bergelar penyanyi profesional kelak.
Ella juga memberitahu, dia tidak menetapkan kriteria tertentu untuk calon protegenya.
Malah, pengalamannya dalam industri muzik selama 30 tahun membantu dirinya memilih protege yang bagus selain mampu membimbing protegenya dari segi penampilan, hala tuju dan konsep muzik yang akan diperjuangkan kelak.

BAGI Ella yang telah 30 tahun menjadi anak seni, setiap bakat baharu harus mempunyai sifat profesional yang tinggi.


"Kalau protege itu ada rupa, ia dikira bonus dan bagus untuk perkembangan kariernya," ujarnya lagi.
Ditanya mengenai teknik bimbingannya terhadap protege itu kelak, ungkap Ella yang tidak memilih jantina calon protege miliknya nanti, dia akan menggunakan pendekatan tersendiri apabila sesi pembelajaran mereka bermula.
"Saya pun tidak tahu apa teknik yang akan digunakan tetapi ia adalah cara saya sendiri. Harap dia faham, dengar dan tahu apa yang diajar nanti.
"Insya-Allah, saya yakin protege itu akan dapat menyesuaikan dan memahami bimbingan dan tunjuk ajar saya," katanya yang turut menyediakan pasukan untuk mengubah imej protege miliknya itu.
Selain Ella, antara selebriti lain yang menggalas tanggungjawab sebagai mentor untuk musim ini adalah Faizal Tahir, Ferhad, Ogy Ahmad Daud, Ramlah Ram dan Adam (AF).

Shruti akui bedah hidung

SHRUTI HASSAN

TIDAK ramai selebriti Bollywood mengakui melakukan pembedahan kosmetik, tetapi berlainan dengan aktres seksi, Shruti Hassan. Dia tanpa berselindung baru-baru ini mengakui telah melakukan pembedahan hidung. Malah, aktres yang baru muncul dengan filem sulungnya, Luck itu pelik kenapa isu tersebut dihebohkan pihak media.
Ujar Shruti kepada akhbar South: "Saya mengakui ada melakukan pembedahan hidung tetapi saya melakukannya bukan kerana hidung saya tak cantik. Saya bedah hidung atas sebab kesihatan."
Tambah Shruti, hidungnya sebelum ini didakwa mengalami simpton septoplasty, iaitu menyebabkan dia menghadapi masalah ketika bernafas.
"Saya melakukan pembedahan hidung di Amerika Syarikat sebab mengalami simpton septoplasty. Ia menyebabkan saya sukar bernafas."
Apa yang menarik, pembedahan hidung sebab kesihatan seperti yang didakwanya itu telah memberikan Shruti hidung baharu yang lebih cantik dan menawan.

Rumah Putih biaya intip orang Islam

Rumah Putih biaya intip orang Islam
WASHINGTON - Rumah Putih didakwa telah membelanjakan jutaan ringgit untuk membayar program Jabatan Polis New York (NYPD) yang meletakkan seluruh kawasan kejiranan Islam di bawah pengawasan mereka.

Peruntukan sebanyak AS$135 juta (RM407 juta) kepada jabatan polis di New York dan New Jersey itu kononnya diberikan untuk tujuan program penguatkuasaan undang-undang melibatkan jenayah pengedaran dadah tetapi kini aktiviti sebenar NYPD telah terbongkar kerana mereka sebenarnya mengawasi orang Islam.

Sebahagian wang tersebut dipercayai telah digunakan oleh anggota NYPD berpakaian biasa memantau pergerakan orang Islam termasuk penggunaan komputer khas untuk menyimpan maklumat seperti khutbah masjid dan majlis keagamaan serta profil pelajar.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan, pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama menafikan penglibatan mereka yang mengarahkan NYPD untuk mengintip pergerakan orang Islam di negara itu.

“Saya benar-benar terkejut apabila mengetahui wang peruntukan kerajaan telah disalah guna untuk mengintip orang Islam,” menurut salah seorang Ahli Kongres yang menuntut Jawatankuasa Kehakiman dan Jabatan Keadilan menyiasat NYPD.

Tindakan pengintipan NYPD tersebut telah terbongkar pada minggu lalu selepas beberapa pentadbiran kolej di serata negeri AS membuat aduan bahawa polis telah mencabuli hak pelajar Islam.

Cipta pesawat di atas bumbung rumah



PESAWAT buatan sendiri yang dicipta oleh Li Jungchun dilihat berada di atas bumbung
rumahnya di Kampung Xiahe semalam.


KAMPUNG XIAHE, China - Seorang petani berusia 58 tahun, Li Jingchun mencipta pesawat buatan sendiri di atas bumbung rumahnya di sini.
Dia menyembur cat pada badan pesawat itu yang sepanjang 5 meter (m) dan lebar 1.5m.
Kebanyakan badan pesawat itu diperbuat daripada barang kitar semula dengan kos lebih 40,000 yuan (RM19,136). - Reuters

Gaun Jolie, Lopez jadi isu di Twitter

 

GAUN yang dipakai oleh Jennifer Lopez pada Anugerah Academy di Hollywood pada Ahad lalu.

LOS ANGELES - Dua aktres terkenal, Angelina Jolie dan Jennifer Lopez mendapat perhatian di laman sosial Twitter kelmarin berhubung pakaian mereka pada Anugerah Academy kali ke-84 di Hollywood.
Pada anugerah itu, Jolie, 36, memakai gaun labuh yang mempunyai belahan dan berwarna hitam.
Jolie juga kerap mendedahkan paha dan kaki kanannya semasa dia berjalan dan berdiri.
Lopez, 42, yang juga dikenali sebagai JLo mengenakan gaun putih hampir menampakkan keseluruhan payudara kirinya ketika dia dan Jolie menaiki ke pentas bagi menyampaikan anugerah Oscar pada Ahad lalu.
Dalam tempoh kurang satu jam, seorang pengguna telah mewujudkan satu akaun Twitter @AngiesRightLeg berhubung dengan kaki kanan Jolie.
Ia mempunyai lebih 15,500 pengikut pada Isnin lalu.
"Lihatlah saya!," kata mesej di Twitter tersebut selepas 45 minit Jolie naik ke pentas bagi menyampaikan anugerah dengan gayanya yang menggoda tanpa rasa malu ketika mendedahkan kaki kanannya.
Sementara itu, akaun Twitter tentang payudara Lopez, @JLosNipple diwujudkan lebih awal daripada @AngiesRightLeg.
"Bukan salah JLo, Saya tidak boleh bernafas," kata salah satu mesej di Twitter.
Namun, menurut laman akhbar Los Angeles Times, akaun Twitter @JLosNipple tidak begitu popular seperti @AngiesRightLeg kerana ia hanya diikuti kira-kira 2,500 pengikut pada Isnin lalu. - Agensi

Wanita pertama Pakistan menang Oscar

SHARMEEN Obaid-Chinoy memegang anugerah Oscar bersama dengan Daniel Junge di Hollywood pada Ahad lalu.



ISLAMABAD, Pakistan – Akhbar-akhbar di sini semalam memuji seorang pengarah wanita muda negara ini, Sharmeen Obaid-Chinoy apabila menjadi warga Pakistan pertama memenangi Anugerah Academy bagi kategori dokumentari pendek terbaik menerusi filem Saving Face.
Gambar-gambar Sharmeen, 33, ketika menerima patung Oscar dalam anugerah itu di Hollywood disiarkan di muka depan akhbar-akhbar Pakistan.
Filem Saving Face mengisahkan tentang mangsa-mangsa serangan asid dan pakar bedah plastik kacukan Inggeris, Mohammad Jawad yang kembali ke Pakistan untuk membantu memulihkan wajah dan kehidupan mereka.
Dokumentari itu diarahkan Sharmeen bersama dengan Daniel Junge.
Akhbar berbahasa Inggeris tertua Pakistan, Dawn, menyatakan kemenangan Sharmeen dialu-alukan kerana liputan media asing terhadap negara ini kerap tertumpu kepada Al-Qaeda, Taliban, kemiskinan, rasuah dan senjata nuklear. – Agensi

Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...