Wednesday, October 19, 2011

Kad kredit palsu serendah RM15



TAJUDIN (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian daripada barangan yang dirampas pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Keghairahan seorang pemilik perniagaan percetakan dan seorang pekerjanya mencetak kad-kad kredit palsu bagi kegunaan sindiket antarabangsa berakhir dengan mereka ditahan dalam serbuan di sebuah kilang di Bandar Puteri, Pelabuhan Klang di sini kelmarin.
Dalam serbuan pada pukul 6.30 petang itu, polis turut merampas 3,246 keping kad kredit palsu yang siap diproses. Turut dirampas beberapa mesin atau alat yang digunakan untuk memproses kad kredit.
Sindiket tersebut antara lain memalsukan kad-kad kredit milik City Bank, HSBC Bank, Standard Chartered Bank, American Express, Hua Nan Comercial Bank, China Merchants Bank, Axis Bank dan The Royal Bank of Scotland.
Jumlah semua rampasan tersebut dianggarkan bernilai lebih RM1 juta.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Tajudin Mohd. Isa berkata, dua suspek berusia 44 dan 21 tahun itu menyembunyikan kegiatan mereka dengan berselindung di sebalik syarikat percetakan yang diusahakan secara sah.
Syarikat percetakan itu telah beroperasi sejak tujuh tahun lalu.
“Syarikat itu mencetak pelbagai jenis kad seperti kad keahlian kelab, kad institusi pengajian tinggi dan kad-kad syarikat.
“Namun kerana tamak untuk mendapat untung lebih, tauke syarikat dan seorang pekerjanya turut mengambil tempahan untuk memproses kad-kad kredit palsu,” kata beliau sambil memberitahu kegiatan salah itu dipercayai baru beroperasi lima bulan lalu.
Bercerita mengenai modus operandi dua suspek itu, Tajudin berkata, suspek dipercayai menerima tempahan daripada ahli sindiket pemalsuan kad kredit antarabangsa yang menyertakan jenis-jenis kad kredit palsu yang dikehendaki.
Kebanyakan ahli sindiket itu membabitkan warga asing.
“Setiap kad kredit yang siap diproses dijual pada harga serendah RM15 sekeping dan kualiti pada setiap kad menyerupai kad-kad kredit tulen,” kata beliau.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...