Friday, December 16, 2011

'Tutup buku dengan kemenangan'



KIM SWEE (dua dari kanan) tidak mahu pemain-pemainnya berasa kecil hati jika tidak diturunkan dalam aksi persahabatan di Australia.


LUMRAH di dalam kehidupan, 'api' cemburu pastinya membara di hati masing-masing seandainya tidak lagi menjadi pilihan dan sering diketepikan.
Justeru, pengendali skuad Harimau Muda, Ong Kim Swee begitu lantang mahu kesemua 23 pemainnya yang dibawa 'berguru' ke Australia kali ini supaya bebas daripada 'dijangkiti' anasir negatif iaitu 'PHD' (perasaan hasad dengki).
Selepas kejayaan mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Sydney FC dalam aksi pembuka tirai Selasa lepas sebelum tewas 0-1 kepada Central South Mariner kelmarin, sudah pasti anak-anak buah Kim Swee begitu teruja dan tidak mahu melepaskan peluang supaya diturunkan ketika kembali membuat perhitungan dengan kelab itu pada aksi terakhir aksi persahabatan di bumi Australia pada 19 Disember ini.
Tambahan pula, ia dilihat sebagai hadiah hari jadi yang paling bermakna buat Kim Swee yang genap berusia 41 tahun pada 11 Disember lalu.
"Kesemua pemain seharusnya faham dengan keputusan saya untuk mencuba pemain baharu dan yang jarang diturunkan sepanjang berada di Australia kali ini.
"Justeru, mana-mana pemain sedia ada yang sering menjadi pilihan saya sebelum ini sewajarnya tidak cemburu dengan perkara ini demi kebaikan pasukan di masa depan," katanya ketika dihubungi Kosmo!di Sydney semalam.
Antara muka baharu yang dibawa Kim Swee 'terbang' ke bumi kanggaru itu ketika ini termasuklah S. Sivanesan, Shahrul Saad dan Mohd. Shahril Saari.
Menurut Kim Swee, mereka yang pada mulanya dijadualkan menentang Newcastle Jets pada aksi terakhir, terpaksa membatalkan hasrat itu kerana pasukan lawan mahu menangguhkan perlawanan sehari lewat (20 Disember) pada saat-saat akhir kelmarin gara-gara masalah yang tidak dapat dielakkan, sedangkan pasukannya dijadualkan kembali semula ke tanah air pada hari berkenaan.
"Justeru, kami akan menentang semula Central South Mariner pada aksi terakhir sebagai ganti di stadium yang sama sebelum ini, cuma waktu perlawanan sahaja masih belum diputuskan," katanya.
Dalam pada itu, Kim Swee secara kasarnya mengakui telah mendapat ilham dalam mengenal pasti kesebelasan utama pemain ketika menentang Central South Mariner kelak, namun masih kekal berahsia mengenai siapa yang bakal diturunkan dan sekadar membayangkan mahu menguji pemain berusia di bawah 20 tahun dalam perlawanan tersebut nanti.
Apa yang lebih mustahak katanya, mana-mana pemain yang diturunkan nanti dapat mengekalkan rentak dan corak permainan yang diterapkan, selain memanfaatkan tempoh rehat yang lebih lama kali ini selepas terpaksa berdepan dengan Sydney FC dan Central South Mariner dalam dua hari berturut-turut sebelum ini.
"Saya juga mahu kesemua pemain belajar mengawal bola dengan lebih baik serta mengekang asakan pemain lawan daripada memasuki kawasan bahaya kerana dengan pengalaman sebegini, ia dilihat dapat meningkatkan keyakinan pemain dan juga pendedahan berguna bagi membolehkan mereka lebih matang di tengah padang.
"Oleh itu, saya menuntut pemain saya supaya memberikan yang terbaik ketika menentang Central South Mariner nanti, sekali gus 'menutup buku' di Australia dengan kejayaan," katanya.
Tanpa berselindung, Kim Swee juga mengakui memerlukan sekurang-kurangnya dua perlawanan berkualiti seperti ini dalam tempoh sebulan lagi sebagai persiapan jangka panjang kerana ia boleh membantu mengekalkan momentum pasukannya untuk menyinar dalam aksi Liga Singapura dan juga menjelang baki tiga aksi kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia awal tahun depan.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...